09 Mac 2011

Main dengan suami orang dan isteri orang

Bismillahirrahmanirrahim,
Bahana ilmu pengasih, itulah yang dapat dijelaskan dalam tajuk ini. Main dengan suami orang dan isteri orang atau dengan lebih jelas lagi, berzina dengan suami orang dan isteri orang. Dua tajuk ini ialah melalui proses rawatan sihir yang ana kendalikan secara terapi ruqyah dengan bacaan al-quran dan doa dari hadis.

Mungkin ada pendapat ulama dan perawat islam, sihir itu hanya benda yang tidak nampak manakala benda yang tertanam yang jelas nampak atau apa sahaja bentuk fizikal seperti minyak wangi, serbuk, kacip pinang dan lain-lain itu bukanlah barang sihir. Soal ini hanyalah khilaf (bercanggah pendapat) dan pada pendapat ana, barang yang zahir itu juga adalah barang sihir seperti yang berlaku keadaan di mana sikat rambut nabi dijampi oleh seorang perempuan penyihir. Asbabun Nuzul surah al-Falaq dalam tafsir Ibnu Kathir juga ada menjelaskan hal ini. Hadith berkenaan yang diriwayat dari Aisyah (rujukan kitab Zaddul ma'ad 3/104), Nabi saw disihir adalah sahih. Ia tidak boleh ditolak semata-mata dengan perbandingan logik dengan kisah Nabi Musa dan tukang sihir.

Ini bermakna, medium yang zahir juga adalah sihir tetapi dengan syarat, jangan cepat menuduh benda itu sihir yang mana kadang-kala hanya benda gurauan untuk menakut-nakutkan sahaja.


Main Dengan Suami Orang
Kisah di mana ana mendapat dua pesakit perempuan kes berasingan yang datang kerana terlalu menyesal kerana berzina dengan suami orang. Seorang dari pelajar kejururawatan di Selangor dan seorang lagi dari Kolej Islam di Nilai. Rawatan ruqyah adalah hanya dengan melalui panggilan telefon memandangkan mereka masih belajar dan tiada kemampuan untuk datang Melaka. Walaupun salah seorangnya sudah mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Terkemuka di Selangor, namun malangnya tiada ruqyah dilakukan, hanya memberi sebotol air dan doa sahaja.



Setelah bacaan ruqyah dibuat, pesakit muntah-muntah dengan muntah yang berwarna hijau. Rawatan ulangan dibuat selama tiga hari di mana hari ketiga tiada lagi muntah yang keluar. Ana arahkan segala pemberian 'suami orang' tersebut dibuang ke tong sampah untuk mengelakkan benda ini menjadi medium perantaraan sihir. Ana juga menyuruh mereka download ruqyah sihir seperti dalam blog ana bertajuk: http://klinik-muallij.blogspot.com/2011/03/ruqyah-barah-dan-jantung.html untuk mereka perdengarkan setiap malam sebelum tidur.

Main Dengan Isteri Orang
Juga dua contoh kes berasingan untuk dijadikan iktibar. Pertama disihir oleh bekas teman lelaki lama, yang kedua disihir oleh isteri orang.

1. Disihir ex-boyfriend. Bercinta sebelum kahwin amat mengasyikkan kalbu hingga terjerumus dengan zina (tak kira ringan atau berat, tetap dinamakan zina). Namun yang dihajati tak kesampaian bila bapa menyuruh anak perempuan menikahi pilihan keluarga. Setelah 2 bulan bernikah, kekasih lama menuntut cinta kembali. Namun si isteri orang enggan melayan kerana amat sayangkan suami dan setia pada suaminya. Lantaran dendam kesumat membara, kekasih lama jumpa bomoh dan mengenakan ilmu pengasih. Akhirnya isteri orang kecundang di kamar rumah suami sendiri. Kerana menyesal, pesakit berjumpa ana. Lalu ana ruqyah, pesakit jelas kerasukan dan berlaku dialog dengan jin seketika sebelum jin itu keluar dengan izin Allah. Pesakit termuntah hitam selepas itu. Pesakit dibekalkan dengan zikir amalan benteng dan air zam zam sebagai ubat.

2. Disihir isteri yang gersang. Suami selalu out-station memang membuatkan isteri sunyi di rumah. Suami seminggu di rumah, sebulan di luar. Akibat gagal melawan nafsu, isteri keluar berkenalan dengan jiran dan mengajak melakukan seks namun lelaki tersebut enggan. Akibatnya isteri berjumpa bomoh, dan bomoh meletakkan syarat rawatan dengan mengadakan hubungan seks. Setelah selesai, bomoh memberikan minyak pengasih. Isteri orang mencalit pada lelaki idamannya dan berzina. Tetapi kesan buruk telah berlaku di mana siisteri kerap diburu lembaga hitam dan dirogol lembaga hitam setiap malam. akibat takut dengan peristiwa itu, si isteri mendapatkan rawatan. Proses mengesan resipi minyak pengasih melalui dialog 'tali benang' dan didapati ianya resipi dari minyak babi (wallahu alam). Oleh itu sebelum memulakan ruqyah, ana menyuruh pesakit pulang dan mandi samak (dengan tanah) terlebih dahulu. Selang 3 jam pesakit datang kembali dan ana meruqyah seperti biasa, pesakit meronta-ronta dan meracau hanya dengan bacaan al-fatihah sahaja. Oleh itu ana hanya menjampi dengan al-fatihah lebih kurang 45 minit secara ulang-ulang hingga pesakit termuntah dengan sendirinya. Jin tidak berdialog (ada kemungkinan jenis jin bisu). Medium minyak pengasih tadi ana buang dalam longkang sahaja. Kemudian pergi ke rumah pesakit untuk proses pagar rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan