26 Disember 2011

Sejarah Mazhab Islam Bahagian 1 - Mazhab

Sejarah Kemunculan Mazhab Akidah
Bagi pengkaji ilmu akidah, pengajian mereka dianggap sempurna apabila mengenali pecahan-pecahan ideologi yang lahir dalam masyarakat Islam. Dalamnya berlaku perbincangan-perbincangan hangat dan menyentuh perkara yang berkaitan dengan akidah. Faktor ini disebabkan gangguan dari dalam dan luar yang menggugat iman yang sebenar. Gangguan yang lahir ini disebut dalam hadis Nabi Muhammad.

Daripada Auf bin Malik melaporkan, Nabi Muhammad berkata,
“Orang-orang Yahudi berpecah kepada 71 kumpulan. Satu kumpulan masuk syurga dan 70 kumpulan ke neraka. Orang Nasrani berpecah kepada 72 kumpulan. 71 kumpulan ke neraka, satu kumpulan ke syurga. Sesungguhnya umatku berpecah kepada 73 kumpulan. Satu puak ke syurga dan 72 kumpulan ke neraka.” Lalu ditanya, “Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?” Nabi Muhammad berkata, “Mereka adalah yang berada dalam jemaah.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah)

Daripada Abdullah bin Mas’ud melaporkan,
Nabi Muhammad menggariskan satu garisan dengan kayu yang dipegangnya. Kemudian beliau berkata, “Inilah jalan Allah dan jalan yang betul. Beliau membuat garisan lagi di sebelah kanan dan kirinya. Kemudian beliau berkata, “Jalan-jalan ini tidak ada satu pun daripadanya melainkan ada syaitan yang mengajak ke arahnya.” Kemudian Nabi Muhammad membaca ayat Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya inilah jalanku, jalan yang betul maka ikutlah ia. Jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu bercerai berai dari jalannya.”(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal)

Kini, amaran Nabi Muhammad itu benar-benar berlaku. Apabila umat Islam memandang ringan pada ajaran Islam, mereka tidak bersungguh-sungguh berpegang dan menyelesaikan masalah melalui cara Islam. Akhirnya, mereka mudah terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang direka kerana kejahilan dari dalam. Begitu juga gangguan daripada niat-niat jahat musuh yang berpura-pura mengaku Islam. Mereka juga mencampurkan ajaran Islam dengan ajaran-ajaran yang diambil dari luar. Semua fahaman ini mempunyai pengikut. Mereka sanggup mempertahankan pegangan mereka dengan bersungguh-sungguh malah sanggup mengorbankan apa sahaja.

Antara aliran dan fahaman yang pelbagai itu, ada yang tidak membatalkan iman. Orang yang berpegang dengan fahaman itu masih dianggap sebagai penganut Islam. Namun, ada golongan yang dihukum keluar daripada Islam kerana fahaman mereka membatalkan akidah. Antara perkara yang membatalkan akidah adalah seperti berikut:

- Menolak salah satu daripada rukun iman atau menyeleweng daripadanya.
- Menolak hukum agama atau menundanya seperti menghalalkan perkara yang haram atau mengharamkan perkara yang halal.
- Beriman pada sebahagian iman dan menolak sebahagian iman yang lain secara ingkar. Ingkar itu bermaksud jelas kerana tidak percaya. Sebahagian lagi ingkar kerana menjadi alat musuh Islam secara terang-terangan. Ingkar juga dianggap apabila memberi kesetiaan kepada golongan bukan Islam ketika menghadapi orang-orang beriman. Ia menunjukkan individu itu tidak lagi setia pada Islam. Pada waktu yang sama, mereka tetap mengaku sebagai orang Islam dan beramal dengan sebahagian daripada ajarannya.

Para sarjana sejarah Islam merekodkan, pada kurun pertama dalam kalendar Hijrah, ada dua orang yang menjadi punca kemunculan ideologi akidah yang tidak berdasarkan al-Quran dan sunnah. Mereka berpura-pura memeluk Islam bagi merosakkan penganutnya dari dalam.

- Seorang penganut agama Kristian bernama Susan memperalatkan individu bernama Ma’bad bin
Ubaidillah al-Juhani. Dia menyebarkan ajaran yang dinamakan Qadariah. Ajaran ini membataskan kuasa dan kehendak Allah serta menyatakan, manusia mempunyai kuasa dan kehendaknya sendiri. Dia berjaya memasuki bandar suci Madinah dan berjaya mempengaruhi beberapa penduduknya. Abdullah bin Umar mengisytiharkan, beliau menolak sekeras-kerasnya ajaran yang dibawa oleh Ma’bad. Hasan al-Basri berkata, “Jauhkan diri daripada Ma’bad kerana dia sesat dan menyesatkan.” Muslim bin Yasar mengisytiharkan di tempat beliau mengajar di masjid, “Ma’bad berucap dengan ucapan orang-orang Nasrani.” Akhirnya, khalifah Abdul Malik bin Marwan memerintahkan supaya Ma’bad dihukum bunuh. Walaupun Makbat dibunuh, ajarannya diteruskan oleh bin Marwan atau Ibnu Muslim. Dengan beraninya dia berkata, “Qadar baik dan jahat itu daripada hamba, bukannya daripada Tuhan.” Akhirnya dia dikenakan tindakan keras oleh khalifah Hisham bin Abdul Malik.
- Bekas penganut Yahudi bernama Abdullah bin Saba’ berpura-pura memeluk Islam. Dia juga berpura-pura menyokong Ali bin Abu Talib hingga menganggap Ali sebagai seorang nabi. Dia menganggap Ali mampu hidup semula di dunia selepas mati. Namun, pada masa yang lain, Ali dikatakan tidak mati. Alasannya, sebahagian daripada zat ketuhanan menjelma dalam diri Ali. Selain itu, berbagai-bagai lagi fahaman yang lain ditimbulkan mengenai Ali.
- Pada akhir kurun pertama atau kedua Hijrah, muncul pula Jaham bin Safuan di Tirmiz. Dia menyebarkan fahaman yang dinamakan Jabariah. Dia berjaya menarik beberapa pengikut dan akhirnya mengisytiharkan kenyataannya. Kenyataannya, kuasa dan ilmu Allah itu ada kesudahannya. Syurga, neraka dan penduduknya akan binasa. Hanya Allah yang tinggal seperti keadaan awal yang tiada sesuatu pun. Dia juga menyatakan, iman itu pada makrifat (pengetahuan mengenai Allah) sahaja dan kufur itu kerana tidak tahu Allah. Tiada perbuatan langsung bagi makhluk selain daripada Allah sahaja. Akhirnya, Allah menyelamatkan umat Islam dengan pembunuhan Jaham bin Safuan.

Pada zaman fikiran umat Islam menjadi kalut, Allah melahirkan para sarjana yang melakukan pembaharuan (tajdid). Mereka mempertahankan Islam dengan hujah-hujah al-Quran, sunnah dan logik akal yang tidak bercanggah dengan kedua-duanya. Antara mereka adalah Hasan al-Basri. Beliau menolak dengan tegas teori Wasil bin Ata’ mengenai fahaman Muktazilah. Kes ini berlaku pada awal abad kedua Hijrah.

Pada akhir kurun ketiga Hijrah, muncul pula Abu Mansur al-Maturidi yang berusaha menolak hujah-hujah golongan batil. Beliau berjaya mengumpulkan pengikut-pengikutnya bagi mempertahankan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang dikenali dengan aliran Maturidiah.

Kemunculan Abu Hassan al-Asy’ ari memberi kekuatan besar kepada Ahli Sunnah wal Jamaah apabila beliau keluar daripada ajaran Muktazilah. Beliau berjaya berdebat dengan pemimpin Muktazilah yang bernama aljubbai yang juga adalah bapa tirinya. Beliau berjaya menubuhkan kumpulan yang disertai oleh sarjana-sarjana terbilang pada zamannya. Kumpulan itu dikenali sebagai Asya’ irah.

Iraq menjadi medan pergolakan hebat terutamanya di Basrah yang menjadi tumpuan pengikut pelbagai fahaman itu. Kadang-kadang, pemerintah cenderung kepada golongan-golongan berfahaman sesat lalu menyebabkan para sarjana Islam menjadi mangsa. Ada di antara mereka dipenjara dan dibunuh. Walau bagaimanapun, Allah memberi jaminan bagi memelihara agama ini sehingga hari kiamat. Kenyataan ini adalah tetap dan terbukti.

Segala dugaan dan cabaran terjadi kepada semua umat bagi para nabi. Ini dibuktikan daripada Ibnu Mas’ud yang melaporkan, Nabi Muhammad berkata,

“Tidak ada nabi yang dibangkitkan Allah sebelum aku melainkan di kalangan umat mereka ada yang menjadi pengikut setia dan sahabat yang mengambil ajarannya dan mengikut perintahnya. Selepas masa berlalu, ada di kalangan mereka (umat ini) melakukan perkara-perkara yang jahat. Mereka bercakap mengenai perkara yang mereka tidak melakukannya dan mereka membuat perkara yang tidak disuruh. Sesiapa yang bersungguh-sungguh menentang dengan tangannya, dia beriman. Sesiapa yang bersungguh-sungguh menentang dengan lidahnya, dia beriman. Sesiapa yang bersungguh-sungguh menentang dengan hatinya, dia beriman. Tidak ada iman lagi selepas itu walaupun sebesar biji yang halus.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Bahana Gunting Dalam Lipatan
As-Syahratani menyebut dalam bukunya, al-Milal wal Nihal bahawa perkara yang berlaku pada zaman dahulu akan berlaku pada akhir zaman. Puncanya adalah sama iaitu golongan yang berpura-pura menganut Islam sentiasa menjadi ‘gunting dalam lipatan’ umat Islam. Mereka selalu mengintai ruang dan peluang bagi memesongkan fahaman orang Islam daripada ajaran sebenar. Gangguan ini mampu mencetuskan pertarungan hebat antara golongan yang menyeleweng dan golongan yang tetap berpegang pada ajaran Islam sebenar.

Walaupun para sahabat berselisih pendapat mengenai isu yang besar, mereka semua akhirnya patuh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad. Mereka tetap taat melaksanakannya sebagaimana kenyataan Allah dalam surah al-Nisak ayat 59,

“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Allah menyebut lagi dalam surah al-Hujuraat ayat 9-10,
“Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Pada zaman Nabi Muhammad dan para sahabat, umat Islam berpegang kuat pada agama dan mengeratkan hubungan persaudaraan Islam. Mereka berpegang kuat sehingga sebarang pertelingkahan tidak membawa sikap pandang ringan pada agama dan membolehkan golongan yang berpura-pura Islam (munafik) mencuri peluang. Walaupun golongan munafik berusaha merosakkan fahaman umat Islam dari dalam, mereka masih gagal sehingga mereka sendiri yang berpecah kerana salah faham mengenai akidah.

Pada zaman awal pemerintahan al-Rasyidin, pegangan mereka pada al-Quran dan sunnah tetap teguh. Mereka tidak menyanggah atau berfalsafah. Mereka melihat dan yakin al-Quran itu memenuhi semua keperluan manusia bagi kepentingan agama dan dunia. Mereka juga percaya sunnah adalah huraian yang tetap dan benar. Namun, percampuran umat Islam dengan saudara-saudara baru yang masih berpegang pada ajaran lama mewujudkan perubahan sikap dan fahaman. Contohnya, di Iraq, ada orang-orang Nasrani, Yahudi, Zaradasht dan Manu. Di Yaman dan Syria pula ada penganut-penganut agama Nasrani dan Yahudi. Percampuran ini menyebabkan timbulnya perpecahan antara orang yang menganut Islam dengan orang yang belum menganut Islam. Campur tangan pemerintah dalam kerajaan Islam juga mempengaruhi perkembangan umat Islam. Puncanya kerana ada golongan yang berbahas menggunakan ayat al-Quran bagi menguatkan hujah puaknya. Antara mereka ada yang berhujah secara jujur, khianat ataupun secara jujur tetapi jahil.

Perang Siffin Mencetus Perpecahan
Dalam sejarah Islam, berlaku peristiwa menyayat hati umat Islam iaitu pembunuhan Uthman bin Affan. Beliau adalah ketua negara Islam ketiga, menantu Nabi Muhammad dan menurut beberapa laporan, beliau adalah orang yang disegani oleh malaikat. Beliau dibunuh semasa membaca al-Quran. Tragedi ini menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam sehingga tercetusnya Perang Siffin antara Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah bin Abu Sufian dan Perang Jamal yang melibatkan Aisyah binti Abu Bakar, Thalhah dan Zubair menentang Ali bin Abu Talib. Peperangan itu bukan sahaja mengorbankan nyawa para sahabat Nabi Muhammad tetapi menimbulkan salah faham dalam bidang politik sehingga melibatkan isu akidah.

Lanjutan daripada peristiwa itu, timbul golongan yang fanatik kepada Ali bin Abu Talib yang dikenali sebagai Syiah dan mereka vang menyokong Muawiyah bin Abu Sufian. Antara dua pertembungan itu, muncul pula golongan yang keluar daripada kumpulan kerana tidak berpuas hati dengan urusan Tahkim yang dikenali sebagai Khawarij. Tahkim adalah peristiwa perlantikan ketua negara Islam antara Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah bin Abu Sufian. Semasa peristiwa ini, Ali digugurkan daripada jawatan ketua kerana helah yang dimainkan oleh penyokong Muawiyah. Pada peringkat awal, semua golongan tidak memasukkan hujah akidah dalam pertelingkahan mereka. Situasi masih terkawal kerana ada para sahabat Nabi Muhammad yang masih hidup dan mampu mengawal keadaan walaupun ada anasir-anasir bukan Islam yang cuba mengambil kesempatan.

Namun, selepas beberapa peringkat, anasir bukan Islam mula meresap dari dalam umat Islam. Muncul golongan Syiah yang berfahaman sederhana seperti golongan Imamiah dan Zaidiah serta golongan Syiah yang radikal. Golongan ini dianggap radikal kerana fahaman mereka terkeluar daripada akidah yang utama, bukannya masalah cabang akidah seperti isu pemerintahan.

Antara mereka adalah Ismailiah, Bayaniah dan lain-lain. Golongan ini lebih radikal apabila mereka mendakwa para sahabat Nabi Muhammad terkeluar daripada Islam dan mengangkat Ali bin Abu Talib sebagai Utusan Tuhan. Mereka mendakwa Tuhan dapat menjelma ke dalam diri Ali dan berbagai-bagai lagi.
Di kalangan Khawarij, ada golongan yang berfahaman sederhana seperti golongan Ibadhiah dan yang radikal sehingga meminda dan membatalkan hukum syariat dan mendakwa para sahabat Nabi Muhammad bukan Islam. Antaranya seperti Azraqiah, Ajaridah dan lain-lain.

Semasa kelahiran falsafah dan terjemahan pada zaman Abbasiah, muncul golongan Muktazilah, Jabariah dan Ahli Sunnah walJamaah. Di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah muncul dua aliran iaitu Salaf dan Khalaf. Di kalangan Khalaf, lahir pula fahaman Asya’irah dan Maturidiah. Perkembangan ini juga mempengaruhi golongan Khawarij dan Syiah.

Melalui perbincangan ini, pembaca dapat mengenali golongan-golongan yang lahir kerana perselisihan politik. Bermula daripada golongan yang berfahaman sederhana yang tidak merosakkan akidah hingga golongan yang terkeluar daripada masyarakat Islam. Caranya adalah dengan mendedahkan fahaman salah mereka walaupun mereka mendakwa masih beragama Islam.

Punca-Punca Luaran
Terdapat beberapa faktor luar dikenal pasti mempengaruhi pemikiran umat Islam. Antaranya:

- Individu yang baru memeluk Islam terdiri daripada bekas penganut agama lain seperti Yahudi, Kristian, Majusi, Hindu dan sebagainya. Apabila mereka memeluk Islam, mereka masih berpegang pada ajaran agama lama atau amalan silam. Kemudian, fahaman dan amalan ini bercampur dengan ajaran Islam lalu membawa kepada kecelaruan yang sukar difahami.

- Komplok jahat yang sengaja dirancang bagi merosakkan Islam dan penganutnya. Ia bermula selepas musuh Islam gagal menentang Islam melalui ketenteraan. Kejatuhan Parsi dan Rom yang pernah dianggap dua kuasa besar itu tidak mampu lagi menyekat kemaraan pengaruh Islam. Islam semakin berkembang dan tidak mampu dibendung secara berhadapan. Di sebalik kejayaan itu, musuh Islam menganut Islam secara berpura-pura lalu menyebelahi golongan yang bertelingkah. Contoh yang paling ketara adalah kes Abdullah bin Saba’, bekas penganut Yahudi yangmenyokong Ali bin Abu Talib secara melampau. Tindakan yang sama dilakukan oleh Khawarij yang menentang secara melulu dan membabi buta.

- Galakan penterjemahan buku-buku karya sarjana-sarjana bukan Islam pada pemerintahan Abbasiah tanpa mengira sama ada terjemahan itu perlu ataupun tidak. Akibatnya, perbuatan itu mempengaruhi pengajian ilmu Islam dengan kaedah yang tidak berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad. Contohnya, mempelajari ilmu akidah melalui pemahaman kaedah-kaedah falsafah.

- Kini, serangan ideologi oleh penjajah menghapuskan fahaman dan pengertian sebenar mengenai Islam. Melalui individu Muslim tidak menyedarinya, dia mudah menyerap pelbagai ideologi asing. Lebih ketara apabila mereka sanggup berjuang menegakkan ideologi mereka dengan bersungguh-sungguh. Mereka juga menganggap Islam pada zaman Nabi Muhammad sudah tidak relevan dalam urusan dunia moden.

Punca-Punca Dalaman
Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, para sahabat berselisih pendapat mengenai perlantikan khalifah atau ketua negara Islam. Para sahabat mempunyai tiga pendapat iaitu:

1. Pendapat pertama
Mereka berpendapat khalifah itu dipilih dan dipersetujui oleh rakyat tanpa mengira sama ada kabilah itu berpengaruh ataupun tidak. Pendapat ini dikemukakan oleh majoriti kaum Ansar. Mereka mencadangkan pemimpin kaum Khazraj, Saad bin Ubadah dilantik sebagai pemimpin umat Islam. Mereka berhujah dengan kelebihan Ansar sebagai pengikut, sahabat dan pembantu setia Nabi Muhammad. Terdapat beberapa hadis Nabi yang menyanjung mereka. Dengan hadis-hadis itu mereka berhujah,

“Dengar dan taatlah, walaupun yang menjadi ketua kamu itu seorang hamba Habsyi.”

2. Pendapat kedua
Mereka yang berpendapat pemimpin itu dipilih daripda keluarga Nabi Muhammad. Pendapat ini dikemukakan oleh beberapa orang di kalangan masyarakat keturunan Bani Hasyim, keluarga Nabi Muhammad dan masyarakat yang sependapat dengan mereka. Mereka berhujah kedudukan keluarga Nabi yang lebih dekat dengan beliau. Mereka mencadangkan Ali bin Abu Talib sebagai pemimpin. Hujah mereka berdasarkan hadis Nabi Muhammad yang berkata kepada Ali,

“Adakah kamu tidak redha dengan kedudukan kamu di sisiku sama seperti kedudukan Harun dan Musa hanya kerana tidak ada nabi lagi selepasku.”

3. Pendapat ketiga
Mereka yang berpendapat khalifah itu dipilih oleh umat Islam dan mesti daripada kalangan kaum Quraisy. Mereka menganggap Quraisy adalah kabilah yang paling berpengaruh. Mereka berhujah hadis Nabi Muhammad,

“Imam-imam (pemimpin-pemimpi) itu mestilah daripada kalangan Quraisy.”

Akhirnya pendapat ketiga disokong oleh majoriti umat Islam. Semua umat Islam termasuk penyokong Ansar, ahli keluarga Nabi Muhammad melantik Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah. Abu Bakar tidak meminta jawatan yang besar ini. Oleh kerana beliau paling layak dan menepati kriteria yang ditetapkan, rakyat memilih beliau bagi menerima tanggungjawab ini. Para sahabat juga tidak dipaksa bagi melantik Abu Bakar. Mereka menyedari amanah pemimpin adalah besar. Berdasarkan hujah yang dikemukakan oleh golongan Muhajirin, mereka melantik Abu Bakar.

Namun, perselisihan pendapat serta hujah-hujahnya dicemari oleh anasir kotor pada zaman selepasnya. Kemunculan Khawarij berhujah supaya memilih ketua secara bebas tanpa mengira pengaruh kabilah yang kuat. Aliran Syiah menetapkan Ali bin Abu Talib dan keturunannya sahaja yang layaknya menjadi khalifah. Golongan Murji’ah sebulat suara berpendapat, kononnya menyerahkan urusan kepada Allah. Akhirnya pertelingkahan dalam politik melarat sehingga melibatkan perkara-perkara akidah kerana ingin meraih kemenangan. Keghairahan ini membuka ruang kepada anasir-anasir luar bagi merosakkan Islam.

Pelbagai Ajaran Baru Selepas Mazhab

Ada pelbagai lagi ajaran-ajaran dan pertubuhan-pertubuhan masa kini yang bertujuan merosakkan akidah. Mereka juga berjuang bagi merosakkan pegangan manusia pada Islam dengan pelbagai cara dan nama yang menarik lagi mengelirukan. Ada pertubuhan yang meraih simpati dan berpura-pura tidak bercanggah dengan Islam. Ada juga pertubuhan secara zahirnya ia bertujuan bagi memajukan Islam tetapi sebaliknya mereka menaburkan racun-racun akidah.

Antara ajaran yang mencampurkan antara satu sama lain seperti pragmatisme yang mengambil cara baru daripda fahaman Kapitalisme, Komunisme, Sosialisme dan sebagainya yang difikirkan munasabah mengikut logik. Ada juga fahaman yang meresap melalui pengaruh politik, ekonomi dan tokoh-tokoh tertentu. Perkara-perkara yang disebutkan hanya sebagai contoh peringatan supaya tidak terjerumus ke dalam ajaran-ajaran baru dan lama yang bercanggah dengan Islam. Tujuan kedua adalah supaya penganut Islam tidak melakukan kesilapan pada akidah Islam dan penganutnya. Bagi mendapatkan pengetahuan yang lebih banyak dan huraian yang panjang, pembaca boleh membuat kajian dan mengikut perkembangan yang berlaku dari semasa ke semasa. Pertarungan antara iman dan kufur adalah berpanjangan sehingga hari kiamat.

Demikian huraian akidah yang perlu diketahui oleh setiap orang yang beriman. Bermula dari pendahuluan memahami makna iman, Islam dan rukun-rukunnya serta perkara yang membatalkannya secara umum. Kemudian pembaca dapat mengkaji huraian mengenai rukun-rukunnya. Seterusnya pembaca mengenali fahaman-fahaman dan mazhab-mazhab berkait dengan akidah supaya menjadi panduan kepada pembaca tidak terjerumus ke dalam lembah kesesatan.

Pengajian iman perlu membawa kepada simpulan iman yang benar dan teguh sebagaimana kenyataan Allah, surah al-Baqarah, ayat 256:

“Maka sesiapa yang tidak percayakan toghut dan beriman kepada Allah maka sesungguhnya dia berpegang pada simpulan (tali agama) yang teguh dan tidak akan terungkai.”

Iman yang sebenar mesti menolak semua ajaran, fahaman ataupun ideologi dan teori yang melampaui batas-batas Allah. Ia merangkumi semua fahaman yang dicipta pada zaman dahulu, kini dan akan datang.

Oleh itu, semua fahaman ini diperkenalkan supaya pembaca dapat mengenali yang benar daripada al-Quran dan sunnah dengan mengenali fahaman yang tidak benar dans esat daripada al-Quran dan sunnah. Buku ini mengemukakan bukti melalui kajian, sumber yang bertulis dan logik.

Ada manusia yang menerima akidah secara membuta tuli bukan secara mengkaji. Adakala mereka berhujah berdasarkan pegangan nenek moyang semata-mata tanpa mengkaji sumber yang benar dari satu masa ke satu masa mengikut perkembangan. Penyelewengan boleh berubah cara dan ikutan. Ini dibuktikan dengan kenyataan Allah dalam surah az-Zukhruf, ayat 22:

“Bahkan mereka itu berkata, “sesungguhnya kami mendapati datuk nenek moyang kami menurut satu jalan agama dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak langkah mereka sahaja.”

Kadang-kadang, mereka tidak kenal fahaman-fahaman baru kerana namanya tidak pernah disebut dalam kitab-kitab zaman dahulu. Ini kerana fahaman-fahaman baru ini tidak ada pada zaman pengarang kitab-kitab ini. Namun al-Quran dan hadis Nabi Muhammad tetap mendedahkan secara teliti sebagai bekalan umat Islam.

Isu akidah tidak boleh dicuba-cuba atau diagak-agak. Ia tidak boleh dipilih sesuka hati kerana ia bergantung pada nasib yang memerlukan petunjuk Allah dan wahyunya. Ia juga menentukan nasib mereka di akhirat sama ada ke syurga atau negara. Ia adalah keputusan yang tidak boleh dipertikai dan diminta supaya kembali ke dunia.

Mudah-mudahan, Allah mengurniakan iman dan kekuatannya serta bersikap yang tegas pada perkara-perkara yang bercanggah dengan iman. Fahaman yang bercanggah meliputi fahaman yang pupus, yang masih berselerakan dalam masyarakat atau yang bakal tercetus. Semoga Allah memelihara umat Islam daripada fitnah di dunia, di alam kubur dan hari kebangkitan semula.


Sejarah Mazhab Asy’ariah, Al-Maaturidiyyah, Salafi dan Wahabbi

Ahlul Sunnah Wal Jamaah
Mereka adalah golongan yang berpegang teguh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka. Generasi paling awal dan utama di kalangan mereka adalah para sahabat, kemudian diikuti oleh para tabi’in dan orang-orang yang menurut jejak langkah mereka. Generasi pertama di kalangan mereka dikenali dengan nama Salaf. Mereka berpandukan al-Quran dan sunnah tanpa menghuraikan kenyataan yang samar mutashabihat) dan menyerah maksudnya kepada Allah. Ini berpandukan kepada kenyataan Allah dalam surah Ali Imran, ayat 7,

“Dia lah Yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan Yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham Yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang Yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa Yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut Yang disukainya). padahal tidak ada Yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya Yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” dan tiadalah Yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang Yang berfikiran.”

Pada zaman awal, mereka tidak banyak berhujah menggunakan logik kerana mereka bersikap menerima tanpa perlu banyak berhujah tentang apa sahaja yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan para sarjana Islam, sahabat dan tabi’in.

Mereka itu terdiri daripada pelbagai bidang kegiatan. Ada yang bergiat dengan mendalami ilmu agama dalam berbagai-bagai bidang, seperti akidah yang berkaitan dengan perkara-perkara beriman kepada Allah, perkara-perkara kenabian dan risalah, dan rukun-rukun iman yang lain, mendalami ilmu al-Quran dan sunnah, ilmu fikah dan akhlak. Ada pula yang memberi perhatian khusus dengan merekod sanad iaitu turutan penyampai yang dipercayai daripada Nabi Muhammad bagi menjamin keselamatannya daripada kepalsuan. Ada yang mendalami ilmu qiraat. Ada vang sibuk dengan perkara-perkara membersihkan hati dan jalan untuk menghampirkan diri kepada Allah yang dikenali dengan golongan tasauf. Ada yang menghabiskan umur berjihad di medan perang mempertahankan Islam dan memerangai musuh-musuhnya. Ada yang sibuk dengan ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu (tatabahasa), sorof, balaghah, sastera dan sebagainya yang menjadi alat penting bagi mempelajari agama dengan bahasanya. Dan ada pula yang sibuk dengan urusan-urusan lain tetapi mereka adalah pengikut setia kepada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Dalam perkara pemerintahan mereka bersepakat menegaskan wajibnya melantik khalifah sebagai memimpin umat dan melaksanakan hukum Allah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad semasa hayatnya. Mereka juga berpendapat khalifah itu daripada kalangan Quraish kerana golongan itu paling kuat dan berpengaruh pada masa itu. Khalifah itu mesti melafazkan bai ‘ah iaitu ikrar setia dalam perkara yang tidak bercanggah dengan Allah dan rasulnya. Lafaz ikrar setia ini dilakukan oleh umat Islam atau wakil mereka yang dinamakan Ahlu Halli wal Aqdi. Mereka berpendapat, mesyuarat dianjurkan dalam perkara yang tidak ada nas daripada al-Quran dan hadis. Jadi, khalifah, Ahlu Halli wal Aqdi dan mereka yang mengendalikan urusan negara itu mesti adil daripada pengaruh peribadi mengendalikan urusan negara. Rujukan yang menjadi ukuran adil itu adalah kitab Allah dan sunnah Nabi Muhammad.

Mengenai para sahabat, mereka menjunjung tinggi semuanya, mengakui keempat-empat khalifah ar-Rasyidin adalah orang yang paling layak pada zaman masing-masing. Mereka memohon supaya Allah mengampuni para sahabat dalam pertelingkahan dan peperangan yang berlaku di kalangan mereka. Ini kerana jasa mereka besar bagi menegakkan kalimah Allah walaupun di antara mereka sudah tentu ada yang tersalah dalam pertelingkahan itu. Inilah yang disifatkan oleh Allah dalam al-Quran surah al- Hasyr, ayat 10,

“Dan orang-orang yang datang kemudian daripada mereka berkata, “Wahai Tuhan kami! Ampuni kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah engkau menjadikan dalam hati kami perasaan hasat dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya engkau amat limpah belas kasihmu dan maha penyayang.”

Generasi pertama ini tidak menamakan diri mereka dengan nama-nama fahaman tertentu. Ini kerana umat Islam pada masa itu bersatu daripada segi hidupnya, para sahabat yang masih hidup menjadi tumpuan bagi bertanya masalah. Amalan ini juga berlaku pada zaman para tabi’in. Mereka bukan sahaja tidak mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat, sebaliknya menyandarkan apa yang dinyatakan oleh Allah dan Nabi Muhammad tanpa sebarang tokok tambah dan menghuraikan secara meleret-meleret.
Kesemua imam mazhab yang terkenal seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad bin Hambal, Sufian as-Sauri dan lain-lain berpegang dengan aliran salaf ini.

Sejarah Kemunculan Mazhab Al-Asyairah
Apabila negara Islam berkembang luas, berlaku perbincangan antara saudara-saudara baru mengenai agama. Antara topik yang terpenting adalah membicarakan masalah akidah. Hasil daripada beberapa perbincangan, lahir berbagai-bagai fahaman yang berpandukan logik. Akibatnya, ada yang terpesong dalam memahami teks al-Quran yang sebenar. Walau apapun berlaku, Allah berjanji memelihara agamanya dengan melahirkan sarjana yang mempertahankan akidah yang tulen. Antara sarjana-sarjana itu adalah Imam Abu Hasan al-Asy’ari.


Abu Hasan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah pada tahun 260 Hijrah. Beliau pernah berpegang pada fahaman Muktazilah dan berguru kepada ayah tirinya Abu Ali aljubbai. Selepas berusia 40 tahun, beliau berfikiran matang dan tekun mengkaji secara mendalam. Pada suatu hari, beliau berdebat dengan ayah tirinya dalam mengenai kehidupan selepas mati. Selepas berdebat dengan ayah tiri beliau, Abu Hasan al-Asy” ari bangun berucap di Masjid Basrah lalu mengisytiharkan dirinya keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpegang pada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Abu Hasan al-Asy’ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali sebagai Asya’irah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari.

Antara teori Abu Hasan al-Asy’ari adalah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci iaitu:
1. Ada
2. Bersedia
3. Kekal
4. Berlawanan dengan sesuatu yang baru
5. Berdiri dengan sendirinya
6. Satu
7. Berkuasa
8. Berkehendak
9. Mengetahui
10. Hidup
11. Mendengar
12.Melihat
13.Berkata-kata

Beliau juga menghuraikan perkara taklid iaitu mengambil pendapat orang lain tanpa hujah yang menguatkannya ataupun tidak dalam perkara yang berkaitan dengan sifat-sifat itu. Beliau menghuraikan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kepercayaan pada rukun-rukun iman.

Aliran Asya’irah ini berkembang dengan pesatnya di Iraq. Kemudian, ia berkembang di Mesir pada zaman Salahuddin al- Ayubi, di Syiria dengan sokongan Nuruddin Zanki, di Maghribi dengan sokongan Abdullah bin Muhammad, di Turki dengan sokongan Uthmaniah dan di daerah-daerah yang lain. Ideologi ini juga didokong oleh sarjana-sarjana di kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali. Antara mereka adalah al-Asfaraini, al -Qafal, aljarjani dan lain-lain sehingga sekarang.

Pembaharuan yang dibawa oleh Abu Hasan al-Asy’ ari adalah dengan mengemukakan hujah logik dengan disertakan hujah teks al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Hujah-hujah ini membawa kekuatan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi hujah golongan Muktazilah yang pesat berkembang dan mendapat sokongan daripada pemerintah-pemerintah kerajaan Abbasiah. Akhirnya, golongan Muktazilah bukan sahaja dibendung dengan hujah, tetapi kerajaan yang ditubuh kemudiannya memberi sumbangan politik yang besar bagi mempertahankan dan mengembangkan fahaman Asya’ irah. Di samping itu, lahir tokoh sarjana Islam yang menyambung aliran fahaman ini seperti Abu Abdullah bin Mujahid, Abu Hasan al-Bahili, Abu Bakar bin al-Taib al Bakilani, Abu Bakar bin Furak, Abu Ishak al-Asfiraini, Abu Muhammad aljuwaini, Abu Mazfir al-Asfaraini, Imam al-Haramain aljuwaini, Hujah Islam Imam al-Ghazali, dan Imam Fakruddin al-Razi.

Imam Abu Hasan al-Asy’ari juga meninggalkan beberapa buku yang dikarangnya dan yang masih ada pada zaman sekarang antaranya Al-Ibanah Min Uslul Diniati. Dalam buku ini, beliau menyokong dengan tegas kepada Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara dan didera oleh kerajaan Abbasiah yang menyokong Muktazilah pada zamannya. Begitu juga dalam buku AJ-Luma ‘ Fir Raddi ‘Ala Ahlil Zaighi wal Bid ‘i beliau mendedahkan hujah logik dan teks. Buku Maqalatul Islamiyiin mendedahkan fahaman-fahaman yang timbul dalam ilmu Kalam dan menjadi rujukan penting dalam pengajian fahaman-fahaman akidah. Buku Istihsan al-Khaudhi Fil Ilmu Kalam pula adalah risalah kecil bagi menolak hujah mereka yang mengharamkan ilmu Kalam.

Walaupun ada di kalangan sarjana Islam terutamanya di kalangan mazhab Hanbali yang menyanggah beberapa hujah dan kaedah yang dibawa oleh Abu Hasan Asy’ ari, ia tidak menafikan jasanya mempertahankan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman beliau berjaya mematikan hujah-hujah Muktazilah yang terpesong jauh iaitu membicarakan al-Quran sebagai kata-kata Allah yang kekal, isu melihat Allah pada hari Kiamat, membetulkan perkara yang berhubung dengan Qadak dan Qadar dan lain-lain dan menjadi golongan pertama yang menamakan Ahli Sunnah Wal Jamaah di tengah-tengah kelahiran pelbagai fahaman pada zamannya.

Imam Abu Hasan Asy’ari meninggal dunia pada tahun 324 Hijrah dengan meninggalkan pusaka ilmu yang terdiri daripada buku-buku karangan beliau serta murid-murid yang meneruskan perjuangannya. Akhirnya, ia meninggalkan aliran pengajian akidah yang dianuti oleh sebahagian besar umat Islam hari ini dalam melanda cabaran-cabaran baru yang tidak ada pada zamannya. Seterusnya aliran ini memerlukan pembaharuan lagi dalam mengemukakan hujah-hujah kontemporari bagi mempertahankan akidah yang sebenar.

Al-Maaturidiyyah
Di sebelah timur negara Islam iaitu di daerah Maturid, wilayah Samarkand, lahir sarjana Islam yang bernama Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur Maturidi. Beliau lahir pada tahun 332 Hijrah. Beliau membawa aliran ideologi akidah dalam fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi beberapa penyelewengan pada zamannya. Beliau adalah sarjana Islam dalam mazhab Hanafi.

Beliau muncul di Asia Tengah pada waktu masyarakat Islam dilanda aliran ideologi yang menyeleweng daripada akidah yang sebenar. Antaranya mazhab Muktazilah, Mujasimah, Muhammad bin Karam Sajassatani iaitu pemimpin fahaman Karamiah, Qaramitah yang dipimpin oleh Hamdan As’ ad, Jaham bin Safuan iaitu pemimpin fahaman Jahamiah, dan ahli tasauf Husin bin Mansur al-Halaj. Imam Abu Mansur Maturidi membawa peranan yang besar bagi menghadapi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.

Walaupun beliau hidup sezaman dengan mazhab Imam Abu Hasan al-Asy’ ari, namun beliau mempunyai teknik berhujah dan huraian yang berbeza. Para sarjana Islam menyatakan, Imam Abu Mansur Maturidi lebih cenderung kepada pendapat Imam Abu Hanifah dalam perkara akidah. Ini kerana beliau merujuk risalah-risalah dan buku-buku yang ditulis oleh Imam Abu Hanifah seperti Fikh Akbar, Fikh Absat, Kitab Ilm dan sebagainya.

Terdapat beberapa perselisihan antara Abu Mansur Maturidi dengan Abu Hassan al-Asy’ ari. Antaranya dalam isu Makrifatullah (mengenal Allah), Abu Hassan menyatakan wajib mengetahuinya menurut sumber agama tetapi Abu Mansur berkata wajib juga dengan berpandu dengan akal. Dalam isu sifat-sifat Allah, Abu Mansur menambah dengan sifat-sifat maknawiyah iaitu sifat yang menjadi penguat kepada sifat Ma’ani beserta sifat-sifat Madani. Fahaman Maturidiah mewajibkan hukum akal beserta syarak sehingga beliau berselisih dengan sebahagian sarjana Fikah dan Hadis. Terdapat lagi huraian-huraiannya berhubung Qadak dan Qadar dan lain-lain yang berbeza dengan huraian fahaman Asya’irah.

Abu Mansur Maturidi meninggalkan pusaka ilmu yang banyak selain membela fahaman Ahli Sunnah bagi menghadapi pelbagai fahaman yang menyeleweng. Pusaka ilmunya adalah murid-murid yang ramai dan pengikut-pengikut yang meneruskan ajarannya. Antara murid-muridnya adalah Abu Ahmad Iyad, Abu Qasim Hakim Samarkandi, Abu Hussin Wastaqfani, Abdul Karim bin Musa Inbazadari, Abu Asyimah Abi Lais Bakhari dan lain-lain. Antara pengikut-pengikut yang meneruskan alirannya adalah Sadar Islam Abu Yasir Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim Bazadui, Maimun bin Muhammad Nasfi yang dianggap tokoh sarjana terbesar dalam fahaman ini selepas Abu Mansur. Adakala sebahagian menganggap mereka adalah kumpulan kecil seperti Syaharsatani dalam fahaman Asya’irah, Najmuddin Abu Hafiz Samarqandi Nasqi, Nuruddin Ahmad bin Muhammad Syobuni, Bukamal bin Yam iaitu sarjana terbilang dalam fahaman Hanafi dan lain-lain lagi.

Buku-buku yang dikarang oleh Abu Mansur Maturidi adalah buku Jadal dan Ma ‘akhiz Syarai’. Kedua-dua buku ini membincangkan Usul Fikah. Buku-buku dalam ilmu ketuhanan antaranya, Tauhid, Muqalaat, Ra’du Ala Qawashat, Bayan Wahm Muktazilah, Ra ‘du Amamah Libaddu Rawafaz dan banyak lagi. Apa yang mendukacitakan, buku-buku itu hilang begitu sahaja. Buku yang masih tersimpan adalah buku Tauhid dan Maqalaat Selain itu ada buku-buku beliau dalam ilmu yang lain.

Abu Mansur Maturidi juga seperti Abu Hassan Asy’ari yang membawa pembaharuan dalam pengajian akidah. Beliau memasukkan hujah-hujah logik akal semasa menghadapi perkembangan fahaman baru yang timbul pada zamannya. Pada zaman para sahabat dan generasi awal kalangan tabi” in termasuk imam-imam mujtahidin yang pertama lebih bergantung kepada hujah-hujah teks daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad sahaja.

Salafiah
Selepas lahir pelbagai teori mengenai akidah, lahir fahaman-fahaman yang bukan sahaja berhujah dengan logik tetapi juga menggunakan falsafah. Maka lahir pula dalam masyarakat Islam orang-orang yang mahu supaya kembali pada sumber asal sahaja. Mereka muncul pada zaman terkini iaitu pada kurun ke tujuh Hijrah. Sebenarnya, mereka adalah daripada aliran Imam Ahmad bin Hanbal dan teori itu dihidupkan semula. Tokoh yang terkemuka adalah Imam Ibnu Taimiyah. Beliau dan pengikut-pengikut menentang keras golongan yang cuba menghurai ayat-ayat yang mutashabihat. Golongan ini mahu supaya ayat-ayat yang mutashabihat tidak dihurai. Mereka hanya menyebut sifat-sifat Allah berpandukan teks-teks yang jelas dalam al-Quran dan hadis. Antara ayat-ayat yang mutashabihat seperti nuzul (turun), istiwak (bersemanyam), al-dhahaq (ketawa) dan lain-lain dengan tidak menyamakan Allah dengan makhluk. Selain itu, mereka membangkitkan kembali isu amalan masyarakat dengan huraian-huraian yang panjang mengenai dengan perkara-perkara yang membawa kepada syirik, seperti kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam perkara tawassul (mohon perantaraan), ziarah kubur dan sebagainya.


Mereka juga tegas menentang penggunaan ilmu logik menyebabkan golongan salaf yang baru ini bergeser dengan fahaman Asya’irah dan Maturidiah yang menjadikan ilmu logik sebagai sebahagian daripada perbincangan akidah. Golongan salaf ini menolak huraian ayat-ayat mutashabihat yang dilakukan oleh Asya’irah dan Maturidiah. Ibnu Taimiyah yang hidup pada abad yang ketujuh Hijrah menjadi tokoh terkemuka dengan mengemukakan hujah-hujah melalui buku-buku yang karangannya.
Oleh kerana aliran ini dibawa oleh Imam Ahmad bin Hanbal, mereka hanya meneruskan aliran yang dibawa oleh Imam Ahmad. Beliau ingin perbincangan dan pengajian akidah dikembalikan seperti zaman Nabi Muhammad, para sahabat dan tabi’in. Walaupun ada cabaran baru yang tidak ada pada zaman mereka, kadang-kadang hujah logik dan falsafah perlu digunakan bagi menolak hujah golongan-golongan seperti Muktazilah, Jabariah dan sebagainya.

Wahhabiah
Fahaman Wahabi yang tersebar di Arab Saudi dan beberapa daerah dalam dunia Islam ditaja oleh pemimpinnya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Ia adalah kesinambungan daripada aliran salaf yang dibawa oleh Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyah. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab mendapat kekuatan apabila beliau bergabung dengan keluarga Ibnu Saud. Akhirnya, mereka berjaya mengambil alih kuasa di Semenanjung Arab dan membentuk kerajaan beraja Arab Saudi.

Fahaman Wahabi dengan tegasnya mengemukakan dua prinsip yang penting iaitu tauhid yang bersih dari sebarang syirik, dan menghalang sebarang bentuk bid’ah (ajaran baru). Halal dan haram diambil terus daripada sumber al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Sebarang perkataan sarjana Islam perlu dikaji semula, lalu mereka membuka kembali ruang mengeluarkan hukum dengan luas. Mereka menentang ziarah kubur wali-wali dan menganggap amalan ini membawa kepada syirik. Namun, hukum berbeza apabila menziarahi kubur bagi tujuan mengambil pengajaran dan memperingati hari akhirat bukannya dengan tujuan berdoa kepada si mati atau bertawassul melalui orang yang sudah mati. Semasa mereka menguasai Mekah dan Madinah, mereka bertindak merobohkan bangunan-bangunan yang didirikan atas kubur-kubur para sahabat, para tabi’in dan tempat-tempat bersejarah yang dipuja secara melulu.

Mereka menentang perayaan seperti maulid (sambutan hari lahir) dan sebagainya yang tidak ada pada zaman Nabi Muhammad dan mengemukakan beberapa pendapat yang lebih keras daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Taimiyah. Fahaman ini disokong oleh gerakan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir, Syeikh Abdul Hamid bin Badis di Algeria, Syeikh Ahmad di Punjabi, India dan beberapa tempat lagi dunia Islam.

Kesemua mereka yang disebut di atas adalah daripada golongan Ahli Sunnah wal Jamaah. Walaupun terdapat pertelingkahan dan perselisihan yang keras dan tajam antara satu sama lain, namun pertelingkahan itu tidak tersasar daripada dasar-dasar akidah. Walau bagaimanapun, ia boleh membawa kesan-kesan buruk dalam hubungan sesama umat Islam. Perselisihan pendapat dan pentafsiran itu adalah perbezaan fahaman dalam mentafsirkan teks yang sama dan kadang-kadang kerana perbezaan masa dan tempat serta cabaran yang dihadapi dan keperluan hujah bagi menghadapi cabaran luaran.

Dengan kemudahan sumber-sumber rujukan dan hubungan yang ada pada zaman ini menghidupkan semula persefahaman sesama aliran. Pada masa yang sama ia tidak dihabiskan dengan pertelingkahan sesama sendiri tetapi lebih memberi tumpuan bagi menghadapi masalah pokok yang melanda umat Islam dan menentang musuh yang sebenarnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan