04 Ogos 2012

Zakat Fitrah dan Beberapa Penyelesaian Khilafnya

Zakat merupakan sunnah nabi dan ia termasuk sunnah yang wajib. Kefarduannya bermula di Madinah iaitu pada bulan Syaaban tahun kedua selepas hijrah tetapi pendapat yang masyhur ialah pada bulan Syawal tahun kedua hijrah dan zakat fitrah difardukan pada tahun yang sama dua hari sebelum difardukan puasa bulan Ramadan. Ibadat zakat adalah ikutan (sunah) dan merupakan syariat nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad lagi.

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ مِنْ الْمُسْلِمِينَ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ أَوْ رَجُلٍ أَوْ امْرَأَةٍ صَغِيرٍ أَوْ كَبِيرٍ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah mewajibkan Zakat Fitri di bulan Ramadan atas setiap jiwa dari kaum Muslimin, baik orang merdeka, hamba sahaya, laki-laki atau pun perempuan, anak kecil mahupun dewasa, iaitu berupa satu sha' kurma atau satu sha' gandum. (Hadis Riwayat Muslim No 1645, Abi Abdullah Ar-Razi No 51, Malik No 627, Al-Iraqi No 568, Nasai No 1568 dan Bukhari No 1433)

Inilah zakat yang sebenar menurut Mazhab Syafii, Maliki dan Hanbali.

Perbahasan sunnah pula cukup panjang kerana pada asasnya, sunnah itu sendiri terdiri dari beberapa cabang iaitu antaranya:

1. Sunnah Qauliyyah = sunnah yang berupa atau berbentuk segala suruhan, tegahan atau penerangan baik berupa hadis atau penjelasan daripada Al-Quran yang mutlak, mujmal, 'am dan sebagainya. Ini adalah sunah wajib dan ada juga di antaranya sunah muakkad dan sunah kifayah. Bagi membezakan antara wajib, kifayah dan muakkad, beberapa petunjuk yang jelas telah diberikan melalui al-Quran mahu pun hadis tanpa perlu mentakwilkan lagi.

2. Sunnah Fi'iliyyah = sunah berbentuk perbuatan yang mana segala perbuatan, tingkah laku, dan gerak laku Nabi shallallahu alaihi wasallam yang menegakkan hukum. Ia termasuk di dalam sunah sunnat dan ada juga terdiri dari sunah wajib. Ia dapat dibezakan apabila nabi menyeru dengan tegas atau melarang dengan tegas. Ia terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:

a. Sunnah Surah = mengenai semua fizikal atau luaran nabi seperti rambut nabi, janggut nabi, pakaian nabi, serban nabi, ridak (selendang) nabi, selipar nabi, celak nabi dan sebagainya. Contoh situasi yang menjadi wajib apabila nabi bersabda:
انْهَكُوا الشَّوَارِبَ وَأَعْفُوا اللِّحَى
Cukurlah kumis kalian dan biarkanlah janggut kalian (panjang). (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai, Ahmad dan Tirmidzi)

Perhatikan perkataan ‘biarkanlah janggut’ (أَعْفُوا اللِّحَى), ia merupakan isim fi’il amr yakni kata arahan oleh nabi dan nabi memaksa umatnya memelihara janggut. Sedangkan memakai celak, serban, jubah dan lain-lain hanyalah cadangan dan galakan sahaja.

b.  Sunnah Sirah = melibatkan aktiviti harian nabi dari bangun tidur sampai tidur balik seperti cara berjalan, cara makan, cara solat, cara berjalan, cara pakai baju, cara naik kenderaan, cara tidur, cara beristinjak, bacaan Quran nabi, solat nabi, qiamullail nabi dan lain-lain lagi. Contoh situasi yang menjadi wajib di mana, pergerakan solat nabi itu mengikut tertib, maka cara kita bersolat tidaklah boleh mengikut selera dan rasa kita. Tidak boleh sujud dulu, barulah iktidal, kemudian menjadi caca marba solat itu.

c. Sunnah Sarirah = perkara spiritual atau dalaman nabi seperti zikir nabi, perasaan hati nabi, tangisan hati nabi, kerisauan nabi terhadap umat, kepedihan hati nabi melihat kerosakan umat, kebencian nabi terhadap kemungkaran dan lain-lain lagi. Beberapa panduan telah diberikan dan masih ada yang membid’ahkan Islam dengan melakukan sesuatu yang baru yang tidak diajar oleh Nabi sedangkan telah pun banyak teladan yang Nabi pamerkan. Ulama menjadi racun dan tuba serta menjadi nabi dengan mengajar perkara yang tidak diajarkan nabi, lalu mereka mendakwa, ini adalah amalan baik, atau bidaah hasanah. Orang begini mengalahkan ayah pin!

3. Sunnah Taqririyah = sunnah di mana Nabi shallallahu alaihi wasallam mendiamkan diri apabila ditanya sesuatu perkara. Nabi shallallahu alaihi wasallam tidak melarang malah tidak menyuruh. Sunah ini ialah sunah harus.

Jumlah berat zakat fitrah
Berapakah jumlah berat zakat fitrah? Mari kita semak.
أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ يَقُولُ كُنَّا نُخْرِجُ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ طَعَامٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ أَقِطٍ أَوْ صَاعًا مِنْ زَبِيبٍ وَذَلِكَ بِصَاعِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Abu Sa'id al Khudri berkata, "Kami mengeluarkan zakat fitrah satu sha' makanan, atau satu sha' gandum, atau satu sha' kurma, atau satu sha' keju, atau satu sha' anggur. Itu berdasarkan ukuran sha' Nabi shallallahu 'alaihi wasallam." (Hadis Riwayat Malik No 621, Bukhari No 1435, Ismail bin Ja'far No 422, Ibnu Zanjuwiyah No 1928)

Berapa nilai sha' (gantang - صَاع)?
Dewan Fatwa Saudi Arabia atau Al-Lajnah Ad-Da`imah yang diketuai Asy-Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, wakilnya Asy-Syaikh Abdurrazzaq ‘Afifi dan anggotanya Abdullah bin Ghudayyan memperkirakan 3 kg. (Fatawa Al-Lajnah, 9/371)

Adapun Asy-Syaikh Ibnu Utsaimin berpendapat sekitar 2,040 kg. (Fatawa Arkanil Islam, hal. 429)

Satu sha’ sama dengan empat mud. Satu Mud sama dengan satu sepertiga rithl. Sehingga satu sha’ sama dengan lima sepertiga rithl.

Sha’ madinah setelah tegaknya Negara islam dan dijadikan takaran syar’iyyah yang digunakan pada zakat fitrah, kafarah sumpah, dan  membayar fidyah.

Sememangnya itulah yang diajarkan Baginda Rasulullaah Shallallaahu ‘Alaihi wa Sallaam.

عَنْ ابْنِ جَبْرٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ بِالْمُدِّ وَيَغْتَسِلُ بِالصَّاعِ إِلَى خَمْسَةِ أَمْدَادٍ
Dari Ibnu Jabr dari Anas dia berkata, "Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berwudhu dengan satu mud dan mandi dengan satu sha' (empat mud) hingga lima mud. (Hadis Riwayat Muslim No 495 dan Tirmidzi No 51. Abu Isa at-tirmidzi berkata; "Dalam bab ini juga ada riwayat dari Aisyah, Jabir, dan Anas bin Malik." Abu Isa berkata; "Hadis Safinah darjatnya hasan sahih, sedangkan Abu Raihanan namanya adalah Abdullah bin Mathar." Demikanlah, para ahli ilmu berpendapat bahawa wudlu cukup dengan air satu mud dan mandi dengan satu sha'. Imam Syafi'i, Ahmad dan Ishak mengatakan; "Hadis ini bukan bermakna sebagai pembatasan, bahawa hal itu tidak boleh terlalu banyak atau sedikit, tetapi menurut kadarnya.)

Ini adalah gambar takar

Di dalam kitab  Al-Iidhaahaat Al-Asyriyah lil Maqaayiis wal makaayiil wal al-auzaan wan nuquud asy-syariat tertulis:

Takaran dari satu sha’ menjadi liter. Satu Sha’ bersamaan 2.75 liter

Takaran dari satu sha’ menjadi gram dirham. Satu Sha’ = 685  Dirham = 685,714 Dirham. 685,714 Dirham bersamaan dengan 1599.634 gram (Lebih kurang 1.6kg)

Satu sha' gandum (al-qamhu) beratnya adalah lebih kurang 2176 gram. (Al-Amwal fi Daulah Al-Khilafah)

Di Mesir, sukatan satu gantang Baghdad ialah 2.5 kg

Di Malaysia, JAKIM telah membuat pelarasan seluruh negara bagi kadar yang dikeluarkan ialah satu gantang Baghdad bersamaan timbangan metrik 2.70 kilogram.

Kenapa ia berbeza di setiap negara? Kerana isi padu gantang itu berubah mengikut jenis dan pembuatnya. 

Zakat boleh dikeluarkan berupa kurma.
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ لَا يُخْرِجُ فِي زَكَاةِ الْفِطْرِ إِلَّا التَّمْرَ إِلَّا مَرَّةً وَاحِدَةً فَإِنَّهُ أَخْرَجَ شَعِيرًا
bahawa Abdullah bin 'Umar tidak pernah mengeluarkan zakat fitrah kecuali kurma, dan hanya sekali mengeluarkan berupa gandum (Hadis Riwayat Malik No 622 dan Baihaqi No 2104)

Harus diingatkan, barang makanan zakat itu haruslah dari yang terbaik dan tidak cacat atau busuk atau hampas.

Selain kurma, zakat juga boleh dikeluarkan dalam bentuk beras, anggur kering, gandum, kacang, padi, ‘alas, dukhnu (seperti gandum), jagung, kacang khummus, susu, keju, barli, dan segala jenis kacang sama ada lubia, ‘adas, fuul dan seumpamanya.

Imam Asy-Syafii tidak menggemari jika zakat itu dikeluarkan dalam bentuk keju dan buah-buahan selain tamar. (Kitab Al-Umm Bab Sukatan Zakat Fitrah)

Makanan yang disebutkan adalah berdasarkan makanan yang mengenyangkan bagi penduduk tempatan. Ada pun di Malaysia, makanan yang mengenyangkan ialah beras.

Bila sebenarnya waktu zakat fitri dikeluarkan?
Ringkasnya, sesuai dengan namanya yakni zakat fitri, maka pada sebelum solat idul fitri itulah kewajipan mengeluarkan zakat. Sesiapa yang bertemu dengan akhir Ramadan dan awal Syawal, maka difardukan zakat fitrah baginya dengan syarat, mempunyai bekalan makanan yang mencukupi pada malam raya sehingga hari raya yang pertama.
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِزَكَاةِ الْفِطْرِ قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan (untuk menunaikan) zakat fitri sebelum orang-orang keluar untuk solat ('Ied) (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Nasai dan Ahmad)

Jumhur ulama bersepakat bahawa waktu afdal mengeluarkan zakat ialah pada sebelum solat hari raya.

Secara rinci, menurut Ats-Tsauri, Ahmad, Ishak, Malik dan Imam Asy-Syafii (Qaul Jadid), waktu wajib ialah pada malam lebaran di akhir Ramadan.

Tetapi menurut Abu Hanifah, Laits, Imam Asy-Syafii (Qaul Qadim) dan sesetengah ulama mazhab Maliki, waktu wajib dibayar zakat fitrah itu tatkala matahari terbit pada hari pertama bulan Syawal itu.

Siapa wajib Berzakat Fitrah?
Menurut pendapat Mazhab Asy-Syafii, Maliki dan Ahmad, zakat fitrah wajib ke atas semua orang Islam yang merdeka, yang memiliki kelebihan makanan yang cukup menampung hidupnya selama sehari semalam lebih satu sha’ untuk dirinya, keluarganya dan hambanya.

Ada pun pertikaian mengenai bayi lahir dan Muslim yang meninggal dunia itu serta pembelian khadam apakah wajib dikeluarkan zakat atau tidak, maka telah dihimpunkan pendapat yang masyhur. Antara umat Islam yang hidup yang diberati zakat ialah:

1. Sesiapa yang lahir pada malam Syawal di akhir Ramadan sebelum matahari terbenam, maka mereka tidak diberati dengan zakat lagi.
 Sebaliknya jika sesiapa yang lahir selepas matahari terbenam di akhir Ramadan pada malam Syawal, maka ia diberati dengan zakat fitrah.
Begitu juga sesiapa yang membeli hamba (khadam) selepas terbenam matahari akhir Ramadan di malam Syawal, maka tidak diwajibkan zakat.

2.  Sesiapa yang meninggal dunia pada malam Syawal di akhir Ramadan sebelum matahari terbenam, maka mereka tidak diberati dengan zakat lagi.
 Sebaliknya jika sesiapa yang meninggal dunia selepas matahari terbenam di akhir Ramadan pada malam Syawal, maka ia diberati dengan zakat fitrah.
Begitu juga sesiapa yang membeli hamba (khadam) sebelum terbenam matahari akhir Ramadan di malam Syawal, maka ia diwajibkan mengeluarkan zakat tanggungannya itu.

Zakat diberi dua atau tiga hari sebelum solat Idul Fitri.
Hukumnya sunat mengeluarkan zakat 2-3 hari sebelum solat hari raya. Ulama muktabar menetapkan hukumnya sunat berdasarkan hadis ini:

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَبْعَثُ بِزَكَاةِ الْفِطْرِ إِلَى الَّذِي تُجْمَعُ عِنْدَهُ قَبْلَ الْفِطْرِ بِيَوْمَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةٍ
bahawa Abdullah bin Umar memberikan zakat fitrah atas apa yang menjadi tanggungannya dua atau tiga hari sebelum solat hari raya Idul Fitri. (Hadis Riwayat Malik no 623, Baihaqi No 582. Manakala Abu Daud No 1375, mengeluarkan bahawa sehari atau dua hari sebelum itu)

Tujuan Zakat
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ
Rasulullah shallallahu wa'alaihi wa sallam mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari bersenda gurau dan kata-kata keji, dan juga untuk memberi makan miskin. Barang siapa yang menunaikannya sebelum solat maka zakatnya diterima dan barang siapa yang menunaikannya setelah solat maka itu hanya sedekah di antara berbagai sedekah. (Hadis Riwayat Abu Daud No 1374, Al-Iraqi No 576 dan Baihaqi No 139)

Hadis ini juga menerangkan bahawa zakat fitrah akan terbatal tatkala setelah solat hari raya. Adapun, pendapat yang masyhur ialah, kewajipan zakat fitrah terbatal pada tenggelamnya matahari 1 Syawal. Adapun, selepas solat hari raya hanya dihukumkan sebagai makruh.

Bolehkah zakat dibayar dengan Wang?
Mazhab Malikiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah bersepakat tidak boleh dibayar dengan nilai wang dan zakat mesti diberi dalam bentuk makanan asasi dan bukan dalam bentuk barang yang diniagakan. Tiada satu pun ulama muktabar dari tiga mazhab ini bercanggah pendapat. Mereka bersepakat mengatakan, tidak boleh dibayar dengan wang. Zakat seharusnya adalah barang makanan asasi yang terbaik. Maka hukumnya orang kaya membayar zakat RM7 adalah tidak munasabah walaupun sah zakatnya. Ini kerana, RM7 adalah nilai zakat beras yang rendah kualitinya. Wajib bagi orang kaya dan berkemampuan tinggi untuk memberi zakat mengikut nilai beras yang paling berkualiti. Sebab itulah, di dalam Mazhab Syafii, membayar zakat fitrah mestilah di dalam bentuk bentuk makanan dan tiada pun di syariatkan/difatwakan tentang bolehnya berzakat dengan nilai wang di dalam mazhab ini.

Saya sangat hairan dengan masyarakat Malaysia yang majoriti bermazhab Asyairah ini, mereka adalah kelompok hizbiyyun dalam masa yang sama mendakwa mereka adalah bermazhab Asy-Syafii (mereka berdusta!). Jika benarlah mereka hizbiyyun dan kononnya bermazhab Asy-Syafii (sedangkan bermazhab Asyairah), sewajibnya mereka membayar zakat dengan makanan asasi dan bukan dengan wang ringgit!

Hukum Menunaikan Zakat Fithrah Dengan Wang Tunai Menurut Mazhab asy-Syafi’i, kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H): “Tidak dikira sah menunaikan zakat fithrah dengan nilainya (wang tunai) di sisi kami (mazhab asy-Syafi'i). Begitu juga yang dinyatakan oleh Imam Malik, Ahmad, dan Ibn ul-Mundzir.” [Al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 6/144]

Menurut pendapat ulama Hanafiyah (mazhab Hanafi), boleh memilih sama ada untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk 'ain (barang perniagaannya) ataupun dalam bentuk qimah (nilai barang perniagaannya) iaitu dalam bentuk wang yang setara nilainya dengan makanan dengan bersyarat iaitu harus menyebut nilai gantinya. Sebagaimana di Malaysia, kerajaan telah menetapkan jumlah zakat berupa jumlah wang dengan mengambil qaul mazhab Hanafi.  Lafaz berikut wajib dilakukan yakni:

“Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah sebanyak ………… yang wajib bagi diriku/tanggunganku/ pihak yang aku wakilipada tahun ini kerana Allah Taala.”

Ada pun bagi mereka yang ingin mengikuti qaul Mazhab Hanafi ini, maka sebenarnya mereka tidak boleh menanggung zakat orang lain. Seharusnya begitu, tetapi saya sendiri tidak tahu. Mereka memakai qaul mazhab Hanafi tetapi tidak melakukan dengan sempurna. Sepatutnya mereka tidak boleh menanggung zakat orang lain dan hanya menanggung dirinya sahaja. Maka lafaznya seharusnya:

“Inilah wang bagi menggantikan beras fitrah sebanyak ………… yang wajib bagi diriku pada tahun ini kerana Allah Taala.”

Mazhab Asyairah adalah agama rojak. Mereka merojakkan semua hukum fiqh tetapi dalam masa yang sama mendakwa mereka adalah Mazhab Syafii. Dusta dan kadzab, itulah sifat ulama ini. Mereka segan mengaku Mazhab Asyairah kerana mereka tahu, ianya serpihan Muktazilah. Apalah salahnya mengaku sahaja diri seseorang sebagai bermazhab Asyairah serta JAKIM pula perlu mengisytiharkan bahawa Malaysia berfahaman Mazhab Asyairah sebagaimana Syeikhul Azhar telah berfatwa bahawa Al-Azhar bermazhab Asyairah. Mudah sahaja, kerana dengan pengakuan seperti ini maka masyarakat awam tidak pening dengan hukum-hakam kalian.

Asnaf Zakat
Kumpulan yang layak menerima zakat fitrah ialah orang fakir dan orang miskin, tetapi terdapat khilaf kecil sahaja mengenai siapa yang harus menerima zakat fitrah. Ini kerana keumuman ayat Allah di bawah ini:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاء وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِّنَ اللّهِ وَاللّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah: 60)

Menurut Qaul dari Abu Hanifah, dibolehkan untuk memberikan zakat itu kepada kafir zimmi jika mereka cukup syarat di atas.
Dalil tentang tidak dibenarkan untuk memberikan zakat kepada bukan Muslim adalah berdasarkan pada sabda Nabi kepada Muadz bin Jabal r.a. yang mana diutus oleh Nabi ke Yaman:
فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
“Maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka zakat pada harta-harta mereka yang diambil daripada orang-orang kaya mereka (di kalangan kaum Muslimin)  dan diagihkan kepada orang-orang fakir mereka (di kalangan kaum Muslimin)” (HR Bukhari, no 1308; Muslim, no 27; Abu Dawud, no 1351; At-Tirmidzi, no 567; An-Nasa`i, no 2392; Ibnu Majah, no 1773; Ahmad, no 1967)


Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘Anhu mengatakan:
فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ، مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلَاةِ، فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ، وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلَاةِ، فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَات
“Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam mewajibkan zakat fitri sebagai penyucian bagi yang berpuasa dari kesia-siaan dan kekejian, serta makanan bagi orang-orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat (‘ied) maka itu adalah zakat yang diterima, barang siapa yang menunaikannya setelah solat maka itu adalah termasuk sedakah.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah, dihasankan Syaikh Al-Albani Rahimahullah)


Hal yang sebenarnya lebih tepat, zakat fitri itu hanyalah untuk golongan fakir dan miskin. Adapun zakat fitri, maka zakat ini dikhususkan bagi fakir miskin berdasarkan hadits Ibnu ‘Abbas Radiallahu ‘Anhu di atas. Dengan demikian maka ‘amil (pengurus zakat) tidak boleh mengambilnya kecuali jika dia tergolong fakir miskin maka dia boleh mengambil, bukan kerana dia ‘amil akan tetapi kerana dia miskin.

Ibnul Qayyim Rahimahullah mengatakan: “Dahulu di antara petunjuk baginda Shallallohu ‘Alaihi wa Sallam adalah pengkhususan orang-orang miskin dengan sedekah (fitri) ini. Baginda tidak pernah membahaginya kepada asnaf yang lapan segenggam pun, dan beliau juga tidak pernah memerintahkan untuk itu. Tak seorang pun dari para sahabatnya yang melakukan hal demikian, tidak juga orang-orang yang setelah mereka” [Zaadul Ma’aad 2/12]

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan