09 Januari 2012

Sejarah Munculnya Ilmu Mustolah al-Hadis & Perkembangannya

Penulis buku Ilmu Mustolah Hadith ini ialah Qurrotul Aien Fatah Yasin. Beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin pengkhususan Hadith dari Universiti Al-Azhar, Iskandariah dengan pencapaian Jayyid Jiddan (amat sedikit pelajar Malaysia yang memperoleh keputusan itu di Al-Azhar) dan kini sedang melanjutkan pengajian di UIA dalam pengkhususan yang sama.

Penulisan ini adalah hasil kajian beliau selama dua tahun terhadap beberapa karya ulung dalam pengajian Ilmu Hadith merangkumi 37 buah buku termasuklah kitab-kitab mu’tabar antaranya kitab karangan Imam as-Sayuti, an-Nawawi, ad-Daruqutni, Ibn al-Athir, , Mustafa al-‘Adawi, Muhammad Ibn Solah, Badruddin
al-‘Aini, al-Jurjani, Muhamad Sa’id Mursi dan beberapa orang pakar hadith masa kini dari timur tengah seperti Dr. Mahrus Ridhwan Abdul ‘Aziz, Dr Mahmoud al-Tahhan, Dr. Nuruddin ‘Attar, Dr. Hamid Ahmad Hamad, dan Dr Rizq Amin Hassan.

Beliau telah mempersembahkan buku ini kepada beberapa orang pensyarah Fakulti Hadith di UIA dan mendapat pelbagai respon daripada mereka. Ada kalangan pensyarah pengajian hadith di institusi itu yang mendapati bahawa sesetengah perbahasan buku ini lebih mendalam daripada syllabus pengajian ulum hadith di Universiti Islam Madinah, antaranya dalam bab berkaitan Hadith Qudsi dan Hadith Nabawi.

Buku ini turut menghimpunkan penjelasan berhubung pelbagai jenis dan kategori hadith termsuklah hadith yang diterima, ditolak dan yang berkemungkinan diterima atau ditolak. Dalam Bahagian Ketujuh buku ini disenaraikan 37 jenis hadith selain Mutawatir dan Ahad, beserta penerangan masing-masing.

Buku setebal 194 muka surat (termasuk kulit) ini mengandungi 8 Bahagian serta 7 carta pada helaian berwarna untuk kemudahan para pembaca. Ia diterbitkan oleh Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah dengan izin terbit oleh PMRAM, sebuah NGO Malaysia yang berdaftar di bawah Kementerian Kemasyarakatan Republik Arab Mesir dan mendapat kelulusan daripada pihak MANHAL (Markaz Jam’ul Buhuth Wa al-Dirasat al-Islamiyah) . Harganya ialah RM15.00 tidak termasuk penghantaran.


Ilmu Mustolah al-Hadis ialah ilmu yang membahaskan berkenaan asas-asas dan kaedah-kaedah yang digunakan untuk mengetahui keadaan dan kondisi sanad dan matan hadis, samada ia diterima atau ditolak yang merupakan objek pembahasan utama ilmu ini.Melalui ilmu yang berdisiplin tinggi ini kaum muslimin dapat membezakan antara hadis yang sahih dan hadis yang lemah atau palsu.Ilmu ini adalah satu ilmu yang sangat penting bagi umat Islam, sebagaimana kata Imam al-Nawawi (676H) dalam pendahuluan kitab al-Taqrib wa al-Taisir li Marifati Sunan al-Basyir al-Nadzir:

"Ilmu Hadis merupakan medium paling optimum untuk mempercepat proses mendekatkan diri kepada Allah SWT, mengingatkan bahawa ilmu ini merupakan sarana untuk mengenal lebih jauh tatacara hidup manusia agung,Muhammamd SAW secara terperinci"

Sesungguhnya dasar-dasar dan asas-asas penting ilmu Riwayat dan penyampaian berita dapat kita jumpai dalam al-Quran al-Karim dan Sunnah Baginda SAW.

Firman Allah SWT: Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.[al-Hujurat:6]

Dan dalam sebuah hadis:
…telah menceritakan Mahmud bin Ghilan, telah menceritan Abu Daud memberitakan Syubah dari Simak bin Harb telah berkata : aku mendengar AbdulRahman bin Abdullah bin Masud dari ayahnya: telah mendengar aku bersabdanya Nabi SAW "Allah mencerahkan wajah seseorang yang mendengar dari kami [hadis], lalu dia menyampaikan ia sebagaimana dia dengar, mungkin saja orang yang menerima berita [hadis] itu lebih faham dari orang yang mendengarnya [Hadis Riwayat Tirmizi (2657), berkata Abu Isa [Tirmizi] "hadis ini Hasan Sahih", syaikh al-Albani menghukumnya Sahih (tahqiq sunan Tirmizi (2657)]

Jelas dalam ayat dan hadis diatas terdapat prinsip yang tegas dalam mengambil suatu berita dan tatacara penerimaannya, iaitu dengan cara memilih,menyemak,mencermati dan mendalaminya sebelum menyampaikannya kepada yang lain.

Dalam usaha melaksanakan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW, Para sahabat r.a telah menetapkan hal-hal yang berkaitan penyampai sesuatu berita dan penerimanya, terutama jika mereka ragu akan kejujuran si pembawa berita. Berdasarkan hal ini,muncullah nilai dan pembahasan isnad dalam menerima atau menolak sesuatu berita. Dalam muqaddimah [pendahuluan] Sahih Muslim, dinukilkan kata-kata Ibn Sirin:

"dikatakan, pada awalnya mereka tidak pernah menanyakan tentang isnad, namun setelah berlakunya peristiwa fitnah maka mereka berkata: "sebutkanlah kepada kami orang-orang yang meriwayatkan hadis kepadamu". Apabila orang-orang yang meriwayatkan hadis itu adalah ahli Sunnah,maka mereka ambil hadisnya, tetapi jika orang yang meriwayatkan hadis itu ahli Bidah,maka mereka tidak mengambil hadis darinya"

Berdasarkan hal ini, maka sesuatu berita tidak akan diterima kecuali setelah diketahui sanadnya, dengan itu muncullah ilmu "jarh wa tadil",iaitu ilmu mengenai ucapan para perawi, cara mengetahui bersambung (muttasil) atau terputus (munqati)nya sanad, mengetahui cacat-cacat yang tersembunyi. Muncul pula ucapan-ucapan (sebagai tambahan kepada hadis) sebahagian perawi meskipun sangat sedikit,kerana masih sedikitnya para perawi yang tercela pada zaman awal.

Kemudian para ulama dalam bidang itu semakin banyak,hingga munculnya pelbagai-bagai pembahasan dalam banyak cabang ilmu yang berkait dengan hadis, baik dari aspek kedhabitannya, tatacara menerima dan menyampaikannya, pengetahuan tentang hadis-hadis yang nasikh (menghapus) dan hadis-hadis yang dimansukh (dihapus), pengetahuan tentang hadis-hadis yang gharib (asing/pelik/menyendiri) dan lain-lain. Semua ini masih disampaikan oleh para ulama secara lisan.

Kemudian,ilmu ini semakin berkembang. Lama-kelamaan ilmu hadis yang pada mulanya hanya disampaikan dengan medium lisan ini mula ditulis dan dibukukan, akan tetapi masih terserak dan berselerak dalam pelbagai tempat di dalam kitab-kitab lain yang bercampur dengan ilmu-ilmu yang lain (selain hadis), seperti dalam kitab-kitab usul.fiqh, dan ilmu hadis sendiri. Contohnya kitab "ar-Risalah" dan "al-Umm" Imam Syafie (wafat 204H),muqaddimah Sahih Muslim (wafat 261H), Jami al-Tirmizi (wafat 279H) dan lain-lain

Akhirnya, ilmu ini menjadi semakin dewasa dan matang,mencapai tahap puncak dan memiliki istilah tersendiri yang terpisah dari ilmu-ilmu yang lainnya. Hal ini terjadi pada abad ke-4 hijrah. Para ulama mula menyusun ilmu mustolah dalam kitab-kitab tersendiri dan secara komprehensif. Orang yang pertama menyusun kitab dalam bidang ini adalah Qadhi Abu Muhammad Hasan bin Abdurrahman bin Khalad ar-Rahahurmuzi (wafat 360H), iaitu kitabnya yang berjudul "al-Muhaddiths al-Fashil baina ar-Rawi wa al-WaI", selajutnya apa yang dirintis ar-Rahahurmuzi itu dilanjutkan oleh Imam al-Hakim al-Naisaburi (wafat 405H) dengan kitabnya "Marifah Ulum al-Hadith", karya al-Hakim ini merangkumi 50 klasifikasi hadis, akan tetapi masih tertinggal beberapa poin penting dan yang tidak disentuh. Abu Nuaim al-Isbahani (wafat 430H) kemudian melengkapkan karya al-Hakim dengan kitabnya "al-Mustakhraj ala Marifat Ulum al-Hadith".

Beberapa tahun kemuadian muncul pula al-Khatib al-Baghdadi (wafat 463H) yang menulis dengan banyak sekali kitab dalam disiplin ilmu Hadis,bahkan hampir semua pembahasan dalam disiplin ilmu ini ditulis beliau secara baik dan mendalam. Antara karya-karyanya ialah seperti kitab "Al-Kifayah fi Ilm al- Riwayah" dan "al-Jami baina Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami ". Al-Qadhi Iyadh al-Yahshubi (wafat 544H) pula menyusun sebuah kitab ilmu periwayatan Hadis yang kemudian diberinya nama "al-Ilma fi Dlabth al-Riwayah wa Taqyid al-Sama ". Menyusul setelah itu Abu Hafs al-Mayanji (wafat 580H) menulis sebuah kitab sederhana kecil, "Mala Yasa al-Muhaddiths Jahluhu".

Setelah itu, muncullah pula Abu Amr Uthman Ibn al-Salah (wafat 643H), yang merupakan tokoh hadis yang mendapat gelaran Hafiz al-Hadis. Kitab yang dihasilkan Ibn al-Salah diberi nama "Ulum al-Hadith" yang kemudiannya terkenal dengan jolokan "Muqaddimah Ibn Salah". Ibn al-Salah menyusun kitabnya ini semasa beliau mengajar di Dar al-Hadith di beberapa bandar di Syiria ini adalah dalam bentuk sederhana tetapi komprehansif sehingga ia menjadi standard bahan rujukan pengajian oleh beribu-ribu ulama dan pelajar Hadis selepasnya. Hinggakan terdapat tidak kurang dari 33 kitab yang membahas karya Ibn al-Salah ini, baik dalam bentuk ringkasan (Ikhtisar), ulasan (syarah), syair (nadzam) dan perbandingan (muaradlah).

Antara kitab-kitab mustolah hadis yang berdasarkan "Muqaddimah Ibn Salah" adalah Al-Irshad dan Taqrib oleh al- Nawawi (wafat 676H), al-Suyuti (wafat 911H) dengan nama Tadrib al-Rawi. Ikhtisar Ulum al-Hadith oleh Ibn Kathir (wafat 774H), Al-Khulasah karya al-Tibi (wafat 743H), Al-Minhal karya Badr al-Din b. Jamaah (wafat 733H), Al-Muqni oleh Ibn al-Mulaqqin (wafat 802H) dan Mahasin al-Istilah oleh al-Balqini (wafat 805H), Al-Nukat karya al-Zarkashi (wafat 794H), Al-Taqyid wa l-Idah karangan al-Iraqi (wafat 806H) dan Al-Nukat oleh Ibn Hajar al-Asqalani (wafat 852H), Alfiyyah al-Hadith karya al-Iraqi,[iaitu penulisan semula Muqaddimah Ibn Salah dalam bentuk syair panjang] dan lain -lain

Ringkasan Muqaddimah Ibn Salah pertama kalinya terhasil dari pena seorang muhaddis yang kebetulan hidup agak sezaman dengan Ibn Salah. Beliau adalah Muhyidin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi atau lebih dikenali dengan nama Imam al-Nawawi (wafat 676H). Kitab ringkasan ini diberi nama al-Irsyad. Akan tetapi Imam Nawawi merasakan kitab al-Irsyad nya itu belum cukup ringkas dan agak sukar difahami, beliau kemudian meringkaskannya lagi dan diberi nama "al-Taqrib wa al-Taisir li Marifati Sunan al-Basyir al-Nadzir". Kemudiaan kitab "Taqrib" al-Nawawi ini diberi syarahnya oleh al-Suyuthi (wafat 911H) dengan judul "Tadrib al-Rawi". Walaupun kitab "Taqrib" al-Nawawi ini dari segi isinya agak komprehensif dan ringkas, kerana ia sengaja ditulis al-Nawawi untuk memudahkan mereka yang hendak mendalami ilmu hadis, namun gaya bahasa yang digunakan al-Nawawi agak puitis dan agak sukar difahami [gaya bahasanya]. Sehingga Dr. Mahmud Tohhan, mengomentari kitab ini dalam pendahuluan kitab "Taisir Mustolah Hadis", berkata Dr. Mahmud Tohhan:

"sejak beberapa tahun saya ditugaskan mengajar ilmu Mustolah Hadis di Fakulti Syariah, Universiti Islam Madinah al-Munawwarah. Yang pada ketika itu kitab silibus rujukannya ialah "Ulum al-Hadis" karya Ibn al-Salah, yang kemudiannya diganti dengan ringkasan kitab tersebut iaitu "Taqrib" imam Nawawi. Selama saya mengajar disana, saya mendapati bahawa para mahasiswa mengalami kesulitan dalam mempelajari kedua kitab tersebut, kerana ketinggian bahasa dan isinya yang sarat dengan syair. Ada antara lain ialah panjang lebarnya sebahagian pembahasan, terutama kitab Ibn Salah [contohnya topik: "mengetahui tatacara mendengar hadis dan menyampaikannya, dan sifat-sifat mengenai kedhabitannya" yang penjelasannya memerlukan sehingga 36 halaman!!], atau terlalu ringkasnya penjelasan pada sebahagian topik terutama pada kitab al-Nawawi [contohnya topik: "ad-Dlaif" yang tidak sampai melebihi 19 kata]. Ada juga kesulitan yang berbentuk ungkapan (tabir), atau tidak adanya pembahasan yang saling melengkapi pada sebahagian topik. Begitu juga kadang-kadang tiadanya definasi, atau tidak adanya contoh, atau tidak disebutkan faedah dari suatu topik pembahasan…saya juga mendapati (selain dari kedua kitab tersebut) kesulitan-kesulitan yang sama dalam kitab-kitab klasik lainnya. Malah pada sebahagian kitab-kitab klasik ini pembahasannya tidak tersusun rapi dan tidak sisitematik, hal ini adalah dimaklumi kerana mungkin telah jelas sebahagian topik itu, lalu ia dibiarkan tidak dikaji, atau mungkin ada kepentingan pada masa itu untuk diterangkan secara panjang lebar topik-topik tertentu, atau kerana faktor-faktor lain, baik yang kita ketahui ataupun yang tidak kita ketahui.."

Memandangkan masalah-masalah itu dilihatnya, Dr. Mahmud Tohhan menghasilkan kitab "Taisir Mustolah Hadis" yang berbentuk lebih moden untuk Fakulti Syariah di tempat beliau mengajar dan kitabnya itu tersebar luas sehingga ke Malaysia [sebagaimana yang ada pada tangan penulis], dan pada yang sama, masalah yang sama dilihat oleh Dr. Mahmud Tohhan pada kitab-kitab klasik Mustolah Hadis juga dilihat oleh pengajar-pengajar dan pakar-pakar hadis lainnya dari segenap dunia islam dan hal ini mendorong kepada penghasilan penulisan kitab-kitab Mustolah Hadis yang lebih moden dan kontemporari yang dapat kita temui sehingga sekarang [di universiti-universiti dan lainnya] dan ilmu ini terus berkembang dan yang paling penting ialah untuk ia dipraktikkan.


Sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu kajian hadith atau menceburkan diri dalam kajian hadith pasti tidak dapat mengabaikan buku-buku yang dipanggil buku Mustolah al-Hadith. Buku-buku seperti Nuzhat al-Nazor karya Ibn Hajar dan Tadrib al-Rawi karya al-Suyuthi adalah antara buku yang popular dalam kalangan pengkaji hadith. Buku-buku moden juga digunakan seperti buku Dr. Mahmud al-Tohhan bertajuk Taisir Mustolah al-Hadith dan buku Mabahith Fi Ulum al-Hadith karya Manna’ al-Qatthan.

Apakah kedudukan buku-buku Mustolah al-Hadith di sisi pengkaji hadith sejak dahulu hingga kini? Sejauh manakah buku ini penting dalam kajian hadith? Bagaimanakah buku-buku ini digunakan oleh para pengkaji?

Perkara pertama yang perlu difahami oleh kita ialah : buku Mustolah al-Hadith ialah buku yang cuba menganalisis kajian ulama terdahulu (kurun ke 2 dan 3 Hijrah) lalu ia cuba digambarkan dalam bentuk kaedah-kaedah yang lebih ringkas dan mudah untuk difahami.

Perkara seterusnya ialah: buku Mustolah al-Hadith tidak wujud di zaman awal (kurun ke 2 atau 3 Hijrah) tetapi wujud selepas zaman kajian itu iaitu bermula pada pertengahan kurun ke 4 Hijrah. Buku pertama yang ditulis secara khusus untuk menganalisis kajian ulama terdahulu ialah buku yang bernama al-Muhaddith al-Fasil karya al-Ramahurmuzi (meninggal pada 360H). Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani: buku al-Ramahurmuzi ini tidak menyeluruh iaitu tidak meliputi kesemua kajian ulama terdahulu. Sememangnya ini adalah ciri atau sifat kesemua buku Mustolah al-Hadith sama ada buku yang ditulis di kurun ke 4, 5 dan seterusnya sehinggalah ke zaman kita pada hari ini.

Namun begitu, terdapat buku-buku yang dianggap ‘terbaik’ di antara buku-buku Mustolah al-Hadith seperti buku Ma’rifat Anwa’ ‘Ilm al-Hadith karya Ibn al-Solah al-Syahrazuri (meninggal pada 643H), al-Muqizoh karya al-Zahabi (meninggal pada 748H), Syarh ‘Ilal al-Tirmidzi karya Ibn Rajab al-Hanbali (meninggal pada 795H) dan juga buku Nuzhat al-Nazor karya Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal pada 852H). Manakala buku-buku di zaman ini pula adalah ringkasan dan olahan baru bagi buku-buku yang telah ditulis sebelumnya. Sebagai cadangan, saya mencadangkan buku Taisir Mustolah al-Hadith karya Dr. Mahmud al-Tohhan dan juga buku Mabahith Fi ‘Ulum al-Hadith karya Manna’ al-Qatthan. Kedua-dua buku ini telah pun diterjemahkan.

PENILAIAN TERHADAP BUKU-BUKU MUSTOLAH AL-HADITH
Setelah kita mengetahui bahawa kemunculan buku Mustolah al-Hadith adalah selepas zaman kajian hadith ulama terdahulu, maka perlulah difahami beberapa kesimpulan berikut:

1- Tidak ada buku Mustolah al-Hadith yang menghimpunkan secara lengkap kesemua kajian para ulama terdahulu.

2- Tidak cukup sekadar membaca satu atau dua buku Mustolah al-Hadith untuk memahami bagaimana hadith dikaji oleh ulama terdahulu.

3- Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya seseorang pengkaji hanya melihat kepada buku Mustolah al-Hadith tanpa melihat kepada kajian-kajian ulama terdahulu yang dicatatkan dalam buku-buku lain.

4- Buku Mustolah al-Hadith tidak boleh diabaikan oleh sesiapa yang ingin mengkaji hadith tetapi ia mestilah dianggap sebagai permulaan dan kelengkapan asas untuk pengkaji di samping ilmu-ilmu lain.

Oleh itu, menjadi satu kesilapan sekiranya seseorang pengkaji hadith melakukan kajian dengan hanya berpandukan kaedah-kaedah yang ada dalam buku Mustolah al-Hadith tanpa melihat kepada buku-bukulain berkaitan kajian hadith. Mungkin ada yang bertanya, kenapa pula tidak? Bukankah buku Mustolah al-Hadith adalah kaedah-kaedah yang meringkaskan kajian ulama terdahulu? Maka ia adalah menepati kajian ulama terdahulu bahkan ia lebih mudah digunakan kerana ia meringkaskan kajian mereka. Jawapannya adalah seperti berikut:

1- Telah sedia dimaklumi bahawa buku Mustolah al-Hadith adalah percubaan untuk meringkaskan kajian ulama hadith terdahulu lalu dipersembahkan dalam bentuk kaedah yang mudah difahami. Maka untuk kita benar-benar pasti dalam mengkaji, kita perlu kembali kepada kajian ulama terdahulu untuk melihat sejauh mana kaedah itu digunakan.

2- Pengkaji hadith sejak dahulu hingga masa kini telah menegaskan bahawa terdapat kekurangan pada buku-buku Mustolah al-Hadith sama ada sedikit atau banyak. Bahkan ada di antaranya yang terlalu ringkas sehingga sukar untuk dipraktikkan tanpa melihat bagaimana ulama terdahlu mempraktikkannya.

3- Terdapat beberapa kaedah yang diperselisihkan dalam buku Mustolah al-Hadith. Untuk menyelesaikan perselisihan ini, kita perlu kembali kepada kajian ulama terdahulu.

4- Ada beberapa kaedah yang ada dalam buku Mustolah al-Hadith didapati berlainan dengan apa yang telah diamalkan oleh ulama hadith terdahulu terutama berkaitan dengan topik-topik seperti Ziayadat al-Thiqah, Hadith Mudallas, maksud perkataan al-Munkar, penggunaan Hadith Mursal dan sebagainya.

Berdasarkan sebab-sebab di atas dan sebab-sebab lain yang tidak disebutkan di sini, kita perlu akur dengan satu perkara penting iaitu: Kajian ulama terdahulu yang wujud sebelum wujudnya buku-buku Mustolah al-Hadith sama sekali tidak boleh diabaikan. Menggunakan kaedah-kaedah Mustolah al-Hadith semata-mata tidak menjamin kajian yang dihasilkan adalah ilmiah dan tepat malah ditakuti ia menyalahi apa yang telah dipraktikkan oleh ulama hadith terulung pada masa silam seperti kajian Abd. Rahman Ibn al-Mahdi, Ali Ibn al-Madini, Yahya Ibn Sa’id, Ahmad Ibn Hanbal, al-Bukhari, Abu Zur’ah, Abu Hatim, al-Nasaai dan lain-lain lagi.

Perlu diingatkan di hujung tulisan ini, sekiranya ada yang memuji ilmu kajian hadith, pada hakikatnya mereka memuji kajian yang telah berlaku di zaman kegemilangan kajian hadith di zaman ulama-ulama terdahulu yang disebutkan tadi. Kajian mereka adalah terlalu hebat dan tidak dapat ditandingi oleh sesiapa selepas mereka hinggalah ke zaman kita ini. Maka kritikan kita terhadap beberapa kekurangan buku Mustolah al-Hadith tidak langsung menjejaskan kehebatan umat Muhammad SAW iaitu kajian mengenal pasti kesahihan hadith dan kedhaifannya. Wallahu a’lam.


Rujukan:

1- Taisir Mustolah al-Hadis, Dr. Mahmud Tohhan, terbitan al-Haramain, 1985M [Juga dalam edisi terjemahan oleh Abu Fuad dengan tajuk "Ilmu Hadis Praktis" cetakan Thariqatul Izzah 2006M] (Dr. Mahmud Tohhan -seperti yg tercatit pada muka kulit buku yg ada pada penulis- adalah pensyarah di bahagian Hadis kuliah Syariah & Pengajian Islam, Universiti Kuwait)

2- al-Taqrib wa al-Taisir li Marifati Sunan al-Basyir al-Nadzir, Muhyidin Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Nawawi, http://www.alwarraq.com, edisi software Maktabah Syamilah version. 2 [juga dalam edisi terjemahan oleh Syarif Hade Masyah, pengantar Prof. KH Ali Mustafa Yaqub, M.A dengan tajuk "Dasar-Dsar Ilmu Hadis" cetakan Pustaka Firdaus 2001M]

3- Introduction to The Sciences of Hadith, Syaikh Suhaib Hasan,edisi e-book oleh Gawaher.com [Suhaib Hasan ialah Muhaddith terkenal United Kingdom]

4- al-Quran al-Karim, edisi software Quran In Word version 1.3, oleh Mohamad Taufiq: http://www.geocities.com/mtaufiq.rm/quran.html

5- al-Jami al-Sahih Sunan Tirmizi, Dar Ihya Turath al-Arabi,Beirut, dengan hukum hadis oleh syaikh al-Albani, edisi software Maktabah Syamilah version. 1

Kredit: Abu Ismail dan Ali Tantawi (al-fikrah.net)

2 ulasan:

  1. boleh tahu lebih lanjut x mengenai kitab tadrib al-rawi fi syarh taqrib al-nawawi..

    BalasPadam
    Balasan
    1. insya Allah, tapi perbahasannya sangat panjang. Bagaimana satu hadis menjadi syadz, hasan, sahih, dhaif, daln lain-lain istilah.

      Padam