27 Februari 2011

Qadam untuk dijual RM250

Kenapa manusia (amnya) atau orang melayu (khususnya) suka mengambil ilmu segera (instant magic)? Artikel ini ditulis dan berlaku shutdown secara tiba-tiba pada komputer saya akibat litar elektrik terputus 3 kali berturut-turut. Harapan saya, agar artikel ini dibaca kerana saya sendiri rasa ada halangan ketika menaip artikel ini.

Ilmu segera yang saya maksudkan di sini ialah ilmu kehebatan dan ilmu mengenal diri supaya dapat mengubati orang lain. Masyarakat umumnya gemar mendapatkan rawatan dari bomoh/perawat yang diyakini dapat mengesan ‘penyakitnya’ dengan pantas dan juga dapat sembuh secara ajaib walaupun terpaksa korbankan maruah dan juga yang lebih teruk lagi, asalkan syirik tergadai asalkan kesembuhan berlaku.

Dalam konsep penyembuhan ilahi, semua perawat dan pesakit wajib yang beragama islam wajib berpegang teguh dengan firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat ke 82 iaitu:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاء وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلاَ يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إَلاَّ خَسَارًا
Dan kami turunkan dari Al-Quran (Ayat-Ayat Suci) yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadaNya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.
Jadi mengapa masih ada orang mahu ilmu segera ini?

Alasan 1: Menyembuhkan pesakit dengan pantas dan pintas.
Kerana kasihan dengan penderitaan yang dialami, maka saya mencari ilmu yang dapat menyembuhkan penyakit dengan pantas. Pesakit pun sembuh serta –merta maka saya akan dihormati dan disanjungi.

Jawapan saya: Kesembuhan milik Allah, saya tidak berupaya menyembuhkan orang dengan pantas selagi bukan dengan izinNya. Doktor pakar juga tidak mampu merawat orang dengan serta merta, malah mengambil keputusan untuk bedah pun setelah 1 tahun pemeriksaan rapi.

Alasan 2: Susah nak hafal al-Quran dan doa dari hadis
Saya sudah berumur, saya mula berminat merawat ketika berusia 30 tahun dan ini menyukarkan saya untuk menghafal ayat al-quran yang berjela-jela. Kalau guna qadam (jin), tak perlu hafal ayat kerana qadam itu akan buat kerja untuk saya dengan izin Allah.

Jawapan saya: Sahabat nabi Abdullah ibnu Umar (sahabat nabi yang terakhir meninggal dunia dan juga anak kepada Saidina Umar) hafal surah al-baqarah selama 8 tahun. Kesungguhan bapanya pula, Saidina Umar menghafal surah ini dalam 2 tahun wajib diikuti oleh umat islam.

Alasan 3: Saya baca al-fatihah dan ruqyah tapi pesakit tak sembuh
Pernah dulu, saya baca ruqyah sampai 6 kali ulang (3 jam) tapi pesakit yang ada masalah saka macam tidak ada kesan apa-apa. Tapi sejak saya ada qadam, barulah pesakit tadi sembuh. Qadam banyak membantu saya, terima kasih qadam. Lepas ini saya hanya baca al-fatihah sahaja, selebihnya biar qadam ‘yang kerjakan’.

Jawapan saya: Samalah dengan saya, saya juga pernah alami keadaan itu, yang mana akhirnya saya membuat keputusan membaca ruqyah hanya sekali sahaja kerana saya percaya, kesembuhan milik Allah, kalau Allah tak izinkan sembuh maka memang tidak sembuh. Saya pakai konsep, pesakit harus mendapat rawatan ulangan sebagaimana hospital praktikkan. Sifat berputus asa bukan sifat orang mukmin

Alasan 4: Saya tidak ada asas agama, segan nak berpakaian macam perawat islamik.
Apa ni, bomoh pakai serba kuning, serba hitam, atau pakai baju silat, orang cakap guna jin dan boleh jadi syirik. Tapi perawat islam handalan dari pondok mahupun al-azhar, yemen, Jordan, sudan dan india pakai jubah, pakai serban, dianggap sunnah dan tidak syirik. Saya kalau pakai jubah dan serban, nanti kalau orang panggil saya ustaz? Bukan hipokrit ke? Bahaya jadi munafik ni kalau tak ada asas agama tapi berlagak macam masyeikh.

Jawapan saya: Memakai jubah dan serban itu sunnah nabi, mereka yang memakainya mendapat dua pahala iaitu sunat dan sunnah. Mungkin sebab kita berada di Malaysia, maka kita segan memakai begitu. Perawat islam yang menggunakan bacaan al-quran tidak terikat dengan pemakaian serban dan jubah sebenarnya, mereka memakai kerana mereka cintakan nabi saw.

Alasan 5: Mengeluarkan hukum aqli yang tidak berasas seperti:
Saya menjual Qadam Perubatan, Qadam Pemurah Rezeki, Qadam Penjaga Diri pendinding, Qadam Pemanis, Qadam penggerun, Qadam Persilatan, Qadam Guru Agama, dan banyak lagi dengan harga RM250 setiap satu. Saya tidak melakukan tabu terhadap islam kerana perumpamaan berikut:
"Saya meminta pertolongan dari pihak polis untuk menjaga keselamatan rumah saya takut-takut ada berlaku kecurian"
"Saya meminta pertolongan dari Qadam untuk menjaga keselamatan rumah saya takut-takut ada berlaku kecurian"
"Saya membeli tiket dari Air Asia untuk membawa saya terbang hingga ke seluruh dunia"
"Saya membeli Qadam dari bomoh untuk membawa saya terbang hingga ke seluruh dunia"

Jawapan saya: Bolehkan kita meminta pertolongan qadam itu membantu kita masuk syurga? Dalam surah al-anfal ada menyebut: “Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangat berat azab seksaNya”.
Mereka ini tidak bertanggungjawab sedikit pun atas dosa syirik yang telah mereka lakukan bersama kamu kelak, malah kamulah yang menanggungnya 100%.


Alasan 6: Teknik masing-masing
Kalau dia guna al-quran sebagai penawar, saya guna qadam untuk penyembuh. Matlamat kita sama iaitu, menyembuhkan orang. Balasan pahala dan dosa bukan perawat islam yang tentukan, tetapi Allah juga yang berkuasa. Orang alim dan ulama tak semestinya masuk syurga, dan orang yang jahil macam saya tak semestinya masuk neraka. Dah jelas kisah israiliat terangkan, ahli ibadah masuk neraka, pelacur masuk syurga.

Jawapan saya: Jangan menzalimi diri kita dengan ayat begitu. Syurga dan neraka bukan manusia tentukan dan yang pasti, orang jahil terhadap agama islam tetap masuk neraka. Kebarangkalian (probability) perbandingan antara orang alim dan orang jahil masuk syurga ibarat panggang dan bara. Itu yang nyata, jika kita fikir orang jahil boleh masuk syurga dengan percuma, maka bertambah ramai yang akan melakukan maksiat, zina dan syirik. Untuk konsep penyembuhan islam, saya ulangi firman Allah dalam surah Al-Isra ayat 82:
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاء وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلاَ يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إَلاَّ خَسَارًا
Dan kami turunkan dari Al-Quran (Ayat-Ayat Suci) yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadaNya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

Alasan 7: Cuba keluarkan dalil, qadam tak boleh guna dalam al-quran
Saya ni, bukanlah hebat sangat dalam agama, tapi setahu saya Allah tak pernah cakap guna qadam itu syirik. Menuduh orang lain kafir bererti, kafirlah orang yang menuduh itu. Betul, surah al-jin ayat 6 bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya ada beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”.
Tapi ayat ini bukan menuduh manusia melakukan syirik, cuba faham ayat ini betul-betul.. ianya dikhuatiri akan menyebabkan jin jadi jahat. Jadi kita perlu sentiasa menasihati qadam supaya berbuat baik kerana kita khalifah.

Jawapan saya: Dalam surah Qaf ayat 27 menyebut:
Semasa dia dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam, dia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.
Dan saya tambahkan lagi dengan hadis sahih: Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا
Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membinarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. ( HR Muslim )

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )
Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( HR Abu Daud )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan