07 Jun 2011

Kesalahan Fakta Sejarah Perang Karbala

Kesalahan Fakta Sejarah Perang Karbala - Bukan Yazid bunuh Hussain

Membaca dan mengkaji buku " Kesalahan-kesalahan terhadap Fakta-fakta sejarah yang perlu diperbetulkan semula" hasil buahtangan Prof. Dr Ibrahim Ali Sya'wat( Profesor Sejarah Islam Universiti al-Azhar) dan diterjemah oleh Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani telah dapat merungkai sedikit sebanyak kebingungan kita terhadap sejarah Islam yang telah cuba diselewengkan.

Dan kisah sejarah yang diseleweng itu didedahkan pula kepada pelajar melalui buku-buku teks sehingga menimbulkan kekeliruan dikalangan pelajar yang masih mentah tahap pemikirannya dan ini amat membahayakan. Isu peperangan Jamal, Siffin,pendirian Saidatina Aisyah terhadap Saidina Ali, Isu Majlis Tahkim dan pembunuhan Saidina Hussin adalah antara yang disentuh dengan jelas dalam buku ini.

Dalam hal pembunuhan Saidina Hussin , kita difahamkan bahawa Khalifah Yazid bin Muawiyyah yang mengarahkan supaya Saidina Hussin dibunuh dan kita semua diberi gambaran keburukan akhlak khalifah Yazid. Sesungguhnya buku ini menceritakan hakikat sebenar apa yang berlaku.

Apabila Mu’wiyyah r.a meninggal dunia maka anaknya Yazid bin Mu’awiyyah r.h telah diangkat menjadi penggantinya. Perlantikan Yazid ini telah dipersetujui [bai’ah] oleh majoriti para sahabat Nabi yang masih hidup termasuk para Ahlul Bait serta masyarakat Islam. Namun begitu penduduk Kufah yang rata-ratanya berfahaman Syiah telah menolak kepimpinan Yazid dan ingin melantik Saidina Hussain sebagai khalifah yang baru. Lalu penduduk Kufah termasuk tokoh-tokoh Syiah menulis surat kepada Saidina Hussain menjemput beliau ke Kufah untuk tujuan tersebut. Mereka bukan sekadar berjanji akan taat setia kepada kepimpinan Saidina Hussain malah mereka sanggup untuk menghunus senjata demi membela beliau serta menjatuhkan kerajaan Bani Umaiyah pimpinan Khalifah Yazid. Mendengarkan sokongan yang padu dari penduduk Kufah maka beliau mengutuskan Muslim bin ‘Aqil untuk meninjau keadaan sebenar di Kufah. Saidina Hussain memaklumkan khabar berita ini serta niat beliau untuk ke Kufah kepada para sahabat serta ahli keluarga beliau bagi mendengar pandangan mereka. Namun demikian para sahabat terkemuka serta ahli keluarganya seperti ‘Abdullah Ibnu Abbas, Muhammad bin al-Hanafiyah, ‘Abdul Rahman bin Hisyam al-Makhzumi, ‘Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib, Abdullah bin Muti’ al-Afdawi, ‘Amru bin Sa’id, ‘Abdullah bin ‘Umar, Abu Sa’id al-Khudri dan lain-lain telah menentang niat Saidina Hussain tersebut. Mari kita lihat beberapa ungkapan kata-kata mereka terhadap Saidina Hussain.



‘Abdullah bin Abbas r.a berkata: “Wahai sepupuku bagaimana anda boleh bersabar sedangkan saya tidak boleh bersabar. Saya bimbang anda akan binasa jika anda meneruskan hasrat anda itu. Penduduk Iraq adalah orang-orang yang suka memungkiri janji. Janganlah anda terpedaya dengan pujukan mereka.” – (Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula, Prof. Dr. Ibrahim Ali Sya’wat, ms. 208.)

‘Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib pernah menulis kepada Saidina Hussain sepucuk surat. Antara kandungan surat tersebut ialah:

“Saya sangat mengharapkan agar anda benar-benar merenung isi kandungan surat ini. Saya sebenarnya amat kasihan dengan anda kerana bimbang kalau-kalau anda akan binasa dan keluarga anda pula akan terhapus. Jika sekiranya anda binasa hari ini, akan padamlah cahaya bumi. Anda adalah salah seorang tokoh yang menjadi ikutan masyarakat dan harapan orang-orang mukmin. Janganlah anda tergesa-gesa bertolak ke Iraq. – (Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula, Prof. Dr. Ibrahim Ali Sya’wat, ms. 209)

‘Abdullah bin Jaafar bukan sekadar menghantar surat bertujuan untuk menghalang Saidina Hussain dari meneruskan rancangannya untuk ke Kufah, malah beliau juga telah meminta ‘Amru bin Sa’id, Gabenor Khalifah Yazid di Makkah untuk memujuk Saidina Hussain agar membatalkan hasratnya tersebut. Namun begitu Saidina Hussain tetap berkeras untuk berangkat ke Kufah.

Sahabat yang terkemuka serta keluarga saidina Hussin menghalangnya dari berangkat ke Kufah kerana beberapa sebab. Antaranya
1) Mereka dapat menghidu helah golongan Syiah di Kufah yang sememangnya terkenal dengan pengkhianatan mereka terhadap Umat Islam. Mereka inilah kelompok yang telah menyokong ‘Abdullah Ibnu Saba’, terlibat dalam pembunuhan ‘Uthman bin ‘Affan r.a, mengkhianati Saidina ‘Ali serta abang Saidina Hussain yakni Saidina Hassan r.a. Mereka berpandangan sokongan kuat yang menurut khabarnya datang dari penduduk Kufah hanyalah palsu dan tindakan mereka ini merupakan dalih mereka untuk menimbulkan susana kacau-bilau di dalam masyarakat Islam.

2) Yazid bin Mu’awiyyah adalah seorang khalifah yang telah dibai’ah oleh majoriti umat Islam, dikalangan para sahabat-sahabat utama dan juga ahli keluarga Rasulullah s.a.w.. Maka dari sisi syarak perlantikan beliau sebagai khalifah adalah sah. Terdapat larangan dari Rasulullah s.a.w. untuk memberontak terhadap pemerintah yang telah dilantik umat Islam secara sah.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesiapa telah mengangkat [telah bersetuju melantik] seorang pemimpin kemudian memberikan kepadanya uluran tangannya dan buah hatinya [sebagai tanda persetujuan], maka hendaklah dia [orang yang mengangkatnya] mentaatinya sedaya mungkin. Maka jika datang orang lain yang menentangnya, hendaklah mereka membunuh yang terakhir[penentang].
Aku [‘Abdul Rahman bin ‘Abdi Rabbil Kaabah] bertanya [kepada ‘Abdullah bin ‘Amr]: Apakah kamu mendengar ini dari Rasulullah s.a.w.?
Dia [‘Abdullah bin ‘Amr] menjawab: Aku mendengar [hadis ini] dengan kedua telingaku dan difahami oleh hatiku. – Hadis Riwayat Imam Abu Dawud, no: 3707.

Oleh itu mereka membantah niat Saidina Hussain untuk menyertai malah mengepalai pemberontakan penduduk Kufah tersebut

3) Mereka juga khuatir tindakan Saidina Hussain ini akan menimbulkan pertumpahan darah sesama umat Islam dan akan melemahkan persatuan umat.

4) Mereka bimbang akan keselamatan Saidina Hussain dan ahli keluarganya yang berkemungkinan akan dkhianati oleh penduduk Kufah atau diserang oleh tentera Khalifah Yazid.

Ternyata pujuk rayu mereka gagal untuk menghentikan hasrat beliau untuk ke Kufah. Kenapa agaknya Saidina Hussain tetap berkeras untuk ke Kufah? Jawapan Saidina Hussain adalah seperti berikut:

Saya telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan saya telah melakukan sesuatu yang telah ditentukan kepada saya tanpa mengira ia mendatangkan keburukan kepada diri saya atau memberikan keuntungan kepada saya.
Lalu ‘Abdullah bin Yahya berkata: Apakah mimpi anda itu?
Jawab al-Hussain: Saya tidak dapat menceritakannya kepada seseorangpun, malah saya tidak boleh memberitahu kepada seseorangpun sehingga saya bertemu dengan Tuhan saya – Rujuk Tarikh al-Umam wa al-Muluk, jilid 4, ms. 388. (Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah Yang Perlu Diperbetulkan Semula, ms. 270)

Apabila mendengar pergerakan rombongan Saidina Hussain ke Kufah maka Yazid memerintahkan gabenor beliau di Basrah iaitu Ubaidullah bin Ziyad serta tenteranya untuk berangkat ke Kufah bagi memantau pergerakan Saidina Hussain serta kebangkitan orang-orang Kufah. Tindakan Yazid bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami bagi mereka yang arif dalam bidang politik. Mana-mana pemimpin pasti akan berwaspada sekiranya terdapat ura-ura bahawa pemberontakan bakal terjadi dan ianya bukan sahaja boleh menggugat tampuk pemerintahannya malah akan menggugat kestabilan politik umat Islam pada masa itu. Harus kita semua fahami bahawa arahan dari Yazid hanyalah untuk memantau atau memerhatikan sahaja pergerakan Saidina Husain dan penduduk Kufah tersebut dan tindakan hanya perlu diambil sekiranya mereka terlebih dahulu memulakan serangan.

Oleh itu siapa sebenarnya yang membunuh Saidina Hussain? Maka terdapat dua riwayat tentang peristiwa di Karbala ini.

VERSI PERTAMA: Ubaidillah bin Ziyad telah bertindak berlebihan dari arahan sebenar Yazid lalu menyerang Saidina Hussain dan rombongannya di Karbala. Tindakan Ubaidillah bin Ziyad hanyalah bertujuan untuk menunjukkan kehebatannya serta mengampu khalifah. Apa yang menghairankan adalah tindakan penduduk Kufah yang kononnya sanggup untuk berkorban jiwa dan raga untuk mengangkat Saidina Hussain sebagai Khalifah serta menjatuhkan Yazid telah melarikan diri apabila melihat kemaraan tentera Ubaidillah bin Ziyad. Maka terpaksalah Saidina Hussain dan rombongannya yang hanya berjumlah sekitar 70 orang berhadapan dengan tentera Ubaidillah yang jauh lebih besar jumlahnya dari mereka. Mana pergi penduduk Kufah yang dikatakan terdapat sejumlah 12,000 orang yang telah bersiap sedia untuk menerima Saidina Hussain? Sekiranya 12,000 penduduk Kufah yang jumlah tersebut sebenarnya adalah jauh lebih besar dari tentera Ubaidillah mempertahankan Saidina Hussain kemungkinan besar tentera Ubaidillah akan dapat ditewaskan. Namun demikian ini hanya membuktikan bahawa penduduk Kufah memang pada asalnya tidak memiliki niat untuk menaikkan Saidina Hussain sebagai Khalifah. Perkara ini sebenarnya adalah sebahagian dari agenda kelompok Syiah untuk menimbulkan fitnah di kalangan umat Islam iaitu dengan melaga-lagakan Saidina Hussain dengan Yazid.

VERSI KEDUA: Ubaidillah bin Hussain sebenarnya mematuhi arahan Yazid dan tidak melancarkan serangan tersebut. Wakil Saidina Hussain di Kufah iaitu Muslim bin ‘Aqil telah menghidu konspirasi yang sedang dirancang oleh penduduk Syi’ah di sana. Sebelum Muslim dibunuh oleh penduduk Kufah beliau sempat mengutuskan ‘Umar bin Saad bin Abi Waqqas kepada Saidina Hussain yang semakin hampir tiba ke bandar Kufah tentang kecurangan golongan Syi’ah. Maka Saidina Hussain membatalkan hasratnya untuk ke Kufah dan mengubah laluan rombongannya menuju ke Syam untuk menemui Yazid. Ini jelas menunjukkan bahawa Saidina Hussain telah meninggalkan niat asalnya untuk memberontak terhadap Yazid dan telah pun menunjukkan kesediannya untuk membai’ah Yazid. Golongan Syi’ah di Kufah mula panik dengan perubahan arah tersebut kerana sekiranya Saidina Hussain berbai’ah kepada Yazid maka musnahlah segala perancangan kotor mereka untuk memporak-perandakan kesatuan umat Islam. Sekiranya Hussain berada di pihak Yazid maka sudah pasti mereka akan dihancurkan oleh tentera Islam. Menurut ulamak Syi’ah sendiri iaitu Mulla Baaqir Majlisi tentera Syi’ah lengkap bersenjata dari Kufah mengejar rombongan Saidina Hussain dan mereka bertembung di Karbala. Menurut Mulla Baqir Majlisi:

Sejarah memaparkan bahawa dialah (iaitu Syits bin Rab’ie seorang Syi’ah dari Kufah) yang mengetuai 4000 bala tentera untuk menentang Saidina Hussain dan dialah orang yang mula-mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Saidina Hussain – Mulla Baaqir Majlis, Jilaau al-‘Uyun, ms. 37. (artikel Syiah Pembunuh Sayyidina Hussain di Karbala- www.darulkauthar.com)

Apa pun jua berkaitan dengan kedua-dua riwayat di atas, ternyata Yazid bebas dari tuduhan membunuh Saidina Hussain. Maka syahidlah Saidina Hussain di Karbala. Setelah peristiwa itu Yazid telah memberi perlindungan kepada ahli keluarga Saidina Hussain yang terselamat dari serangan tersebut sehinggalah mereka kembali ke Madinah. Justeru itu dapat kita fahami bahawa kisah Karbala versi Syiah yang menyatakan Yazid adalah pembunuh sebenar Saidina Hussain malah kononnya Yazid telah menyuruh kepala Saidina Hussain dipenggal untuk diserahkan kepadanya adalah tidak benar sama sekali.

Kepada saudara Abdullah yang keliru berhubung kisah pembunuhan Saidina Hussin dan memohon penjelasan daripada saya, elok rasanya dapatkan buku "Kesalahan-kesalahan terhadap Fakta-fakta sejarah yang perlu diperbetulkan semula" hasil buahtangan Prof. Dr Ibrahim Ali Sya'wat( Profesor Sejarah Islam Universiti al-Azhar) dan diterjemah oleh Dr Basri bin Ibrahim al-Hasani keluaran Jahabersa untuk lebih memahami isu tersebut.

+++++++++++++++++++++++++++++++++


Perang ini perang fitnah.
a. Syiah Kufah - mereka mengaku membunuh Hussain.
b. Syits bin Rab’ie yang memenggal kepada Hussain. Dia adalah syiah.

dizahirkan oleh: Maulana Muhammad Asri Yusoff (seorang Deobandi Hanafiyyah tetapi mengakui beraqidah Al-Asyariyyah).
sumber boleh didapati di: al-fikrah.net (forum salafi) dan al-ahkam.net (forum khalafi)

Seorang tokoh Islam yang terkenal di Pakistan, Maulana Ali Ahmad Abbasi menulis di dalam bukunya "Hazrat Muaawiah Ki Siasi Zindagi" bahawa di dalam sejarah Islam, ada dua orang yang sungguh kontroversial. Seorang daripadanya Amirul Mukminin Yazid yang makin lama makin dimusnahkan imejnya walaupun semasa hayatnya beliau diterima baik oleh tokoh - tokoh utama di zaman itu. Seorang lagi ialah Mansor Al Hallaj. Di zamannya dia telah dihukum sebagai mulhid, zindiq dan salah seorang daripada golongan qaramithah oleh masyarakat Islam yang membawanya disalib. Amirul Mukminin Al Muqtadir billah telah menghukumkan beliau murtad berdasarkan fatwa sekalian ulama dan fuqaha yang hidup pada waktu itu, tetapi imejnya semakin cerah tahun demi tahun sehingga akhirnya telah dianggap sebagai salah seorang aulia illah.

Bagaimanapun semua ini adalah permainan khayalan dan fantasi manusia yang jauh daripada berpijak di bumi yang nyata. Semua ini adalah akibat daripada tidak menghargai dan memberikan penilaian yang sewajarnya kepada pendapat orang - orang pada zaman mereka masing - masing .

Pendapat tokoh - tokoh dari kalangan sabahat dan tabiin yang sezaman dengan Yazid berdasarkan riwayat - riwayat yang muktabar dan sangat kuat kedudukannya menjelaskan kepada kita bahawa Yazid adalah seorang anak muda yang bertaqwa, alim, budiman, saleh dan pemimpin ummah yang sah dan disepakati kepemimpinannya. Baladzuri umpamanya dalam "Ansabu Al Asyraf" mengatakan bahawa, " Bila Yazid dilantik menjadi khalifah maka Abdullah bin Abbas, seorang tokoh dari Ahlul Bait berkata : " Sesungguhnya anaknya Yazid adalah daripada keluarga yang saleh. Oleh itu tetaplah kamu berada di tempat - tempat duduk kamu dan berilah ketaatan dan baiah kamu kepadanya" ( Ansabu Al Asyraf, jilid 4 , m.s. 4 ).

Sejarawan Baladzuri adalah di antara ahli sejarah yang setia kepada para Khulafa Abbasiah. Beliau telah mengemukakan kata - kata Ibnu Abbas ini di hadapan mereka dan menyebutkan pula sebelum nama Yazid Amirul Mukminin .

Abdullah Ibn Umar yang dianggap sebagai orang tua di kalangan sahabat pada masa itu pula bersikap tegas terhadap orang - orang yang menyokong pemberontakan yang dipimpin oleh Ibn Zubair terhadap kerajaan Yazid dan sikap yang begini disebut di dalam Sahih Bukhari bahawa, bila penduduk Madinah membatalkan baiah mereka terhadap Yazid bin Muawiyah maka Ibn Umar mengumpulkan anak pinak dan sanak saudaranya lalu berkata, " Saya pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, " Akan dipacakkan bendera untuk setiap orang yang curang (membatalkan baiahnya) pada hari kiamat. Sesungguhnya kita telah berbaiah kepadanya dengan nama Allah dan RasulNya. Sesungguhnya saya tidak mengetahui kecurangan yang lebih besar daripada kita berbaiah kepada seseorang dengan nama Allah dan RasulNya , kemudian kita bangkit pula memeranginya. Kalau saya tahu ada sesiapa daripada kamu membatalkan baiah kepadanya dan turut serta di dalam pemberontakan ini , maka terputuslah perhubungan di antaraku dengannya". (Sahih Bukhari -Kitabu Al Fitan)

Sebenarnya jika dikaji sejarah permulaan Islam kita dapati pembunuhan Sayyidina Husain di zaman pemerintahan Yazidlah yang merupakan fakta terpenting mendorong segala fitnah dan keaiban yang dikaitkan dengan Yazid tidak mudah ditolak oleh generasi kemudian. Hakikat inilah yang mendorong lebih banyak cerita-cerita palsu tentang Yazid diada-adakan oleh musuh-musuh Islam . Tentu sekali orang yang membunuh menantu Rasulullah s.a.w yang tersayang - dibelai oleh Rasulullah dengan penuh kasih sayang semasa hayatnya kemudian ditatang pula dengan menyebutkan kelebihan dan keutamaan - keutamaannya di dalam hadis-hadits Baginda- tidak akan dipandang sebagai seorang yang berperi kemanusiaan apalagi untuk mengatakannya seorang soleh , budiman, bertaqwa dan pemimpin umat Islam .

Kerana itulah cerita-cerita seperti Yazid sering kali minum arak , seorang yang suka berfoya-foya, suka mendengar muzik dan menghabiskan waktu dengan penari-penari , begitu juga beliau adalah orang terlalu rendah jiwanya sehingga suka bermain dengan monyet dan kera , terlalu mudah diterima oleh umat Islam kemudian.

Tetapi soalnya, benarkah Yazid membunuh Sayyidina Husain? Atau benarkah Yazid memerintahkan supaya Sayyidina Husain dibunuh di Karbala?

Selagi tidak dapat ditentukan siapakah pembunuh Sayyidina Husain yang sebenarnya dan terus diucapkan Yazidlah pembunuhnya tanpa soal selidik yang mendalam dan teliti , maka selama itulah nama Yazid akan terus tercemar dan dia akan dipandang sebagai manusia yang paling malang. Tetapi bagaimana jika yang membunuh Sayyidina Husain itu bukan Yazid ? Kemanakah pula akan kita bawakan segala tuduhan - tuduhan liar , fitnah dan caci maki yang selama ini telah kita sandarkan pada Yazid itu ?

Jika kita seorang yang cintakan keadilan, berlapang dada , sudah tentu kita akan berusaha untuk membincangkan segala keburukan yang dihubungkan kepada Yazid selama ini dan kita pindahkannya ke halaman rumah pembunuh- pembunuh Sayyidina Husain yang sebenar. Apalagi jika kita seorang Ahlus Sunnah Wal Jamaah, sudah tentu dengan dengan adanya bukti-bukti yang kuat dan kukuh daripada sumber - sumber rujukan muktabar dan berdasarkan prinsip - prinsip aqidah yang diterima di kalangan Ahlus Sunnah , kita akan terdorong untuk membersihkan Yazid daripada segala tuduhan dan meletakkannya ditempat yang istimewa dan selayak dengannya di dalam rentetan sejarah awal Islam .

Sekarang marilah kita pergi ke tengah - tengah medan penyelidikan tentang pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala bersama - sama dengan sekian ramai ahli keluarganya.

PEMBUNUH SAYYIDINA HUSAIN ADALAH SYIAH KUFAH 
Terlebih dahulu kita akan menyatakan dakwaan kita secara terus terang dan terbuka bahawa pembunuh Sayyidina Husain yang sebenarnya bukanlah Yazid tetapi adalah golongan Syiah Kufah .

Dakwaan ini berdasarkan beberapa fakta dan bukti-bukti daripada sumber-sumber rujukan sejarah yang muktabar. Kita akan membahagi-bahagikan bukti-bukti yang akan dikemukakan nanti kepada dua bahagian :

(1) Bukti - bukti utama
(2) Bukti - bukti sokongan

I. BUKTI - BUKTI UTAMA
Dengan adanya bukti-bukti utama ini, tiada mahkamah yang dibangunkan untuk mencari kebenaran dan mendapatkan keadilan akan memutuskan Yazid sebagai pesalah dan sebagai penjenayah yang bertanggungjawab di dalam pembunuhan Sayyidina Husain. Bahkan Yazid akan dilepaskan dengan penuh penghormatan dan akan terbongkarlah rahsia yang selama ini menutupi pembunuh - pembunuh Sayyidina Husain yang sebenarnya di Karbala.

Bukti pertamanya ialah pengakuan Syiah Kufah sendiri bahawa merekalah yang membunuh Sayyidina Husain . Golongan Syiah Kufah yang mengaku telah membunuh Sayyidina Husain itu kemudian muncul sebagai golongan "At Tawwaabun" yang kononnya menyesali tindakan mereka membunuh Sayyidina Husain. Sebagai cara bertaubat , mereka telah berbunuh-bunuhan sesama mereka seperti yang pernah dilakukan oleh orang - orang Yahudi sebagai pernyataan taubatnya kepada Allah kerana kesalahan mereka menyembah anak lembu sepeninggalan Nabi Musa ke Thur Sina .

Air mata darah yang dicurahkan oleh golongan "At Tawaabun" itu masih kelihatan dengan jelas pada lembaran sejarah dan tetap tidak hilang walaupun cuba dihapuskan oleh mereka dengan beribu - ribu cara .

Pengakuan Syiah pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain ini diabadikan oleh ulama - ulama Syiah yang merupakan tunggak dalam agama mereka seperti Baaqir Majlisi, Nurullah Syustri dan lain - lain di dalam buku mereka masing - masing. Baaqir Majlisi menulis :

"Sekumpulan orang - orang Kufah terkejut oleh satu suara ghaib. Maka berkatalah mereka, " Demi Tuhan! Apa yang telah kita lakukan ini tak pernah dilakukan oleh orang lain . Kita telah membunuh "Ketua Pemuda Ahli Syurga" kerana Ibn Ziad anak haram itu . Di sini mereka mengadakan janji setia di antara sesama mereka untuk memberontak terhadap Ibn Ziad tetapi tidak berguna apa - apa". ( Jilaau AlUyun , m.s. 430 )

Qadhi Nurullah Syustri pula menulis di dalam bukunya Majalisu AlMuminin bahawa selepas sekian lama ( lebih kurang 4 atau 5 tahun ) Sayyidina Husain terbunuh, ketua orang - orang Syiah mengumpulkan orang - orang Syiah dan berkata , " Kita telah memanggil Sayyidina Husain dengan memberikan janji akan taat setia kepadanya , kemudian kita berlaku curang dengan membunuhnya . Kesalahan kita sebesar ini tidak akan diampunkan kecuali kita berbunuh-bunuhan sesama kita ". Dengan itu berkumpullah sekian ramai orang - orang Syiah di tepi Sungai Furat sambil mereka membaca ayat yang bermaksud, " Maka bertaubatlah kepada Tuhan yang telah menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu ". ( Al Baqarah :54 ). Kemudian mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Inilah golongan yang dikenali dalam sejarah Islam dengan gelaran "At Tawaabun".

Sejarah tidak melupai dan tidak akan melupai peranan Syits bin Rabie di dalam pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala . Tahukah anda siapa itu Syits bin Rabie? Dia adalah seorang Syiah pekat, pernah menjadi duta kepada Sayyidina Ali di dalam peperangan Siffin, sentiasa bersama Sayyidina Husain . Dialah juga yang menjemput Sayyidina Husain ke Kufah untuk mencetuskan pemberontakan terhadap kerajaan pimpinan Yazid, tetapi apakah yang telah dilakukan olehnya?

Sejarah memaparkan bahawa dialah yang mengepalai 4,000 orang bala tentera untuk menentang Sayyidina Husain dan dialah orang yang mula - mula turun dari kudanya untuk memenggal kepala Sayyidina Husain. ( Jilaau AlUyun dan Khulashatu Al Mashaaib, m.s. 37 )

Adakah masih ada orang yang ragu - ragu tentang Syiahnya Syits bin Rabie dan tidakkah orang yang menceritakan perkara ini ialah Mulla Baaqir Majlisi , seorang tokoh Syiah terkenal ? Secara tidak langsung ia bermakna pengakuan daripada pihak Syiah sendiri tentang pembunuhan itu .

Lihatlah pula kepada Qais bin Asyats ipar Sayyidina Husain yang tidak diragui tentang Syiahnya tetapi apa kata sejarah tentangnya? Bukankah sejarah mendedahkan kepada kita bahawa itulah orang yang merampas selimut Sayyidina Husain dari tubuhnya selepas selesai pertempuran ? (Khulashatu Al Mashaaib , m.s. 192 )

Selain daripada pengakuan mereka sendiri yang membuktikan merekalah sebenarnya pembunuh- pembunuh Sayyidina Husain, kenyataan saksi - saksi yang turut serta di dalam rombongan Sayyidina Husain sebagai saksi-saksi hidup di Karbala yang terus hidup selepas peristiwa ini juga membenarkan dakwaan ini termasuk kenyataan Sayyidina Husain sendiri yang sempat dirakamkan oleh sejarah sebelum beliau terbunuh . Sayyidina Husain berkata dengan menujukan kata-katanya kepada orang- orang Syiah Kufah yang siap sedia bertempur dengan beliau :

" Wahai orang - orang Kufah ! Semoga kamu dilaknat sebagaimana dilaknat maksud- maksud jahatmu. Wahai orang - orang yang curang, zalim dan pengkhianat! Kamu telah menjemput kami untuk membela kamu di waktu kesempitan tetapi bila kami datang untuk memimpin dan membela kamu dengan menaruh kepercayaan kepadamu maka sekarang kamu hunuskan pedang dendammu kepada kami dan kamu membantu musuh-mush di dalam menentang kami ". ( Jilaau Al Uyun, ms 391 ).

Beliau juga berkata kepada Syiah :
" Binasalah kamu ! Bagaimana boleh kamu menghunuskan perang dendammu dari sarung - sarungnya tanpa sebarang permusuhan dan perselisihan yang ada di antara kamu dengan kami ? Kenapakah kamu siap sedia untuk membunuh Ahlul Bait tanpa sebarang sebab? " ( Ibid ).

Akhirnya beliau mendoakan keburukan untuk golongan Syiah yang sedang berhadapan untuk bertempur dengan beliau :

" Ya Allah! Tahanlah keberkatan bumi dari mereka dan selerakkanlah mereka . Jadikanlah hati-hati pemerintah terus membenci mereka kerana mereka menjemput kami dengan maksud membela kami tetapi sekarang mereka menghunuskan pedang dendam terhadap kami ". ( Ibid )

Beliau juga dirakamkan telah mendoakan keburukan untuk mereka dengan kata - katanya: "Binasalah kamu ! Tuhan akan membalas bagi pihakku di dunia dan di akhirat……..Kamu akan menghukum diri kamu sendiri dengan memukul pedang - pedang di atas tubuhmu dan mukamu akan menumpahkan darah kamu sendiri. Kamu tidak akan mendapat keberuntungan di dunia dan kamu tidak akan sampai kepada hajatmu. Apabila mati nanti sudah tersedia azab Tuhan untukmu di akhirat. Kamu akan menerima azab yang akan diterima oleh orang - orang kafir yang paling dahsyat kekufurannya". ( Mulla Baqir Majlisi - Jilaau AlUyun, m.s. 409 ).

Daripada kata - kata Sayyidina Husain yang dipaparkan oleh sejarawan Syiah sendiri, Mulla Baqir Majlisi , dapat disimpulkan bahawa :

(i) Diayah yang disebarkan oleh musuh - musuh Islam menerusi penulisan sejarah bahawa pembunuhan Ahlul Bait di Karbala merupakan balas dendam dari Bani Umayyah terhadap Ahlul Bait yang telah membunuh pemimpin - pemimpin Bani Umayyah yang kafir di dalam peperangan Badar , Uhud, Siffin dan lain - lain tidak lebih daripada propaganda kosong semata-mata kerana pembunuh - pembunuh Sayyidina Husain dan Ahlul Bait di Karbala bukannya datang dari Syam, bukan juga dari kalangan Bani Umayyah tetapi dari kalangan Syiah Kufah .

(ii) Keadaan Syiah yang sentiasa diburu dan dihukum oleh kerajaan - kerajaan Islam di sepanjang sejarah membuktikan termakbulnya doa Sayyidina Husain di medan Karbala ke atas Syiah.

(iii) Upacara menyeksa tubuh badan dengan memukul tubuhnya dengan rantai, pisau dan pedang pada 10 Muharram dalam bentuk perkabungan yang dilakukan oleh golongan Syiah itu sehingga mengalir darah juga merupakan bukti diterimanya doa Sayyidina Husain dan upacara ini dengan jelas dapat dilihat hingga sekarang di dalam masyarakat Syiah .

Adapun di kalangan Ahlus Sunnah tidak pernah wujud upacara yang seperti ini dan dengan itu jelas menunjukkan bahawa merekalah golongan yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Husain.

(iv) Betapa kejam dan kerasnya hati golongan ini dapat dilihat pada tindakan mereka menyembelih dan membunuh Sayyidina Husain bersama dengan sekian ramai ahli keluarganya walaupun setelah mendengar ucapan dan doa keburukan untuk mereka yang dipinta oleh beliau . Itulah dia golongan yang buta mata hatinya dan telah hilang kewarasan pemikirannya kerana sebaik saja mereka selesai membunuh, mereka melepaskan kuda Zuljanah yang ditunggangi Sayyidina Husain sambil memukul-mukul tubuh untuk menyatakan penyesalan. Dan inilah dia upacara perkabungan pertama terhadap kematian Sayyidina Husain yang pernah dilakukan di atas muka bumi ini sejauh pengetahuan sejarah. Dan hari ini tidakkah anak cucu golongan ini meneruskan upacara perkabungan ini setiap kali tibanya 10 Muharram ?

Ali Zainal Abidin anak Sayyidina Husain yang turut serta di dalam rombongan ke Kufah dan terus hidup selepas berlakunya peristiwa itu pula berkata kepada orang - orang Kufah lelaki dan perempuan yang merentap dengan mengoyak-ngoyakkan baju mereka sambil menangis, dalam keadaan sakit beliau dengan suara yang lemah berkata kepada mereka, " Mereka ini menangisi kami. Tidakkah tidak ada orang lain yang membunuh kami selain mereka ?" ( At Thabarsi - Al Ihtijaj, m.s. 156 ).

Pada halaman berikutnya Thabarsi menukilkan kata - kata Imam Ali Zainal Abidin kepada orang - orang Kufah. Kata beliau , " Wahai manusia ( orang - orang Kufah)! Dengan Nama Allah aku bersumpah untuk bertanya kamu , ceritakanlah! Tidakkah kamu sedar bahawasa kamu mengutuskan surat kepada ayahku ( menjemputnya datang ), kemudian kamu menipunya? Bukankah kamu telah memberikan perjanjian taat setia kamu kepadanya? Kemudian kamu membunuhnya, membiarkannya dihina. Celakalah kamu kerana amalan buruk yang telah kamu dahulukan untuk dirimu".

Sayyidatina Zainab , saudara perempuan Sayyidina Husain yang terus hidup selepas peristiwa itu juga mendoakan keburukan untuk golongan Syiah Kufah. Katanya, " Wahai orang - orang Kufah yang khianat, penipu! Kenapa kamu menangisi kami sedangkan air mata kami belum lagi kering kerana kezalimanmu itu. Keluhan kami belum lagi terputus oleh kekejamanmu. Keadaan kamu tidak ubah seperti perempuan yang memintal benang kemudian dirombaknya kembali. Kamu juga telah merombak ikatan iman dan telah berbalik kepada kekufuran...Adakah kamu meratapi kami padahal kamu sendirilah yang membunuh kami. Sekarang kamu pula menangisi kami . Demi Allah ! Kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa. Kamu telah membeli keaiban dan kehinaan untuk kamu. Tompokan kehinaan ini sama sekali tidak akan hilang walau dibasuh dengan air apapun". (Jilaau Al Uyun, ms 424 ).

Doa anak Sayyidatina Fatimah ini tetap menjadi kenyataan dan berlaku di kalangan Syiah hingga ke hari ini .

Ummu Kulthum anak Sayyidatina Fatimah pula berkata sambil menangis di atas segedupnya, " Wahai orang - oang Kufah! Buruklah hendaknya keadaanmu. Buruklah hendaklah rupamu. Kenapa kamu menjemput saudaraku Husain kemudian tidak membantunya bahkan membunuhnya, merampas harta bendanya dan menawan orang - orang perempuan dari ahli rumahnya . Laknat Allah ke atas kamu dan semoga kutukan Allah mengenai mukamu".

Beliau juga berkata, " Wahai orang - orang Kufah ! Orang - orang lelaki dari kalangan kamu membunuh kami sementara orang - orang perempuan pula menangisi kami. Tuhan akan memutuskan di antara kami dan kamu di hari kiamat nanti". ( Ibid , ms 426 - 428 )

Sementara Fatimah anak perempuan Sayyidina Husain pula berkata, " Kamu telah membunuh kami dan merampas harta benda kami kemudian telah membunuh datukku Ali ( Sayyidina Ali ). Sentiasa darah - darah kami menitis dari hujung - hujung pedangmu……Tak lama lagi kamu akan menerima balasannya. Binasalah kamu! Tunggulah nanti azab dan kutukan Allah akan berterusan menghujani kamu. Siksaan dari langit akan memusnahkan kamu akibat perbuatan terkutukmu. Kamu akan memukul tubuhmu dengan pedang - pedang di dunia ini dan di akhirat nanti kamu akan terkepung dengan azab yang pedih ".

Apa yang dikatakan oleh Sayyidatina Fatimah bt. Husain ini dapat dilihat dengan mata kepala kita sendiri di mana - mana Syiah berada .

Dua bukti utama yang telah kita kemukakan tadi, sebenarnya sudah mencukupi untuk kita memutuskan siapakah sebenarnya pembunuh Sayyidina Husain di Karbala. Daripada keterangan dalam kedua - dua bukti yang lalu dapat kita simpulkan beberapa perkara :

1. Orang - orang yang menjemput Sayyidina Husain ke Kufah untuk memberontak adalah Syiah.
2. Orang - orang yang tampil untuk bertempur dengan rombongan Sayyidina Husain di Karbala itu juga Syiah.
3. Sayyidina Husain dan orang - orang yang ikut serta di dalam rombongannya terdiri daripada saudara- saudara perempuannya dan anak-anaknya menyaksikan bahwa Syiahlah yang telah membunuh mereka .
4. Golongan Syiah Kufah sendiri mengakui merekalah yang membunuh di samping menyatakan penyesalan mereka dengan meratap dan berkabung kerana kematian orang - orang yang dibunuh oleh mereka .

Mahkamah di dunia ini menerima keempat - empat perkara yang tersebut tadi sebagai bukti yang kukuh dan jelas menunjukkan siapakah pembunuh sebenar di dalam sesuatu kes pembunuhan, iaitu bila pembunuh dan yang terbunuh berada di suatu tempat, ada orang menyaksikan ketika mana pembunuhan itu dilakukan. Orang yang terbunuh sendiri menyaksikan tentang pembunuhnya dan kemuncaknya ialah pengakuan pembunuh itu sendiri . Jika keempat - empat perkara ini sudah terbukti dengan jelas dan diterima oleh semua mahkamah sebagai kes pembunuhan yang cukup bukti - buktinya, maka bagaimana mungkin diragui lagi tentang pembunuh- pembunuh Sayyidina Husain itu ?

II. BUKTI-BUKTI SOKONGAN

Walaubagaimanapun kita akan mengemukakan lagi beberapa bukti sokongan supaya lebih menyakinkan kita tentang golongan Syiah itulah sebenarnya pembunuh Sayyidina Husain. Di antaranya ialah :

1. Tidak sukar untuk kita terima mereka sebagai pembunuh Sayyidina Husain apabila kita melihat kepada sikap mereka yang biadap terhadap Sayyidina Ali dan Sayyidina Hasan sebelum itu. Begitu juga sikap mereka yang biadap terhadap orang - orang yang dianggap oleh mereka sebagai Imam selepas Sayyidina Husain. Bahkan terdapat banyak pula bukti yang menunjukkan merekalah yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beberapa orang Imam walaupun mereka menuduh orang lain sebagai pembunuh Imam- imam itu dengan menyebar luaskan propaganda- propaganda mereka terhadap tertuduh itu .

Di antara kebiadapan mereka terhadap Sayyidina Ali ialah mereka menuduh Sayyidina Ali berdusta dan mereka pernah mengancam untuk membunuh Sayyidina Ali . Bahkan Ibnu Muljim yang kemudiannya membunuh Sayyidina Ali itu juga mendapat latihan serta didikan untuk menentang Sayyidina Utsman di Mesir dan berpura - pura mengasihi Sayyidina Ali . Dia pernah berkhidmat sebagai pengawal Sayyidina Ali selama beberapa tahun di Madinah dan Kufah .

Di dalam Jilaau Al Uyun disebutkan bahawa Abdul Rahman Ibn Muljim adalah salah seorang daripada kumpulan yang terhormat yang telah dikirimkan oleh Muhammad bin Abu Bakr dari Mesir . Dia juga telah berbaiah dengan memegang tangan Sayyidina Ali dan dia juga berkata kepada Sayyidina Hasan, " Bahawa aku telah berjanji dengan Tuhan untuk membunuh bapamu dan sekarang aku menunaikannya. Sekarang wahai Hasan jika engkau mahu membunuhku, bunuhlah. Tetapi kalau engkau maafkan aku , aku akan pergi membunuh Muawiyah pula supaya engkau terselamat daripada kejahatannya". ( Jilaau Al Uyun, ms 218 )

Tetapi setelah golongan Syiah pada ketika itu merasakan perancangan mereka semua akan gagal apabila perjanjian damai di antara pihak Sayyidina Ali dan Muawiyah dipersetujui, maka golongan Syiah yang merupakan musuh-mush Islam yang menyamar atas nama Islam itu memikirkan diri mereka tidak selamat apabila perdamaian antara Sayyidina Ali dan Muawiyah berlaku. Maka segolongan dari mereka telah mengasingkan diri daripada mengikuti Sayyidina Ali dan mereka menjadi golongan Khawarij sementara segolongan lagi tetap berada bersama Sayyidina Ali. Perpecahan yang berlaku ini sebanarnya satu taktik mereka untuk mempergunakan Sayyidina Ali demi kepentingan mereka yang jahat itu dan untuk berselindung di sebalik beliau daripada hukuman kerana pembunuhan Khalifah Utsman .

Sayyidina Hasan pula pernah ditikam oleh golongan Syiah pehanya sehingga tembus kemudian mereka menunjukkan pula kebiadapannya terhadap Sayyidina Hasan dengan merampas harta bendanya dan menarik kain sejadah yang diduduki oleh Sayyidina Hasan. Ini semua tidak lain melainkan kerana Sayyidina Hasan telah bersedia untuk berdamai dengan pihak Sayyidina Muawiyah. Bahkan bukan sekadar itu saja mereka telah menuduh Sayyidina Hasan sebagai orang yang menghinakan orang - orang Islam dan sebagai orang yang menghitamkan muka orang - orang Mukmin.

Kebiadapan Syiah dan kebusukan hatinya ditujukan juga kepada Imam Jaafar As Shadiq bila seorang Syiah yang sangat setia kepada Imam Jaafar As Shadiq iaitu Rabi menangkap Imam Jaafar As Shadiq dan membawanya kehadapan Khalifah Al-Mansur supaya dibunuh. Rabi telah memerintahkan anaknya yang paling keras hati supaya menyeret Imam Jaafar As Shadiq dengan kudanya. Ini tersebut di dalam kitab Jilaau Al Uyun karangan Mulla Baqir Majlisi .

Di dalam kitab yang sama pengarangnya juga menyebutkan kisah pembunuhan Ali Ar Ridha iaitu Imam yang ke lapan di sisi Syiah, bahawa beliau telah dibunuh oleh Sabih Dailamy, seorang Syiah kental dengan perintah Al Makmun. Bagaimanapun diceritakan bahawa selepas dibunuh itu Imam Ar Ridha dengan mukjizatnya terus hidup kembali dan tidak ada langsung kesan - kesan pedang di tubuhnya .

Bagaimanapun Syiah telah menyempurnakan tugasnya untuk membunuh Imam Ar Ridha. Oleh itu tidaklah hairan golongan yang sampai begini biadapnya terhadap Imam-imam boleh membunuh Sayyidina Husain tanpa belas kasihan di medan Karbala .

Boleh jadi kita akan mengatakan bagaimana mungkin pengikut - pengikut setia Imam-imam ini yang dikenali dengan syiah boleh bertindak kejam pula terhadap Imam-imamnya? Tidakkah mereka sanggup mempertahankan nyawa demi mempertahankan Iman-imam mereka ? Secara ringkas bolehlah kita katakan bahawa perasaan kehairanan yang seperti ini mungkin timbul dari dalam fikiran Syiah, yang tidak mengetahui latar belakang kewujudan Syiah itu sendiri. Mereka hanya menerima secara membabi buta daripada orang - orang terdahulu . Adapun orang - orang yang mengadakan sesuatu fahaman dengan tujuan - tujuan yang tertentu dan masih hidup ketika mana ajaran dan fahaman itu mula dikembangkan tentu sekali mereka sedar maksud dan tujuan mereka mengadakan ajaran tersebut. Pada lahirnya mereka menunjukkan taat setia dan kasih sayang kepada Imam-imam itu, tetapi pada hakikatnya adalah sebaliknya .

2. Di antara bukti yang menunjukkan tidak ada peranan Yazid dalam pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala, bahkan golongan Syiahlah yang bertanggungjawab membunuh beliau bersama dengan ramai orang - orang yang ikut serta di dalam rombongan itu, ialah adanya hubungan persemendaan di antara Bani Hasyim dan Bani Umayyah, selepas berlakunya peperangan Siffin dan juga selepas berlakunya peristiwa pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala .

Tidak mungkin orang - orang yang bermaruah seperti kalangan Ahlul Bait akan berkahwin dengan orang - orang yang diketahui oleh mereka sebagai pembunuh - pembunuh atau orang - orang yang bertanggungjawab di dalam membunuh ayah , datuk atau bapa saudara mereka Sayyidina Husain. Hubungan ini selain daripada menunjukkan pemerintah - pemerintah dari kalangan Bani Muawiyah dan Yazid sebagai orang yang tidak bersalah di dalam pembunuhan ini , ia juga menunjukkan mereka adalah golongan yang banyak berbudi kepada Ahlul Bait dan sentiasa menjalinkan ikatan kasih sayang di antara mereka dan Ahlul Bait .

Di antara contoh hubungan persemendaan ini ialah:
(1) Anak perempuan Sayyidina Ali sendiri bernama Ramlah telah berkahwin dengan anak Marwan bin Al-Hakam yang bernama Muawiyah iaitu saudara kepada Amirul Mukminin Abdul Malik bin Marwan. ( Ibn Hazm-Jamharatu Al Ansab, m.s. 80 )

(2) Seorang lagi anak perempuan Sayyidina Ali berkahwin dengan Amirul Mukminin Abdul Malik sendiri iaitu khalifah yang ke empat daripada kerajaan Bani Umaiyah. ( Al Bidayah Wa An Nihayah, jilid 9 m.s. 69 )

(3) Seorang lagi anak perempuan Sayyidina Ali iaitu Khadijah berkahwin dengan anak gabenor Amir bin Kuraiz dari Bani Umaiyah bernama Abdul Rahman . ( Jamharatu An Ansab, m.s. 68 ). Amir bin Kuraiz adalah gabenor bagi pihak Muawiyah di Basrah dan dalam peperangan Jamal dia berada di pihak lawan Sayyidina Ali .

Cucu Sayyidina Hasan pula bukan seorang dua yang telah berkahwin dengan pemimpin - pemimpin kerajaan Bani Umaiyah bahkan sejarah telah mencatatkan 6 orang daripada cucu beliau telah berkahwin dengan mereka iaitu :-

(1) Nafisah bt Zaid bin Hasan berkahwin dengan Amirul Mukminin Al Walid bin Abdul Malik bin Marwan .

(2) Zainab bt Hasan Al Mutsanna bin Hasan bin Ali juga telah berkahwin dengan Khalifah Al Walid bin Abdul Malik . Zainab ini adalah di antara orang yang turut serta di dalam rombongan Sayyidina Husain ke Kufah dan dia adalah salah seorang yang menyaksikan peristiwa pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala dengan mata kepalanya sendiri .

(3) Ummu Qasim bt Hasan Al Mutsanna bin Hasan bin Ali berkahwin dengan cucu Sayyidina Uthman iaitu Marwan bin Aban . Ummu Qasim ini selepas kematian suaminya Marwan berkahwin pula dengan Ali Zainal Abidin bin Al Husain .

(4) Cucu perempuan Sayyidina Hasan yang keempat telah berkahwin dengan anak kepada Marwan bin Al-Hakam iaitu Muawiyah .

(5) Cucu Sayyidina Hasan yang kelima bernama Hammaadah bt Hasan Al Mutsanna berkahwin dengan anak saudara Amirul Mukminin Marwan bin Al Hakam iaitu Ismail bin Abdul Malik .

(6) Cucu Sayyidina Hasan yang keenam bernama Khadijah bt Husain bin Hasan bin Ali juga pernah berkahwin dengan Ismail bin Abdul Malik yang tersebut tadi sebelum sepupunya Hammaadah .

Perlu diingat bahawa semua mereka yang tersebut ada meninggalkan zuriat . 
Dari kalangan anak cucu Sayyidina Husain pula ramai yang telah menjalinkan perkahwinan dengan individu - individu dari keluarga Bani Umaiyah , antaranya ialah :-

(1) Anak perempuan Sayyidina Husain yang terkenal bernama Sakinah. Selepas beberapa lama terbunuh suaminya Musab bin Zubair, beliau telah berkahwin dengan cucu Amirul Mukminin Marwan iaitu Al Asbagh bin Abdul Aziz bin Marwan . Asbagh ini adalah saudara kepada Amirul Mukminin Umar bin Abdul Aziz sedangkan isteri Asbagh yang kedua ialah anak kepada Amirul Mukminin Yazid iaitu Ummu Yazid. ( Jamharatu Al -Ansab )

(2) Sakinah anak Sayyidina Husain yang tersebut tadi pernah juga berkahwin dengan cucu Sayyidina Uthman yang bernama Zaid bin Amar bin Uthman .

Sementara anak cucu kepada saudara - saudara Sayyidina Husain iaitu Abbas bin Ali dan lain - lain juga telah mengadakan perhubungan persemendaan dengan keluarga Umaiyah . Di antaranya yang boleh disebutkan ialah :-

Cucu perempuan kepada saudara Sayyidina Husain iaitu Abbas bin Ali bernama Nafisah bt Ubaidillah bin Abbas bin Ali berkahwin dengan cucu Amirul Mukminin Yazid yang bernama Abdullah bin Khalid bin Yazid bin Muawiyah. Datuk kepada Nafisah ini iaitu Abbas bin Ali adalah di antara orang yang ikut serta dalam rombongan Sayyidina Husain ke Kufah. Beliau terbunuh dalam pertempuran di medan Karbala .

Sekiranya benar cerita yang diambil oleh ahli -ahli sejarah dari Abu Mukhnaf , Hisyam dan lain - lain tentang kezaliman Yazid di Karbala yang dikatakan telah memerintah supaya tidak dibenarkan setitik pun air walaupun kepada kanak - kanak yang ikut serta dalam rombongan Sayyidina Husain itu sehingga mereka mati kehausan apakah mungkin perkahwinan di antara cucu kepada Abbas ini berlaku dengan cucu Yazid . Apakah kekejaman - kekejaman yang tidak ada tolak bandingnya seperti yang digambarkan di dalam sejarah boleh dilupakan begitu mudah oleh anak - anak cucu orang - orang yang teraniaya di medan Karbala itu ? Apa lagi jika dilihat kepada zaman berlakunya perkahwinan mereka ini , bukan lagi di zaman kekuasaan keluarga Yazid, bahkan yang berkuasa pada ketika itu ialah keluarga Marwan . Di sana tidak terdapat satu pun alasan untuk kita mengatakan perkahwinan itu berlaku secara kekerasan atau paksaan .

Perkahwinan mereka membuktikan kisah - kisah kezaliman yang dilakukan oleh tentera Yazid ke atas rombongan Sayyidina Husain itu cerita - cerita rekaan oleh Abu Mukhnaf, Al Kalbi dan anaknya Hisyam dan lain - lain .

Cucu perempuan kepada saudara Sayyidina Husain, Muhammad bin Ali ( yang terkenal dengan Muhammad bin Hanafiyah) bernama Lubabah berkahwin dengan Said bin Abdullah bin Amr bin Said bin Al Ash bin Umaiyah . Ayah kepada Lubabah ini ialah Abu Hisyam Abdullah yang dipercayai sebagai imam oleh Syiah Kaisamyyah .

Demikianlah serba ringkasnya dikemukakan hubungan persemendaaan yang berlaku di antara Bani Umaiyyah dan Bani Hasyim terutamanya dari anak cucu Sayyidina Ali, Hasan dan Husain. Hubungan persemendaan di antara mereka sangat banyak terdapat di dalam kitab-kitab Ansab dan sejarah. Maklumat lebih lanjut boleh dirujuk dari kitab - kitab seperti Jamratu Al Ansab , Nasbu Quraisy , Al Bidayah Wa An Nihayah , Umdatu Al Thalib Fi Ansab Aal Abi Thalib dan lain - lain .

Jika dilihat dari sudut riwayat pula , cerita - cerita berkenaan peristiwa Karbala itu tidak lebih dari hikayat yang tidak mampu bertahan apabila diuji dengan batu menguji sistem riwayat. Ini ialah kerana tidak ada seorang pun pewarta kisah tersebut terdiri daripada orang - orang yang menjadi saksi mata kepala bagi peristiwa ini . Pewarta paling awal bagi peristiwa Karbala ini ialah Abu Mukhnaf Lut bin Yahya yang hidup di kurun ke 2H ! Boleh dikatakan 90% dari kisah-kisah daripada peristiwa Karbala adalah berpunca daripada Abu Mukhhaf Lut bin Yahya ini. Dia adalah seorang yang telah dihukum oleh tokoh-tokoh ilmu rijal sebagai seorang Syiah yang " hangus" atau Syiah pekat , pembohong dan pereka banyak hadis - hadis palsu . Dia telah menulis beberapa buah buku yang memuatkan cerita - cerita perang saudara di permulaan Islam seperti peperangan Jamal, Siffin , perang di Naharwan juga pertempuran di medan Karbala yang terkenal dengan nama " Maqtal Abi Mikhnaf "

Buku - buku tersebut penuh dengan gambaran - gambaran yang berlebih-lebihan dan benar-benar mencerminkan method ahli cerita. Banyak pula cerita - cerita itu hasil rekaannya sendiri. Kumpulan tulisan Abi Mikhnaf inilah yang menjadi sumber rujukan utama at Thabari dalam tarikhnya yang terkenal dengan " Tarikhu Al Uman Wa Al Muluk" atau " Tarikh Thabari ". Di dalam kitabnya itu Thabari seringkali mengulangi kata - kata "Qaala Abu Mikhnaf " yakni " Berkata Abu Mikhnaf ".

Ahli - ahli sejarah yang datang kemudian pula bersandar terus kepada Thabari dan dengan itu cereka - cereka Abu Mikhnaf ini semakin mendapat tempat di dalam sejarah .

Ketika peristiwa Karbala ini berlaku Abu Mikhnaf belum lagi wujud di dunia ini . Imam Zahabi mengatakan , " Dia ( Abu Mikhnaf ) mati pada tahun 170H". Ada pula yang mengatakan dia mati pada tahun 157H. Ertinya lebih kurang 100 tahun selepas berlakunya peristiwa Karbala itu .

Sekarang marilah pula kita melihat kedudukan Abu Mikhnaf ini pada pandangan tokoh - tokoh Ilmu Rijal kerana dengan bercerminkan Ilmu Rijal kita dapat melihat rupa paras sebenar pewarta sesuatu cerita. Mukanya akan kelihatan kepada kita melalui cermin ini , sama ada cantik atau hodoh. Imam Zahabi dalam " Mizan Al Itidal " menulis tentang Abu Mikhnaf ini katanya , " Tidak boleh dipercayai ". Abu Halim dan lain - lain ulama jarh dan tadil telah meninggalkannya ( tidak menerima riwayatnya ). Daaraqutni berkata, "Dia seorang yang lemah" . Ibnu Main berkata : "Dia seorang yang tidak boleh dipercayai". Murrah berkata, "Dia seorang yang tidak bernilai ", dan Ibu Adiy berkata : "Dia adalah seorang Syiah yang hangus, ahli mereka cerita ".

Imam As Suyuti di dalam Al Laaliu Al Masnuuah menghukum Abu Mikhnaf dan seorang lagi ahli cerita sepertinya iaitu Al Kalbi dengan berkata : " Lut ( Abu Mikhnaf ) dan Al Kalbi adalah dua orang pendusta besar". Pengarang " Taajul Arus " pula memperkenalkan Abu Mikhnaf dengan mengatakan : " Dia adalah seorang ahli cerita Syiah, rosak dan ditinggalkan riwayatnya ". Berkenaan dengan Muhammad As Saaib Al Kalbi pula Ibnu Hibban berkata : " Kalbi adalah seorang Sabai ( orang yang mengikut jejak langkah Abdullah bin Saba dan pengikutnya )". Dia adalah dari kalangan orang - orang yang berfahaman bahawa Ali tidak mati bahkan dia akan datang ke dunia ini dan akan memenuhinya dengan keadilan sebagaimana telah dipenuhi dunia ini sebelum itu dengan kezaliman. Ibnu Main berkata : " Kalbi ini seorang yang tidak boleh dipercayai". Jazajani dan lain - lain berkata : " Dia adalah seorang pendusta besar". Daaraqutni dan sekumpulan besar ulama menghukum dia sebagai "matruk" ( orang yang tidak diterima pewartaannya ). Imam Amasy pula berkata : " Waspadalah daripada sabai ini kerana saya mendapati ramai ulama menyenaraikannya dalam golongan pendusta ".

Begitu juga kedudukan anaknya Hisyam. Dia adalah seorang yang tidak diterima periwayatannya oleh ulama Rijal , bahkan mereka telah menghukumnya sebagai pendusta besar. Ringkasnya beginilah kedudukan dan latar belakang pewarta-pewarta kisah Karbala. Jadi bagaimanakah akan diterima cerita orang - orang yang seperti ini ?

Bukti sokongan keempat yang menunjukkan pembunuh - pembunuh Sayyidina Husain dan orang - orang yang menghadapi beliau dengan lengkap bersenjata sebagai musuh itu adalah Syiah Kufah dapat juga dipastikan melalui nama yang disebutkan oleh Sayyidina Husain dan yang ditujukan ucapannya, kepadanya seperti :

i. Sulaiman bin Surad Khuzai
ii. Musaiyyab bin Najabah
iii. Abdullah bin Saad
iv. Abdullah bin Wall
v. Rafaah bin Syaddad
vi. Syabat bin Rabi
vii. Hajjar bin Abjar
viii. Yazid bin Harits
ix. Urwah bin Qais
x. Amar bin Hajjaj
xi. Hur bin Yazid

Al Majlisi sendiri mengakui bahawa orang - orang mukmin dan Syiah seperti Sulaiman bin Surad Khuzai, Musaiyyab bin Najabah, Rafaah bin Syaddad , Habib bin Mudzaahir dan lain - lain itulah yang mengutuskan surat pertama kepada Sayyidina Husain dengan menyebutkan di dalamnya Sayyidina Muawiyah sebagai "Al Jabbar Al Anid" ( diktator yang keras kepala ).

Di antara yang ditulis oleh mereka ialah , " Sekarang kami tidak mempunyai imam dan ketua . Tuan datanglah kepada kami. Kami akan memberikan sepenuh-penuh taat setia kepada tuan. Sebaik sahaja tuan datang, kami akan menghalau keluar Numan bin Basyir Gabenor Kufah daripada Kufah ini. Wassalam ". ( Jilaau Al Uyun , m.s. 356 ).

Perkara yang sama juga tersebut di dalam kitab Muntaha al Aamaal jilid 1 m.s. 303. Lihat juga Tarikh At Thabari jilid 4 m.s. 261 - 262 , Al Kamil Fi At Tarikh jilid 3 m.s. 266 .

Surat ini disampaikan oleh Abdullah bin Sabun Al Hamdani dan Abdullah bin Wall kepada Sayyidina Husain. Selepas surat ini pembesar - pembesar Kufah dan orang - orang kenamaannya yang mana bilangan mereka adalah seramai 150 orang , mengirimkan pula surat kepada beliau melalui Qais bin Mushir, Abdullah bin Syaddad dan Ammar bin Abdullah. Dua hari selepas itu penduduk Kufah menghantarkan pula surat kepada beliau melalui Hani bin Hani As Sabii dan Said bin Abdullah Al Hanafi . Di antara kandungan surat itu ialah :

Selepas Bismillah, " Bahawa segeralah sampai kepada kalangan teman - teman dan pengikut - pengikut tuan. Semua kami telah pun bersiap sedia menanti tuan ".

Selepas itu Syabats bin Rabi , Hajjar bin Abjar , Yazid bin Harits , Urwah bin Qais , Amar bin Hajjaj dan Muhamamd bin Umair At Tamimi pula mengirimkan surat yang lebih kurang isi kandungannya dengan surat - surat yang lalu. ( Jilaau Al Uyun, m.s. 357, Muntaha Al Aamal jilid 1, m.s. 303, Tarikh At Thabari, jilid.4 m.s. 262, dan Al Kamil Fi At Tarikh, jilid m.s. 267 )

Walaupun begitu Sayyidina Husain masih teragak - agak menyambut seruan mereka sehinggalah sampai surat - surat mereka kepada beliau sebanyak lebih kurang 12,000 pucuk dan terlalu ramai pula datang orang - orang yang diutuskan oleh penduduk Kufah. Pada ketika itu barulah Sayyidina Husain membalas surat - surat mereka dengan menulis begini :-

" Surat ini adalah daripada Husain bin Ali kepada orang - orang Mukmin dan Muslim dari kalangan Syiah. Surat tuan - tuan telah pun saya terima semuanya. Sekarang saya hantarkan kepercayaan saya kepada Muslim bin Aqil kepadamu. Nanti kalau dia menuliskkan surat kepada saya tentang pengutus - pengutus surat - surat tersebut adalah dari orang - orang yang mulia, bijaksana dan bertanggungjawab, maka insya Allah dengan segera saya akan datang kepadamu". ( Jilaau Al Uyun , m.s. 357, Muntaha Al Aamal , jilid 1, m.s. 303; Tarikh At Thabari jilid 4 , m.s. 262; Al Kamil Fi At Tarikh jilid 3, m.s. 267 )

Apabila menyebut nama orang - orang ini mungkin ada orang berkata bahawa, " Mereka itu sebenarnya adalah orang - orang yang setia kepada Ibn Ziad dan kerajaan. Mereka hanya menyamar sebagai Syiah, bukannya Syiah yang sebenar, semata - mata untuk memerangkap Sayyidina Husain. Kerana itulah mudah sekali mereka mengarahkan pemberontak - pemberontak yang berkumpul di hadapan kediaman Gabenor Ibn Ziad di Kufah dan kemudian tampil pula di medan Karbala untuk menentang dan memerangi Husain, seterusnya membunuh beliau dan orang - orang yang ikut serta dengan beliau ".

Maka sebagai jawapannya kita akan berkata , " Alasan seperti ini mungkin boleh diterima oleh orang - orang Ahlus Sunnah dan juga orang - orang yang tidak mempunyai kepercayaan tentang Imamah. Tetapi orang - orang yang mempercayai para Imam itu mempunyai satu buku daftar nama - nama syiah berserta nama - nama ayah mereka, andaian ini tertolak sama sekali. Kerana itulah di dalam Kitab Al Kafi jilid 1 m.s. 223 dinukilkan kata - kata Imam Ar Ridha bahawa , " Kami memang mengenali seseorang apabila kami melihatnya sama ada ia seorang mukmin atau ia seorang munafik, dan sesungguhnya syiah kami tertulis nama mereka bersama nama - nama ayah mereka (dalam buku catatan yang ada pada kami )".

Demikian juga tersebut di dalam kitab Al Ihtijaj Thabarsi tentang ciri - ciri seseorang Imam bahawa, " Padanya ada satu daftar yang tertulis di dalamnya nama - nama syiahnya hingga qiamat" . ( Al Ihtijaj , jilid 2 , m.s. 437 ).

Jadi bagaimanakah Sayyidina Husain yang dipercayai sebagai imam oleh orang - orang Syiah itu tidak akan mengetahui pula syiahnya ( pengikutnya ) yang menjemput beliau untuk memberontak itu ? Masakan beliau akan mendedahkan diri kepada bahaya yang mengancam negara beliau dan ahli keluarganya sendiri di dalam perjalanan itu !

Bukti sokongan kelima yang menunjukkan pembunuh - pembunuh Sayyidina Husain adalah orang - orang Syiah Kufah adalah nasihat orang - orang tua dari kalangan sahabat dan juga sanak saudara beliau agar tidak terpengaruh dengan golongan Syiah itu . Mereka mengingatkan Sayyidina Husain tentang pengkhianatan dan kebiadaban Syiah terhadap abang dan ayah beliau pada masa - masa yang lalu .

Sebagai contohnya di sini akan dikemukakan nasihat beberapa sahabat beliau. Di antaranya ialah :-

a) Abu Sa id Al Khudri menceritakan bahawa, " Husain telah mendorong saya supaya memberontak. Maka saya pun berkata kepadanya; Bertaqwalah kepada Allah di dalam hatimu. Tetaplah duduk di rumahmu dan janganlah engkau memberontak terhadap Imammu ( Khalifah Yazid )". ( Al Bidayah Wa An Nihayah, jilid 8 , m.s. 163 )

b) Abu Waqid Al Laitsi menceritakan tindakannya menghalang Sayyidina Husain untuk berangkat ke Kufah dengan katanya, " Maka aku menahannya daripada keluar memberontak dengan nama Allah kerana orang yang memberontak bukan dengan sebab yang wajar adalah orang yang keluar membunuh diri sendiri ". ( Ibid , m.s. 163 )

c) Jaabir bin Abdillah berkata , " Aku telah menasihati Husain dengan kataku; Bertaqwalah kepada Allah dan janganlah engkau memperlagakan sebahagian orang dengan sebahagian yang lain ". ( Ibid ).

d) Sementara Ibn Umar yang dipanggil dengan gelaran Syeikh As Sahabah pula menasihati Sayyidina Husain dengan katanya, " Bertaqwalah kepada Allah. Janganlah engkau memecah belahkan perpaduan ummat Islam". ( Tarikh At Thabari , jilid 4, m.s. 254 )

e) Ibn Abbas yang dianggap sebagai orang tua dari kalangan Ahlul Bait pada masa itu juga puas menasihati Sayyidina Husain seperti juga orang - orang lain tetapi tidak didengar oleh Sayyidina Husain. Mengikut apa yang dikemukakan oleh At Thabari, sampai begini kata - kata Ibn Abbas, " Demi Allah! Kalau aku yakin engkau akan menurut kata - kataku dengan menyentap rambutmu dan memegang tengkokmu sehingga semua orang melihat keadaan itu, nescaya aku lakukan". (Tarikh At Thabari , jilid 4 , m.s. 288 )

Aku Bakar bin Al Harits bin Hisyam pula menasihati Sayyidina Husain dengan katanya , " Bagaimana engkau akan berangkat demi menyahut jemputan orang - orang yang telah memberontak dan menderhaka terhadap ayah dan abangmu. Bukankah engkau sendiri telah menyaksikan apa yang telah mereka lakukan terhadap abangmu sesudah ayahmu? Apakah dengan mereka engkau akan memerangi penduduk Syam dan Iraq yang lebih kuat daripadamu dan cukup lengkap pula senjata mereka ? Bukankah mereka itu orang - orang yang pernah menarik diri daripada berbaiah kepadanya sehingga sebak dada ayahmu oleh kemarahan , padahal seorang yang lebih berpengaruh , lebih perkasa dan lebih dipatuhi ramai?" ( Al Masud Muruju Az Zahab , jilid 3 m.s. 69 - 70 )

Hadis - hadis Syiah yang diriwayatkan daripada Imam - imam maksum juga membuktikan bahawa pembunuhan Sayyidina Husain dan keluarganya dari awal hingga akhir telah berlaku di tangan orang - orang Syiah dan kerana ini mereka terpaksa menderita bencana dan malapetaka besar hingga ke hari ini . Di dalam " Usul Kafi " tersebut satu riwayat daripada Abu Hamzah Ats Tsumali katanya, " Aku mendengar Muhammad Al Baqir berkata , " Wahai Tsabit ! Sesungguhnya Allah Tabarakawataala telah menentukan kemunculan Imam Mahdi pada tahun 70H tetapi apabila Husain terbunuh maka murkalah Allah ke atas penduduk bumi lalu ditundakan kemunculannya kepada tahun 140H. Kami ceritakan kepada kamu tetapi kamu heboh - hebohkan cerita kami. Kamu singkapkan tabir rahsia kerana itulah Allah tidak menentukan lagi waktu kemunculannya kepada kita ". Berkata Abu Hamzah, " Maka aku kemukakan perkara ini kepada Jaafar As Shadiq, oleh beliau diakui bahawa memang begitulah yang terjadi ". (Al usul Min Al Kafi , jilid 1, m.s. 368 )

Daripada hadis Syiah ini dapat difahamkan bahawa pembunuh - pembunuh Sayyidina Husain itu sememangnya orang - orang Syiah . Jika tidak tentulah kemunculan Imam Mahdi pada tahun 70H yang ditentukan Tuhan itu tidak ditundakan kerana tidakkah kemunculan Imam Mahdi itu merupakan nikmat dan rahmat kepada golongan Syiah ? Bukankah mengikut kepercayaan Syiah kedatangan Imam Mahdi akan menghadiahkan kerajaan dan pemerintahan kepada orang - orang Syiah di seluruh dunia ? Kalaulah pembunuh - pembunuh Sayyidina Husain itu bukan Syiah , kenapa pula mereka dihadang daripada mendapat nikmat itu ? Bukankah dengan mengatakan begitu bererti kita mencabar keadilan Tuhan yang dicanang oleh golongan Syiah sebagai Rukun Iman mereka ? Kenapa pula orang lain yang membuat onar tetapi yang menanggung rugi ialah Syiah ?

Ya, mungkinlah ada satu lagi jalan hadapan kita untuk melepaskan Syiah daripada pembunuhan Sayyidina Husain iaitu kerana terbunuhnya Husain itu Tuhan begitu murka sehingga tidak dapat membezakan lagi siapa kekasih dan siapa musuh Nya sehingga telah memutuskan keberuntungan kepada pihak musuh dan kerugian pula kepada pihak kekasih dengan menundakan kemunculan Imam Mahdi!!!

Untuk dikatakan Yazid melalui Gabenor Ubaidullah bin Ziad dan panglimanya Umar membunuh Sayyidina Husain, selain daripada ianya bercanggah dengan kenyataan - kenyataan dan bukti - bukti yang telah dikemukakan sebelum ini, ia juga bercanggah dan bertentangan dengan pesanan yang telah diberikan oleh Muawiyah kepada Yazid tentang Sayyidina Husain dan pesanan itu dicatatkan oleh Thabari di dalam " Tarikh"nya bahawa, " Adapun Husain bin Ali maka penduduk Iraq sekali - kali tidak akan melepaskannya sehinggalah mereka mengeluarkannya untuk memberontak. Maka sekiranya ia keluar memberontak terhadapmu dan engkau dapat menangkapnya maka maafkan lah dia kerana beliau mempunyai pertalian rahim yang sangat hampir dengan kita dan juga mempunyai hak yang sangat besar". ( Tarikh At Thabari , jilid 4 , ms 238 )

Di tempat yang lain dinukilkan begini , " Sekiranya engkau menangkapnya maka maafkanlah dia kerana jika aku sendiri menghadapi perkara ini necsaya aku memaafkan dia juga ". ( Ibid jilid 4 m.s. 239 )

Perkara yang sama juga telah disebutkan oleh Mullah Baqir di dalam kitabnya " Jilaau Al Uyun ". Walaupun selepas mengemukakan pesanan ini Mulla Baqir menyatakan pendapatnya bahawa wasiat yang diberikan oleh Muawiyah kepada Yazid itu bukanlah kerana memikirkan Sayyidina Husain tetapi untuk menjaga kerajaan Yazid. Kerananya Muawiyah telah pun mengetahui bahawa dengan membunuh Sayyidina Husain akan hancurlah kerajaan Yazid. Tetapi ini tidak lebih daripada dakwaan semata - mata tanpa disokong oleh dalil yang kukuh dan memberikan kunci ilmu ghaib pula kepada Muawiyah . Kalaulah Muawiyah memang berniat begitu, kenapakah beliau tidak mengatakan terus terang kepada Yazid bahawa, " Jangan sekali - kali engkau membunuh Husain kerana pembunuhannya menandakan kehancuran kerajaanmu". Walau bagaimanapun pesanan Muawiyah itu telah dikemukakan juga oleh beliau seperti mana ahli - ahli sejarah yang lain.

Yazid pula di dalam pesanannya terhadap gabenornya Ibn Ziad menekankan begini : " "Saya mendapat tahu bahawa Husain telah pun menuju ke Iraq. Oleh itu berkawallah di kawasan - kawasan perbatasan negeri. Sesiapa yang diragui , tahanlah dia dan sesiapa yang tertuduh tangkaplah dia. Tetapi jangan engkau perangi kecuali orang yang memerangimu dan tulislah selalu kepadaku tentang apa yang berlaku. Wassalam ". ( Al Bidayah Wa An Nihayah , jilid 8 m.s. 165 )

Pesanan ini menunjukkan tindakan Yazid yang bijaksana sebagai pemimpin negara yang mahukan keamanan dan ketenteraman di dalam negaranya. Begitu juga terdapat arahan di dalamnya kepada Gabenor Ibnu Ziad supaya tidak memulakan perang terhadap pihak lawannya dan jika diserang pula, maka langkah - langkah yang mempertahankan diri perlulah diambil. Kata - kata Yazid yang berbunyi , "Tetapi janganlah engkau perangi kecuali orang yang memerangimu", merobohkan sama sekali cerita palsu yang memuatkan kezaliman dan kekejaman oleh pihak kerajaan Yazid terhadap Sayyidina Husain. Begitu juga mana mungkin kekejaman dan tindakan yang melampau terhadap rombongan Sayyidina Husain itu dilakukan oleh Ibn Ziad, gabenor Yazid di Kufah dalam keadaan terdapat pula surat daripada Marwan, bekas Gabenor Madinah, kepadanya yang berpesan dengan sungguh - sungguh berbunyi :

" Sesungguhnya Husain bin Ali anak Fatimah telah pun menuju ke arahmu dan Fatimah adalah anak perempuan Rasulullah s.a.w. Demi Allah ! Tidak ada seorang pun yang lebih dikasihi kami daripada Husain. Semoga Allah menyelamatkannya . Oleh itu waspadalah. Jangan sekali-kali kerana kemarahan engkau melakukan sesuatu yang tidak dapat diubati dan tidak dapat dilupakan oleh ummat sampai akhir zaman. Wassalam". ( Al Bidayah Wa An Nihayah, jilid 8, m.s. 165; Naasikhu At Tawarikh, jilid 6 , m.s. 212 ).

Surat ini selain daripada menunjukkan betapa kasihnya Marwan kepada Sayyidina Husain dan betapa kuatnya peringatan yang diberikannya kepada Ibn Ziad telah menidakkan segala cerita - cerita palsu yang dihubungkan kepada Ibnu Ziad . Dengan adanya pesanan - pesanan dan arahan - arahan seperti ini daripada pemimpin agung dan pemimpin - pemimpin yang lain, mana mungkin seorang pemimpin bawahan seperti Ibn Ziad sanggup melanggarnya .


Selain dari itu kalaulah Yazid bertanggungjawab di dalam pembunuhan Sayyidina Husain itu maka mengapakah pula rombongan - rombongan sanak - saudara Sayyidina Husain yang masih hidup selepas peristiwa Karbala itu dibawa oleh bala tentera Yazid ke Syam dengan penuh penghormatan ? ( Al Akhbaru At Thiwal m.s. 200 )

Zainab saudara Sayyidina Husain misalnya, setelah berada di Syam dan mendapat bermacam - macam kemudahan dan layanan yang baik daripada pihak kerajaan Yazid tidak mahu lagi pergi kemana - mana hatta pulang ke Madinah apa lagi akan pergi ke Iraq atau Kufah . Ali Zainal Abidin pula dilaporkan oleh ahli - ahli sejarah sebagai seorang yang amat setia kepada Yazid dan tidak terlibat dalam mana - mana pemberontakan oleh mana - mana pihak sesudah itu sama ada pemberontakan oleh pihak Ibnu Zubair atau pihak Mukhtar bin Abi Ubaid Ats Tsaqafi (yang bangkit memberontak dengan alasan membela Ahlul Bait !)
++++++++++++++++++++++++++++++++

Umar bin Saad telah dikaitkan dengan pembunuhan Sayyidina Husain kerana beliau adalah anak kepada salah sahabat agung Rasulullah s.a.w. , Saad bin Abi Waqqas r.a. Kejujuran dan kebaikan Umar bin Saad ini dapat kita lihat di celah - celah kitab sejarah yang bercampur baur di antara kebenaran dan kebatilan.

Muslim bin Aqil mengamanahkan kepadanya untuk menyampaikan pesan kepada Sayyidina Husain (sebelum sampai ke Kufah) tentang kecurangan golongan Syiah yang sebelum itu telahpun mengadakan janji setia dengannya. Umar bin Saad telah menyampaikan amanah Muslim bin Aqil itu kepada Sayyidina Husain. ( Akbary At Thiwal m.s. 354 ). Selepas mendapat maklumat ini Sayyidina Husain tidak mahu lagi meneruskan perjalanannya ke Kufah dan terus membelok ke kiri mengambil jalan Syam atau Karbala yang berada di jalan yang menuju ke Syam, bukan jalan yang menuju ke Kufah. Sementara Ibnu Ziad pula dengan senang hati membenarkan Umar bin Saad yang diketahuinya sangat bersimpati dan kasih kepada Husain untuk membawa amanah Muslim bin Aqil kepada Husain yang sedang dalam perjalanan ke Kufah itu ( Al Bidayah Wa An Nihayah).

Ini jelas menunjukkan bahawa Sayyidina Husain telahpun membatalkan maksud asalnya untuk memberontak terhadap kerajaan Yazid dan telahpun menunjukkan kesediaanya untuk berbaiah kepada Yazid. Ini jelas kita lihat di dalam kitab - kitab sejarah di mana Sayyidina Husain telah diberi pilihan oleh pihak kerajaan ( melalui Umar bin Saad) bahawa sama ada beliau berpatah balik ke Mekah atau pergi kemana - mana perbatasan negeri atau mengalihkan arah tujuannya ke Syam untuk berbaiah kepada Yazid .

Jika salah satu daripada tiga perkara ini dipilih oleh Sayyidina Husain, beliau dan rombongannya tidak akan sekali kali diganggu dan diceroboh , apalagi akan dibunuh. ( (Umdau At Thalib Fi Ansab Aal Thalib, m.s. 179; At Thabari jilid 4 m.s 313 )

Tidak mungkin sama sekali kita menerima Umar bin Saad telah melakukan keganasan dan penghinaan sebegitu rupa sebagaimana yang dinyatakan di dalam buku - buku sejarah kerana kerana bertentangan dengan riwayat oleh Abu Mikhnaq Lut bin Yahya sendiri bahawa perawi berkata , " Seolah - olah aku masih lagi nampak airmata Umar bin Saad yang mengalir membasahi pipi dan janggutnya". ( Tarikh At Thabari jilid 4 m.s. 245 )

Orang yang sekejam dan seganas seperti yang digambarkan oleh sejarah itu tidak mungkin akan menangisi kematian orang yang dibunuhnya sampai begitu sekali bahkan sebaliknya tangisannya itu menunjukkan kesedihannya yang amat sangat di atas kematian Sayyidina Husain yang telah dibunuh secara aniaya itu .

Selain dari itu Umar bin Saad ini telah disebut oleh Ibn Saad di dalam " Thabaqat "nya dalam senarai thabaqah yang pertama dari kalangan tabiin penduduk Madinah .

Hafidz Ibn Hajar pula menyenaraikan nama - nama orang - orang yang meriwayatkan hadis daripadanya. Kata Hafidz Ibn Hajar, " Umar bin Saad bin Abi Waqqas Az Zuhri Abu Hafas Al Madani" tinggal di Kufah. Beliau telah meriwayatkan hadis daripada ayahnya dan dari Abi Said Al Khudri. Sementara orang - orang yang meriwayatkan hadis - hadis daripadanya ialah anaknya Ibrahim dan cucunya Abu Bakar bin Hafas, Abu Ishaq As-Sabii , Aizar bin Hiraits, Yazid bin Abi Maryam, Qatadah, Suhri , Yazid bin Abi Habib dan lain - lain lagi .

Ijli berkata, " Beliau meriwayatkan beberapa hadis daripada ayahnya dan beliau adalah seorang tabii yang tsiqah ( yang dipercayai ) ". ( Tahzibu At Tahzib jilid7 m.s 396 )

Kenyataan Hafidz Ibn Hajar ini menunjukkan bahawa Umar bin Saad adalah seorang yang dipercayai oleh ulama mutaqaddimin yang digolongkan sebagai orang - orang yang kepercayaan dalam periwayatan mereka . Sekiranya keganasan dan kezalimannya terhadap Sayyidina Husain dan rombongannya memang benar - benar berlaku seperti yang digambarkan oleh buku - buku sejarah maka bagaimanakah orang - orang besar yang merupakan tonggak dalam periwayatan hadis menerimanya sebagai seorang yang adil lagi tsiqah ? Kenyataan ini juga menunjukkan bahawa kisah - kisah kezaliman yang dihubungkan kepada Umar bin Saad ini belum lagi popular pada ketika itu dan tidak diterima oleh ahli ilmu dan cerdik pandai Islam .

Sebenarnya, orang - orang Syiah yang ikut serta dalam rombongan Sayyidina Husain sebagai pengiring mereka seramai lebih kurang 60 orang itu tidak akan senang hati dengan keputusan Sayyidina Husain untuk membaiah Yazid kerana bila Sayyidina Husain berbaiah kepada Yazid mereka sudah pasti akan dibunuh. Sekiranya ini terjadi akan musnahlah segala perancangan mereka untuk menghancurkan perpaduan umat Islam pada ketika itu iaitu dengan tertangkapnya orang - orang yang terlibat dalam pemberontakan tersebut dan dengan terkumpulnya seluruh baiah kepada Yazid .

Apa yang kita ketahui hari ini sebagai peristiwa Karbala yang menyayatkan hati setiap Muslim yang cintakan Rasulullah s.a.w dan Ahlul Baitnya sebenarnya disebabkan oleh golongan Syiah yang mengiringi Sayyidina Husain di samping golongan Syiah yang datang dari Kufah . Merekalah yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Husain dengan tujuan untuk terus mengharubirukan suasana dan memecah belahkan kesatuan umat . Untuk mencapai tujuan ini mereka telah mencanangkan Yazid sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala.

Begitulah perangai mereka , setelah membunuh seseorang mereka letakkan dosa pembunuhan itu ke atas orang lain. Sebagai buktinya, kita boleh lihat kenyataan seorang pengarang sejarah Syiah di dalam bukunya " Umdatu At Talib " di mana beliau menulis begini :

" Setelah mendengar berita pembunuhan Muslim , maka Husain mahu berpatah balik tetapi anak - anak Aqil enggan berbuat begitu . Maka beliaupun terus mara ke hadapan sehingga sampai tidak jauh dari Kufah . Di situ beliau berhadapan dengan Hur bin Yazid Ar Riahi (seorang Syiah ) dengan 1,000 pasukan berkudanya . Husain enggan meneruskan perjalananannya ke Kufah dan beliau membelok ke arah Syam dengan maksud untuk menemui Yazid bin Muawiyah tetapi bila beliau sampai di Karbala beliau ditahan dari meneruskan perjalanannya ke Syam dan dipaksa supaya pergi ke Kufah menurut perintah Ubaidullah bin Ziad tetapi Husain tetap enggan dan tetap memilih jalan yang membawa mereka ke Syam ". ( Umdatu At Thalib Fi Ansab aal Abi Thalib, m.s. 179 )

Kalaupun dikatakan juga Yazid yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan Sayyidina Husain dan sebahagian ahli rombongannya ke Kufah itu ( walaupun sebelum ini telah terbukti bahawa Yazid bebas daripada tuduhan pembunuhan itu ) maka bukankah ada juga hujah bagi Yazid untuk bertindak demikian berdasarkan perintah Nabi s.a.w. di dalam sabdanya yang bermaksud :

" Apabila telah dibaiahkan dua khalifah maka bunuhlah yang terkemudian daripada dua itu ". (Sahih Muslim )

Begitu juga Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud :

" Jika seseorang tampil untuk menentang seseorang khalifah ( yang sudah dilantik ) dengan mendakwa sebagai khalifah , maka penggallah leher orang yang mendakwa khalifah itu ".(Muslim, Abu Daud , Nasai, Ahmad , Ibn Majah )

Nabi s.a.w. . juga bersabda bermaksud :

" Sesiapa juga yang datang kepadamu dalam keadaan kamu sudah berbaiah kepada seseorang, dia mahu memecahkan perpaduan kamu atau menyelerakkan perpaduan di antara kamu, maka bunuhlah dia ". ( Sahih Muslim )

Begitu juga Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud :

" Nanti akan berlaku fitnah yang besar- besar. Maka jika ada sesiapa mahu menyelerakkan urusan umat ini ketika mana mereka telahpun bersepakat, maka penggallah lehernya dengan pedang , biar siapapun dia itu ". ( Muslim )

Mungkin ada yang terkeliru apabila melihat kedudukan Sayyidina Husain yang begitu istimewa berbanding Yazid, maka haruslah Sayyidina Husain memberontak terhadap Yazid. Kekeliruan seperti ini seharusnya akan hilang dengan adanya hadis-hadis daripada Rasulullah s.a.w.. seperti yang bermaksud :

" Turutlah dan taatilah ( pemerintahmu ) walaupun dilantik memerintah kamu seorang hamba Habsyi yang kepalanya bagaikan buah anggur ". ( Bukhari , Muslim, Nasai, Ahmad, Ibn Majah )

Begitu juga menurut apa yang diriwayatkan oleh Ubadah bin As Shamit bahawa , "Rasulullah s.a.w. memanggil kami dan kami berbaiah kepadanya untuk menurut dan mematuhi pemerintah".

Sama ada kami suka atau tidak suka, sama ada sukar ataupun mudah untuk kami menurutinya dan sehingga kami mengorbankan apa saja untuknya, kami juga berbaiah untuk tidak menentang pemerintah kecualilah jika pemerintah itu melakukan kekufuran secara terang-terangan dan kamu pula mempunyai bukti yang terang daripada Allah tentangnya . ( Sahih Bukhari & Muslim )

Kedua - dua hadis ini menjelaskan bahawa seseorang pemimpin itu wajib ditaati dan tidak boleh memberontak terhadapnya biar dalam keadaan bagaimana sekalipun kecualilah jika pemerintah itu telah melakukan kekufuran secara terang - terangan seperti yang tersebut di dalam hadis ini . Oleh itu di manakah letaknya kewajaran menentang beliau (Yazid) dan memberontak terhadapnya ?

Berdasarkan hadis - hadis ini juga tidakkah wajar bagi Yazid bertindak menghalang pemberontakan yang berlaku ( walaupun usaha ini sampai menumpahkan darah ) ? Jika diandaikan Sayyidina Husain berada di tempat Yazid sebagai khalifah maka apakah yang seharusnya beliau lakukan ke atas pemberontak yang mahu merampas kuasa daripadanya ? Bukankah dia akan bertindak mempertahankan kedudukannya sebagai khalifah yang telah dibaiahkan oleh umat dengan menumpaskan pemberontakan yang berlaku walaupun dengan menumpahkan darah mereka. Jika beliau bertindak begitu , bukankah kita tetap akan berkata , " Bahawa beliau tidak melampaui batas dalam tindakannya itu kerana sememangnya ada perintah Rasulullah s.a.w berhubung dengan tindakan terhadap pemberontakan atau orang yang mendakwa sebagai khalifah setelah diberikan baiah kepada seseorang sebagai khalifah sebelumnya ?"

Kerana itulah kita lihat dalam sejarah tidak ada seorangpun sahabat yang turut serta dalam pemberontakan yang dicetuskan oleh Sayyidina Husain, bahkan mereka telah berusaha sedaya upaya menghalang Sayyidina Husain dari maksudnya itu . Perlu diingat bahawa pada masa itu terdapat masih ramai lagi sahabat Rasulullah s.a.w. ( Syeikh Muhammad Al Khudhari Bey - Itmamu AL Qafa Fi Seerati Al Khulafa, m.s 14 )

Demikian juga dari kalangan sanak - saudaranya hanya sebilangan kecil sahaja daripada mereka yang ikut serta dalam rombongan itu . Iparnya Abdullah bin Jaafar At Thayyan, suami kepada saudara perempuan Sayyidina Husain yang bernama Zainab, telah bercerai dengan isterinya kerana berbeza pendapat dengan isterinya dan tidak bersetuju dengan maksud Sayyidina Husain itu.

Di sini mungkin pula timbul persoalan iaitu , kenapa pula kita mengambil kenyataan dari riwayat yang menyatakan pembunuh-pembunuh Sayyidina Husain adalah Syiah Kufah dan bukannya pihak Yazid sebagimana yang sering didengari dan disebarkan selama ini?

Maka untuk menjawab persoalan ini kita akan berkata bahawa , " Riwayat yang mengatakan pihak Yazid sebagai pembunuh Sayyidina Husain di Karbala itu 90% daripadanya adalah berpunca daripada Abu Mikhnaf Lut bin Yahya dan orang - orang seperti Muhammad bin As Saaib Al Kalbi dan anaknya Hisyam yang telah dikenali oleh ulama Rijal sebagai orang - orang Syiah. Bahkan mereka disebutkan sebagai " Sabai "(pengikut Abdullah Ibn Saba )"

Riwayat-riwayat yang menyebutkan Syiah Kufah sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Sayyidina Husain itu juga diriwayatkan oleh Syiah . Bahkan kenyataan - kenyataan ini tersebut di dalam kitab - kitab mereka yang " asal ".

Jadi kedua - dua riwayat ini adalah berpunca daripada Syiah (pengikut Ibn Saba yang terkutuk itu) , mereka menyimpan bersama mereka fakta yang sebenarnya tetapi untuk mengelirukan umat Islam terutamanya golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan umat manusia seluruhnya, mereka mencipta kisah - kisah yang menggambarkan Yazid sebagai pihak yang bertanggungjawab di dalam pembunuhan itu . Orang - orang dari kalangan mereka seperti Abu Mikhnaf Lut bin Yahya, Al Kalbi, Al Waqidi dan lain - lain mencipta kisah ini untuk dikemukakan kepada ahli - ahli sejarah Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti At Thabari dan lain - lain .

Dan apa yang dikemukakan oleh Thabari itu telah mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat kerana beliau dipercayai sebagai orang Ahlus Sunnah wal Jamaah yang bersikap sederhana dalam penyusunan kitab sejarahnya. Dengan begitu , berjayalah puak-puak Syiah ini dalam perancangan mereka yang halus itu. Berabad lamanya mereka berpesta keriangan lantaran tertipunya Ahlus Sunnah dan manusia semuanya .


Walau bagaimanapun , kebenaran tetap akan terserlah jua akhirnya. Seperti matahari yang ditutupi awan tebal untuk beberapa lama tetapi akhirnya tetap akan memancarkan sinarnya yang terang .

Golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang terperangkap dengan tipu daya Syiah ini adalah golongan yang meninggalkan dua sumber yang dijamin oleh Rasulullah s.a.w . iaitu Al-Quran dan Al Hadis .

Mereka itu sebenarnya adalah orang - orang yang malang kerana menganggap Al-Quran dan As Sunnah tidak berperanan dalam mengemukakan fakta - fakta sejarah sepertimana peranannya di dalam mengemukakan hukum - hukum agama .

Adapun Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berpegang teguh dengan kedua - duanya , sama sekali mereka tidak akan terkeliru dan terpedaya dengan kepalsuan sejarah yang disebarkan oleh musuh - musuh Islam.

Di dalam Sahih Bukhari misalnya akan kita temui riwayat dari Ibn Umar yang dengan jelas mengatakan golongan Syiah Kufah atau orang Iraq lah yang telah membunuh cucu Rasulullah s.a.w., Sayyidina Husain, iaitu ketika beliau ditanya oleh seorang penduduk Iraq tentang apakah fidyahya orang yang berihram yang membunuh lalat ? Maka sebagai menjawabnya beliau berkata, " Orang Iraq bertanya tentang membunuh lalat padahal mereka telah membunuh cucu Rasulullah s.a.w . ( Sahih Bukhari , jilid 1, m.s 530 )

Riwayat ini menunjukkan bahawa para sahabat yang masih hidup pada ketika itu tidak menganggap pembunuhan Sayyidina Husain di Karbala berlaku mengikut perintah Yazid bahkan mereka menganggap orang Iraq atau orang- orang Kufahlah yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Husain, kerana itulah sikap mereka terhadap Yazid dapat dilihat dengan jelas iaitu mereka tetap setia kepadanya dan tidak terlibat dalam pemberontakan - pemberontakan terhadapnya yang dicetuskan oleh Ibn Zubair atau Mukhtar bin Abi Ubaid Ats Tsaqafi .

Di zaman kemudian daripada generasi sahabat pula , walaupun sudah agak meluas tersebarnya riwayat - riwayat yang menuduh Yazid sebagai pembunuh Sayyidina Husain, namun rata-rata masyarakat pada masa itu masih tidak terpedaya dengannya . Sebagai contohnya dapat dilihat pada pandangan Imam Ghazali tentang Yazid dan juga orang yang membunuh atau menyuruh membunuh Sayyidina Husain. Kata beliau , " Dan Yazid, Islamnya baik, tidak benar pendapat yang mengatakan beliau membunuh Sayyidina Husain atau beliau menyuruh orang membunuhnya atau beliau senang hati dengan pembunuhan itu . Oleh itu , apabila tidak benar pembunuhan itu dilakukannya , maka haramlah berprasangka buruk terhadapnya . Allah s.w.t berfirman bermaksud :

"Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa ".

Nabi S.A.W. bersabda :
"Sesungguhnya Allah mengharamkan darah, harta dan kehormatan setiap orang Muslim ( dari dicerobohi) "

Orang yang menyangka Yazid telah memerintahkan supaya membunuh Sayyidina Husain dan senang hati pula dengan pembunuhannya adalah terlalu bodoh kerana orang - orang besar, menteri - menteri dan raja - raja yang terbunuh di zamannya tidak diketahuinya siapakah pembunuhnya, yang memerintahkan pembunuhan, siapa yang senang hati dan siapa pula yang tidak senang hati, walaupun pembunuhan itu berlaku tidak jauh daripada tempatnya dan semasa hidupnya, bagaimana pula dia akan mengetahui pembunuhan yang telah berlaku di satu negeri yang jauh dan pada satu masa yang telah lama pula ? Bagaimana dia mengetahui peristiwa yang telah berlaku hampir 400 tahun yang lampau di suatu tempat yang jauh ditambah pula oleh adanya perasaan tasub dan cerita - cerita palsu berhubung dengan peristiwa ini ?

Tentu sekali peristiwa ini tidak dapat diketahui hakikatnya sama sekali dan apabila kita tidak mengetahui hakikatnya, maka wajiblah kita menyimpan sangka baik terhadap setiap orang Islam - Imam Al Ghazali ( Ihya Ulummuddin jilid 7 m.s 488 dan Ibn Khallikan - Wafayaatu Al Ayan jilid 3 m.s 288 - 289 )

Begitulah pendapat Imam Ghazali dan juga muridnya Ibnul Arabi di dalam bukunya " Al Awaasim Min Al Qawaasim ". Dengan meletakkannya di hadapan semua kenyataan - kenyataan sebelum ini, hendaknya tidak ada lagi orang yang ragu tentang bersihnya Yazid daripada tuduhan liar ini dan terungkaplah sudah rahsia pembunuh - pembunuh sebenar Sayyidina Husain di Karbala .

Seorang penyair Urdu berkata :

qarib he abltoroze mehsyar
chupe ga kusyton/ka khun kiunkar
agar na boli/zubane khaujar
lahu pukarelga aasetin ka

bermaksud :

hari mashyur sudahpun hampir
darah orang - orang terbunuh takkan tersembunyi lagi
kalaupun lidah khanjar tidak berkata
percikan darah di lengan - lengan baju pasti akan menjadi saksi

Dan akhir sekali renungi firman Allah S.W.T. ini yang bermaksud :
"Dan ingatlah ) ketika kamu membunuh seorang manusia lalu kamu saling tuduh menuduh tentang pembunuhan itu dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu sembunyikan ". (Al Baqarah : 72 )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan