21 Ogos 2011

Wujudkah hadis Zaafaran

Soalan: Assalamualaikum Ustaz, betulkah hadis Nabi tentang zaafaran ini ada?
“Sesiapa yang mengambil sebahagian Za’faran tulen dan Su’dun satu bahagian dicampurkan dengan asal (madu), diminum sebanyak dua misqal (dua sudu) pada setiap hari, maka dia dikagumi tentang ingatannya sehingga dituduh melakukan sihir”.

Selain itu, ada lagikah hadis tentang zaafaran?


Jawapan: Waalaikumussalam. Alhamdulillah, terima kasih bertanya. Zaafaran memang diakui mengandungi rahsia pengubatan yang tersendiri. Ia juga salah satu bunga yang termahal di dunia. Ia juga lulus dalam ujian klinikal dalam bidang perubatan dan pakar kedoktoran mengakui ia mempunyai khasiat tersendiri. Ia telah digunakan oleh Hippocrates II (Raja Pengubatan Rom). Kebanyakan Zaafaran ditanam di Iran. Sistem pengubatan kaum Syiah ini telah diaplikasikan dalam pengubatan Islam. Saya sedar bahawa terdapat sesetengah blog mengaitkan kata-kata di atas sebagai hadis Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Sebenarnya ia satu salah faham antara mereka yang ingin mempromosikan produk zafaran. Setakat ini semua perawat Islam tidak mengatakan ianya hadis nabi



Maka dari mana datangnya? Ia datang dari beberapa kitab perubatan iaitu "Tibb Al-Imam Ali (طب اللأمأم علي)" dan Thibbun Nabawi (الطب النبوي). Dalam kitab tersebut, Saiyidina Ali (karamallahu wajhi) menyatakan:
من أخذ من الز عفر ان الخالص جزءا ومن السعد جزءا ويضاف اليهما عسل يشرب منه مثقلين في كل يوم فانه يتخوف عليه من شدة الحفظ أن يكون ساحر

Maksudnya : “Sesiapa yang mengambil sebahagian Za’faran tulen dan Su’dun satu bahagian dicampurkan dengan asal (madu), diminum sebanyak dua misqal (dua sudu) pada setiap hari, maka dia dikagumi tentang ingatannya sehingga dituduh melakukan sihir”. 

Selain itu juga za'faran ada di sebut di dalam Kitab Terapi Herba dan Tumbuh-tumbuhan (التداوي بالأعشاب والنباتات - عبد اللطيف عاشور) Karangan oleh : Abdul Latif Asyur.

Hadis tentang zafaran memang ada iaitu:
"Daripada Anas dia berkata: "Bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang kaum lelaki memakai za'faran  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Za'faran adalah sejenis daun tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan warna serta berbau harum. Dilarang memakai za'faran bagi lelaki adalah kerana warnanya bukan baunya, kerana memakai benda yang harum bagi lelaki adalah disunatkan. Daun inai itu sama seperti za'faran dari segi mengeluarkan warna dan bau.

Tambahan lagi, perbuatan berinai pada tangan dan kaki itu di dalamnya unsur-unsur menyerupai atau meniru-niru cara kaum wanita berhias. Haram hukumnya perbuatan meniru-niru atau menyerupai antara lelaki dan perempuan sebagaimana ditegaskan di dalam sebuah hadis sahih:

Daripada Ibnu 'Abbas Radhiallahu Anhuma beliau berkata: "Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat kaum lelaki yang menyerupai atau meniru-niru kaum wanita dan kaum wanita yang menyerupai atau meniru-niru kaum lelaki"(Hadis riwayat Bukhari)

Lelaki hanya dibenarkan memakai inai untuk mewarnakan rambut dan jambang (apabila sudah beruban) sebagaimana sunnah Nabi Muhammad dan Nabi Ibrahim. Dari Ibnu Sirin r.a. katanya:."Aku bertanya kepada Anas bin Malik r.a: "Adakah Rasulullah SAW mencelup rambut Baginda?" jawab Anas: "Baginda tidak kelihatan beruban, kecuali di janggutnya nampak beberapa helai rambut putih." Kata Ibnu Sirin:"Aku betanya pula kepadanya, adakah Abu Bakar mencelup rambutnya?" Jawab Anas: "Ada. Dengan inai." (Hadis Riwayat Muslim)

Dan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan: Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam." (Hadis Riwayat Tarmizi)

Maka dengan hadis zafaran tadi, lelaki ditegah mewarnakan dengan zaafaran. Wallahu alam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan