26 Disember 2011

Sejarah Mazhab Islam Bahagian 9 - Musyabbihah

Sejarah Mazhab Musyabbihah
Pada zaman Salaf, golongan ini memutuskan tidak merubah makna asli ayat-ayat al-Quran dan hadis yang mutasyabihat kepada makna lain (takwil). Setelah beberapa lama, timbul fahaman-fahaman salah yang menafsirkan ayat-ayat mutasyabihat ini sewenang-wenangnya. Lantas, muncul golongan Khalaf yang dipelopori oleh Abu Hassan al-Asy’ari dan Muhammad bin Muhammad al-Maturid memperbetulkan salah faham ini dengan mentakwil berdasarkan logik akal dan bahasa tanpa menyimpang daripada pemahaman al-Quran dan Sunnah.

Pada fasa salah faham ini, terdapat golongan yang menyerupakan atau menyamakan Allah dengan makhluk berdasarkan zahir ayat-ayat al-Quran dan hadis yang mutasyabihat. Kemudian mereka terus meletakkan makna itu sama seperti yang ada pada makhluk. Mereka bertindak berani dengan menyatakan, “Tuhan yang disembah itu mempunyai rupa yang ada sebahagian anggota tubuh sama ada rohani atau jasmani. Seseorang hamba yang kuat beribadah dan mujahadah dipercayai dapat berjabat tangan dengan Tuhan. Dia dapat bersentuh dengan Tuhan, boleh melihatnya di dunia malah boleh menziarahinya.”

Salah seorang pengikut fahaman ini, Daud al-Hawarizmi berkata, “Tuhan yang disembah itu berjisim, mempunyai darah dan daging, mempunyai anggota tangan, kaki, kepala, lidah dan dua mata.”

Mereka menguatkan hujah-hujah dan bukti-bukti mereka kepada hadis-hadis palsu yang sengaja direka dan mengaitkan nama Nabi Muhammad. Hakikatnya, kebanyakan hadis-hadis itu diambil daripada orang-orang Yahudi yang menganut ajaran yang sama.

Golongan mutasyabihat terbahagi kepada dua jenis:

1. Pertama: Mereka yang menyamakan zat Allah dengan zat makhluk. Antara golongan yang menganut fahaman ini adalah al-Saba’iah, al-Bayaniah, al-Hululiah, Hilmaniah dan al-Azafirah.

2. Kedua: Mereka yang menyerupakan sifat-sifat Allah dengan sifat-seifat makhluk. Ada yang menyamakan kehendak Allah dengan kehendak makhluk. Mereka adalah golongan Muktazilah Basrah dan al-Karramiah. Ada juga yang menyamakan percakapan Allah dengan percakapan makhluknya begitu juga dakwaan Allah mempunyai suara, berhuruf dan bersifat baharu. Sebahagian lain menyamakan pengetahuan Allah itu dengan pengetahuan makhluk. Mereka mewajibkan sifat mengetahui tetapi cara Allah mengetahui itu menurut kepercayaan mereka baharu seperti ilmu makhluk.

Aliran-aliran yang terdapat dapalam ajaran al-Musyabihat:

al-Saba’iah:
Mereka adalah pengikut Abdullah bin Saba’ yang dibincangkan dalam mazhab Syiah yang melampau tetapi mengikut fahaman Musyabihat.

al-Mughiriah:
Mereka adalah pengikut Mughirah bin Suwaid al-Ajali, seorang ahli sihir bermazhab Syiah. Dia mendakwa malaikat Jibril dan Mikail pernah melafazkan sumpah setia kepadanya di sisi Kaabah iaitu antara Kaabah dan makam Ibrahim. Dia mendakwa Allah menghidupkan 17 lelaki yang diberikan huruf daripada Asma’ Allah al-A’zam (Nama-nama Allah yang Agung). Oleh itu mereka dapat mengalahkan musuh dan memiliki bumi.

Antara ajarannya adalah:
- Allah itu mempunyai jisim, rupa dan anggota sebagaimana huruf-huruf Arab (hija’iyah). Rupanya seperti lelaki daripada cahaya. Di atas kepalanya ada mahkota daripada cahaya dan terpancar hikmah daripada hatinya.
- Apabila Allah mencipta makhluknya, dia bercakap dengan Asma Allah al-A’zam. Tiba-tiba mahkota jatuh daripada kepalanya. Kemudian dia melihat amalan-amalan hamba yang ditulis di tapak tangannya. Lalu dia marah melihat maksiat yang dilakukan oleh hambanya. Maka peluhnya keluar lalu berkumpul menjadi dua laut; satu daripadanya masin dan yang satu lagi tawar.
- Menghalalkan perkara-perkara yang haram.

Apabila ajarannya sampai ke pengetahuan Khalid bin Abdullah al-Kasri, beliau memerintahkan supaya menangkap dan menghukum bunuh Mughirah dan pengikut-pengikutnya.

Selepas mughirah meninggal dunia, pengikut-pengikutnya yang masih hidup bertelagah sesama sendiri. Ada yang menyatakan Mughirah masih hidup dan menunggu kelahiran semula. Ada pula yang menyatakan, “Kita tunggu sahaja kelahiran Imam Muhammad al-Nafsi al-Zakiah.”

al-Mansuriah:
Mereka adalah pengikut Abu Mansur al-Ajali yang mengaku menjadi imam dan mengajak orang ramai mengikut ajarannya.

Antara ajarannya adalah:
- Dia mengaku menjadi nabi dan malaikat Jibril membawa wahyu kepadanya. Dia mendakwa Allah mengutuskan Nal n Muhammmad dan menurunkan al-Quran. Dia pula dilantik dan bagi mentakwilkan al-Quran.
- Mengaku naik ke langit dan bertemu Tuhan dan menyentuh tangannya. Tuhan berkata kepadanya, “Wahai anakku turunlah dan sampaikanlah daripadaku.”
- Makhluk yang paling awal diciptakan adalah Nabi Isa. Selepas beliau adalah Ali bin Abu Talib.
- Rasul itu sentiasa ada dan hari kiamat itu tidak ada.
- Syurga itu adalah lelaki yang Allah perintahkan supaya manusia patuh kepadanya. Neraka pula adalah lelaki Allah perintahkan supaya kita bermusuh dengannya.
- Mentakwilkan perkara-perkara yang diharamkan dengan nama-nama orang yang Allah perintahkan supaya memusuhinya. Dia juga mentakwilkan perkara-perkara wajib dengan nama-nama yang Allah perintahkan supaya mentaatinya. Sesiapa yang mengetahui nama-nama itu maka gugur segala yang wajib dan haram. Dia tidak mempunyai sebarang tanggungjawab lagi. Allah mengangkat segala perintah daripadanya sehingga dia masuk syurga dalam keadaan tahap kamal (sempurna).
- Menghalalkan yang haram seperti zina, bangkai, darah, daging babi dan lain-lain.
- Mengharuskan pengikutnya membunuh sesiapa sahaja yang menentangnya.

Akhirnya Abu Mansur ditangkap dan dibunuh oleh Yusuf bin Umar as-Saqafi, Gabenor Iraq pada zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik. Selepas dia meninggal dunia, pengikutnya yang masih hidup berpecah kepada dua mazhab:

Al-Husainiah:
Pengikut al-Husain bin Abu Mansur

Al Muhammadiah:
Yang mendakwa menjadi pengikut Muhammad bin Abdullah (al-Nafsi al-Zakiah).

Al-Khattabiah:
Pengikut Abu al-Khattab Muhammad bin Abu Zainab al-Asadi al-Ajda’.
Antara ajarannya ialah:
- Semua imam itu ialah nabi-nabi yang menjadi Tuhan.
- Bagi setiap umat itu ada dua rasul. Salah seorang daripadanya bercakap dan yang seorang lagi diam.

Akibat daripada ajarannya sesat dan menyesatkan itu, Imam Jaafar al-Sodiq menjauhkan diri daripadanya walaupun Abu al-Khatab mengaku sebagai pengikutnya.

Saad al-Qummi berkata dalam kitabnya al-Maqalat wal-Firaq, golongan Khattabiah ini berpecah kepada empat pendapat:

1.Pendapat pertama; mereka berkata Jaafar as-Sodiq itu tuhan dan Abu al-Khatab itu rasulnya.

2. Pendapat kedua; mereka yang berkata al-Sirri al-Aqsam diutuskan oleh Jaafar as-Sodiq lalu mereka bersembahyang, berpuasa dan menunaikan haji kerana Jaafar.
Pendapat ketiga; mereka yang berkata Jaafar itu Allah dalam bentuk cahaya. Dia masuk ke dalam tubuh orang yang diwasiatkan menjadi peggantinya. Orang yang dimasuki cahaya itu adalah Jaafar. Kemudian cahaya itu keluar dan masuk pula ke dalam Abu al-Khatab. Jaafar ketika itu bertukar menjadi malaikat.
Pendapat keempat; mereka yang menyamakan Bazigh seperti Abu al-Khatab. Dia juga diutuskan menjadi rasul dan berkongsi dengan Abu al-Khatab dalam pangkat nabi dan rasul.
Apabila ajaran Abu al-Khatab berleluasa, Gabenor Kufah menggerakkan bala tenteranya pada tahun 38 Hijrah bagi menghapuskan Abu al-Khatab dan pengikut-pengikutnya. Abu al-Khatab dan pengikut-pengikutnya menentang bala tentera Gabenor Kufah dengan menggunakan pisau, seligi dan batu-batu. Akhirnya Abu al-Khatab berjaya ditahan dan dibawa ke Kufah. Dia dijatuhkan hukuman bunuh bersama beberapa pengikutnya. Mayat-mayat mereka disula dan dipertontonkan kepada orang ramai.

Seterusnya golongan al-Khattab ini berpecah kepada beberapa mazhab:

Al-Muamariah:
Pengikut seorang yang bernama Muamar, mereka menyembahnya seperti menyembah Abu al-Khatab. Mereka juga menyebarkan ajaran yang sesat, antaranya adalah:

- Mereka mendakwa dunia tidak akan binasa. Mereka memberi maksud syurga itu dengan kebaikan, nikmat dan kesihatan di dunia. Neraka di dunia ini pula adalah kejahatan, kesusahan dan bala bencana.
- Mereka berkata roh-roh itu berpindah dari jasad ke jasad yang lain. Orang yang mati itu tidak mati tetapi berpindah ke alam malakut iaitu alam yang tertinggi. Kemudian, roh-roh ilu diletakkan ke dalam jasad yang menyerupai jasad mereka.
- Mereka tidak percaya pada hari kiamat.
- Meninggalkan sembahyang dan kewajipan yang lain.
- Menghalalkan perkara-perkara yang haram seperti zina, arak dan sebagainya.

Al-Bazighiah:
Pengikut Bazigh bin Musa. Dia mendakwa Imam Jaafar as-Sodiq itu Tuhan yang menjelma dengan rupa makhluk. Dia membawa ajaran-ajaran berikut:

- Setiap orang beriman itu menerima wahyu. Apa yang terlintas di dalam hati itu adalah wahyu.
- Dalam kalangan pengikutnya ada martabatnya lebih tinggi daripada Nabi Muhammad, malaikat Jibril dan Mikail.
- Apabila manusia sampai kepada martabat kamal, dia tidal boleh dikatakan mati tetapi dikatakan naik kepada martabat malakut.
- Mereka berkata tidak ada seorang pun dalam kalangan mereka yang mati.

Al-Ujailiah:
Pengikut Umair bin Banan al-Ujaili. Pengikutnya mendakwa Umair adalah pengganti Abu al-Khatab. Walau bagaimanapun, mereka menerima kematian berbeza dengan al-Muamariah yang mendakwa mereka berpindah ke alam malakut. Akhirnya ketua mereka dijatuhkan hukuman bunuh oleh pemerintah Islam pada zamannya.

Al-Kayyaaliyyah:
Pengikut Ahmad bin al-Kayal. Dia dianggap sebagai salah seorang Imam yang tersembunyi. Peringkat awal dia mengaku menjadi imam sehingga pada suatu hari dia mendakwa mampu “berdiri dengan sendirinya” (menjadi Tuhan). Antara ajarannya adalah alam itu ada tiga:

1. Alam yang tinggi.
2. Alam yang dekat.
3. Alam yang jauh.

Al-Nusairiah:
Pengikut Muhammad bin Nasir yang mendakwa sebagai pengikut Imam Husain al-Askari. Dia adalah imam yang ke sembilan daripada mazhab Syiah Imamiah. Dalam ajarannya sering membincangkan perkara Syiah. Mereka adalah golongan pelampau Syiah. Antara ajarannya adalah:

- Percaya Ali sebagai tuhan atau hampir seperti Tuhan.
- Syariat itu ada zahir dan batin. Batin itu berada di sisi imam-imam dan mereka masih kekal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan